Berbeza pula dengan pasangan pengantin baharu ini. Dinikahkan dalam majlis serba ringkas, yang persiapannya hanya memakan masa seminggu tanpa ada wang dan barang hantaran, menyebabkan perkahwinan Hazama Azmi, 33, dan Genervie Kam, 37, mampu mencipta sejarah tersendiri.

Ketika ditemui usai persandingan yang berlangsung secara santai tetapi penuh bermakna, Hazama tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran atas kelancaran majlis serta mengucapkan terima kasih kepada semua insan yang membantu menyempurnakan hari bahagianya.

“Saya rasa lega, bersyukur, gembira dan gementar. Semua perasaan bergabung menjadi satu sekarang ini. Saya lega kerana perjalanan majlis pernikahan dan resepsi ini sudah selesai.

“Saya juga sangat bersyukur kerana banyak pihak yang sudi membantu menjayakan majlis perkahwinan yang dirancang pada saat-saat akhir ini.

“Sebenarnya, semua ini diuruskan oleh sahabat saya, Aiman. Kami baru kenal tiga bulan lalu. Perkenalan kami pada awalnya untuk projek album baharu saya dan dalam masa yang sama, dia turut menawar diri untuk membantu saya mempersiapkan majlis ini.

“Dia bukan sahaja berjaya menguruskan soal kelancaran majlis, hal berkaitan dokumen serta khidmat jurunikah yang sangat susah untuk diuruskan tetapi berjaya diselesaikan olehnya. Sebab itulah saya sangat berterima kasih kepadanya. Tanpa bantuan dia, pasti kami berdua belum bernikah,” ujarnya.

Meskipun mendapat tarikh dan merancang majlis hanya dalam masa seminggu, Genervie mengakui Hazama sudah lama menyuarakan hasrat untuk menyuntingnya sebagai isteri.

Pun begitu, jadual kerjaya seni Hazama yang terlalu padat menyebabkan mereka tidak mampu untuk mengadakan majlis lebih awal.

“Apabila dia ajak kahwin pada hari ini (15 Januari), saya hanya mengikut sahaja. Saya serahkan semuanya kepada Hazama. Saya sendiri tidak kisah kalau nampak seperti kahwin ‘koboi’.

“Soal perkahwinan ini kami bincangkan sejak dahulu lagi. Cuma waktu tidak memihak kepada kami. Sebagai pengurus Hazama, saya tahu jadual kerja dia macam mana. Jadi apabila dia kata ada tarikh untuk kami selit, saya terus bersetuju,” jelas Genervie.

Ditanya mengenai penghijrahannya, Genervie berkata, dia telah memeluk agama Islam sekitar April tahun lalu. Bagaimanapun, dalam soal ini, Genervie masih mengekalkan nama asalnya.

“Sebenarnya sudah lama saya memeluk agama Islam dan pada awalnya Hazama sendiri tidak tahu mengenai hal ini. Saya nak bagi dia kejutan. Dia sangat gembira dan terharu selepas mendapat tahu berita tersebut.

“Saya tidak menukar nama dan masih menggunakan nama asal. Ini kerana bagi saya, nama itu tidak penting. Apa yang penting ialah soal hati,” jelasnya ringkas.

Mengenai rancangan bulan madu, pasangan ini menyatakan mereka belum memikir hal tersebut kerana sibuk dengan Anugerah Juara Lagu 31 dan program Mentor Milenia.

Soal anak pula, Hazama sangat berbesar hati sekiranya diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.