Hushairi Husain 

Bagi kelompok komersial pula, pastinya aksi ngeri yang sudah ditonjolkan di dalam beberapa naskhah filem seperti Bunohan, Bikers Kental dan Polis Evo membawa mereka untuk lebih mengenali lelaki yang mempunyai karisma dan bakat yang cukup tinggi.

“Saya hanya melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Setiap naskhah yang diberi merupakan satu tugas yang harus digalas dengan baik. Bukan soal populariti yang menjadi ukuran,” ungkap lelaki ini merendah diri.

Berjaya merangkul trofi kategori Pelakon Pembantu Terbaik sempena Festival Filem Malaysia ke-28 awal bulan yang lalu, tentu sahaja watak penjahat yang dilakonkan menerusi filem Polis Evo bukan sembarangan.

Mengalahkan beberapa nama besar yang lain, Hushairi menganggap perkara berkenaan sebagai satu rezeki buatnya yang pastinya menuntut kerja keras berganda pada masa hadapan.

“Menang atau tidak, perjalanan seni saya masih sama seperti dahulu. Tidak ada apa yang berubah pun pada dasarnya. Apa yang paling penting saya masih sama seperti orang yang dahulu.

“Bila diberi tawaran, itu adalah satu tanggungjawab. Soal menang atau kalau bukan satu hal yang besar asalkan saya dapat menunaikan apa yang sepatutnya dilakukan dalam mana-mana produksi sekalipun,” katanya lagi.

Pun begitu, Hushairi menganggap kemenangannya tidak mengubah apa-apa. Dia masih orang yang sama seperti dahulu dan tawaran yang diterima juga tidak naik mendadak seperti mana yang disangkakan oleh orang lain.

Tambahnya, perkara tersebut adalah hal yang biasa memandangkan tidak semua pemenang akan dapat menikmati tawaran yang banyak seperti yang diharapkan.

“Saya bukan orang baharu dalam industri ini sebaliknya sudah lama berada di sini. Kalau orang mahu memberikan tawaran sekalipun, mereka sudah tahu watak yang bersesuaian dan benar-benar dekat dengan saya.

“Lagi satu kebanyakan rakan-rakan yang bergelar pengarah sendiri merupakan mereka yang sama-sama bertatih ketika di awal pembabitan. Tentunya mereka mengetahui apa yang harus diberikan,” tambahnya lagi.

Pun begitu, jika ada yang perasan Hushairi banyak diberikan watak-watak antagonis yang pastinya kekal diingati. Jarang sekali diberikan watak lelaki yang baik hati, dia tidak menganggap perkara tersebut satu masalah yang besar.

Tegasnya, watak antagonis yang diberikan tentunya mempunyai hala tuju dan bukannya sama dan statik sahaja.

“Bila diberi tawaran watak jahat, itu bukan satu hal yang buruk. Saya perlu tahu apa yang mereka mahukan dalam setiap naskhah supaya saya boleh memberikan warna kepada babak berkenaan.

“Paling diingati tentu sahaja bila diberikan tawaran oleh Dain Said menerusi filem Bunohan. Dia nampak apa yang perlu saya lakukan dan akhirnya membuatkan saya berpuas hati dengan watak yang diberikan,” tambahnya lagi.

Kerinduan

SERING terlibat dalam teater kecil sejak dahulu, tentu sekali membuatkan jiwanya mahu kembali ke arena berkenaan. Merasakan pengisian yang ada lebih dekat di jiwa tentu sahaja kerinduan tersebut akan segera dipenuhi sekiranya berpeluang.

Bakal terlibat dalam pementasan teater Perempuan Perang yang dipentaskan di Projek Bilik Sempit, Petaling Jaya, pastinya Hushairi memberikan seluruh jiwa kepada naskhah hasil tulisan Afiza Asram yang memberikan tumpuan kepada konflik antara suami isteri.

Selain Hushairi, Perempuan Perang juga ditunjangi oleh Afiza, Khairunazwan Rodzy dan Taiyuddin Bakar.

“Seronok sebenarnya kembali ke pentas kecil begini. Dahulu pentas beginilah yang menjadi tempat saya mengasah bakat dengan rakan-rakan yang lain.

“Walaupun tidak melibatkan ramai orang, semuanya dilakukan sendiri atas dasar tanggungjawab. Saya bukan sahaja bertanggungjawab terhadap naskhah tetapi juga kepada keseluruhan persembahan.

“Perkara-perkara begini yang membuatkan kesemua produksi gembira dan merasa lebih intim berbanding dengan teater berskala besar yang lain,” tegasnya lagi.

Pernah membintangi teater Bikers Kental di Istana Budaya tahun lalu, tentunya pengalaman yang dilalui berbeza dengan persembahan kecil yang sudah menjadi ‘makanannya’ sejak dahulu.

Bukan kerana tidak gembira dengan teater berskala besar tetapi semua perkara dilakukan oleh orang lain dan mereka hanya memberikan tumpuan kepada lakonan semata-mata.

“Dalam teater Perempuan Perang misalnya, saya bukan hanya bertanggungjawab terhadap lakonan sebaliknya turut membantu promosi, atur susun pentas dan sebagainya. Berlainan dengan yang besar memandangkan mereka mempunyai tenaga kerja yang ramai.

“Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan,” jelasnya.

Perempuan Perang sudah memulakan pementasan bermula 23 hingga 25 September dan dari 29 September hingga 2 Oktober bertempat di Projek Bilik Sempit, Studio RS, Dataran Pelangi Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket berharga RM20 atau lawati laman Instagram @cubeartstage untuk maklumat lanjut.

Mengalahkan beberapa nama besar yang lain, Hushairi menganggap perkara berkenaan sebagai satu rezeki buatnya yang pastinya menuntut kerja keras berganda pada masa hadapan.