Nampaknya, kisah manis pasangan suami isteri ini akan dikongsi bersama peminat bukan sahaja di laman sosial, tetapi juga di pentas.

Namun bagi Stacy, adakalanya dia risau sekiranya gandingan bersama Akim akan membuat orang muak walaupun ada yang menganggap itu sesuatu yang romantis.

“Saya tidak menolak untuk menerima tawaran persembahan yang memerlukan kami berdua bergandingan.

“Malah saya menganggap itu rezeki. Banyak tawaran yang kami terima, tetapi semua itu perlu dipertimbangkan dahulu.

“Pertimbangan itu bermaksud kami tidak mahu terlalu kerap digandingkan kerana risau jika ada peminat yang menyampah atau mula muak dengan kami,” jelas Stacy.

Selain risau dengan tanggapan peminat, Stacy juga tidak mahu ada mulut yang mengatakan mereka cuba mengambil kesempatan atas populariti masing-masing.

Seperti pasangan lain, Stacy mengaku, dia juga perlukan ruang peribadi dalam hubungan mereka.

“Saya tidak mahu jika kami terlalu kerap digandingkan. Sikap romantis itu makin kurang dan akhirnya terpaksa berpura-pura di hadapan peminat.

“Biarlah romantis kami itu datang secara semula jadi dan bukannya terpaksa dilakukan kerana kerja,” kata Stacy yang mengakui, bahagia bersama Akim kini.

Akim bagaimanapun memberitahu, mereka ada perancangan untuk merakam lagu duet tetapi mungkin untuk satu atau dua lagu sahaja.

“Lagu duet antara kami berdua ada sebenarnya, tetapi masih lagi dalam perancangan. Mungkin untuk album keempat Stacy, kami akan selitkan,” jelasnya.

Bercerita lanjut mengenai Kimcy, Akim mengakui sebenarnya dia tidak tahu langsung mengenai gelaran tersebut. Malah, dia sendiri tidak mengenali siapa sebenarnya yang menubuhkan kelab peminat Kimcy, tetapi menganggap itu sebagai satu penghargaan.

“Saya tidak tahu sebenarnya ada yang minat kami berdua. Sebab selalunya, peminat berasingan, tetapi saya anggap ini sebagai tanda sokongan untuk kami berdua,” jelasnya.

Menerima banyak tawaran nyanyian melibatkan mereka berdua, jelas Akim, dia menganggap itu semua rezeki selepas mereka bernikah.

Sejak berkahwin sehingga kini, pasangan ini tidak pernah menganggap yang mereka sudah berbulan madu.

Akim lebih selesa menganggap setiap hari dalam kehidupan mereka ibarat sebuah bulan madu.

“Kami bercuti bersama iaitu dalam lingkungan kerja juga sebenarnya. Jadi bagi saya, itu bukan satu bulan madu,” jelasnya.

Bercerita kehidupan selepas beberapa bulan berkahwin, jelas Akim, banyak yang dia belajar selepas bergelar suami terutamanya melibatkan tanggungjawab.

Tanggungjawabnya bukan hanya sebagai suami sahaja, tetapi sebagai ayah kepada anak mereka, Bella Deluna Valentina.

“Pelajaran itu saya belajar sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, semuanya semakin baik hari demi hari,” jelasnya. - Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH