“Masa saya masuk darjah lima, ayah baru sahaja pencen sebagai guru besar. Duit pencen yang tak seberapa itu tak cukup menampung kami adik-beradik seramai enam orang. Jadi mak kena buat kuih untuk membantu ayah. Sementara itu, saya pula terpaksa menjualnya memandangkan hanya saya seorang anak lelaki yang tinggal di rumah ketika itu,” ujarnya.

Mengenang kembali kehidupannya sepanjang membesar di Kampung Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang ketika itu, dia hampir menitiskan air mata mengingat kembali betapa sukarnya anak kecil seusianya yang terpaksa bangun seawal jam empat pagi untuk menjual kuih.

“Kena bangun awal sebab saya perlu menemani emak menggoreng kuih. Tepat jam lima pagi pula, saya akan bantu mak susun kuih dan setelah siap saya keluar pula menjual kuih dengan basikal mengelilingi kampung.

“Ketika itu, tak kira hujan dan ribut sekalipun terpaksa redah. Bayangkan dengan suasana awal pagi yang gelap terpaksa kayuh basikal lebih kurang dua batu, seorang diri. Takutnya tak dapat nak digambarkan. Kalau hujan lebat, mak akan potong plastik untuk tutup kuih dalam bakul di bahagian depan dan belakang. Kemudian sambil pegang payung, saya akan kayuh basikal.

“Selalunya selepas pusing keliling kampung, saya akan pergi duduk di hadapan kilang sambil menunggu pekerja kilang. Jika masih tak habis, barulah saya akan hantar dan letak di beberapa kedai di seluruh kampung pula.

“Selalunya sebaik pulang dari menjual, saya akan mendapat upah sebanyak 40 sen. Kemudian sebelah petang pula saya akan membantu mak mengisar tepung pula untuk membuat kuih karipap, kuih lapis dan tepung gomak dengan upah sebanyak 20 sen,” ujarnya sambil tersenyum.

 

Kebanggaan ORANG Pulau Pinang

Mencipta nama dalam bidang nyanyian menyaksikan dia diterima ramai oleh peminat dan merupakan salah seorang penyanyi yang popular di era 80 an. 

“Ketika album pertama dilancarkan, saya agak bertuah kerana lagu ciptaan sendiri yang berjudul Pak Pandir Moden turut dipilih untuk dimasukkan ke dalam album.

“Lagu itu saya cipta khas untuk kumpulan boria. Ketika menyertai boria, saya cuba untuk mencipta lagu yang lain daripada lain untuk mengangkat boria.

“Disebabkan itu jugalah, orang Pulau Pinang bangga lebih-lebih lagi Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan tradisi boria. Cuma lagu itu saya mainkan dalam versi pop dan suara latarnya ramai yang tidak tahu adalah dari Kumpulan Black Dog Bone,” tuturnya yang terharu apabila lagu tersebut diterima sehingga ke hari ini.

Kampung seni

Menyingkap kembali nostalgia zaman kanak-kanak, lelaki berusia 55 tahun ini. Selain digelar penjual kuih dia juga sering digelar penyanyi oleh rakan-rakannya memandangkan dia suka menyanyi sambil mengayuh basikal menjual kuih.

Pun begitu tidak hairanlah mengapa dia begitu gemar menyanyi memandangkan sedari kecil lagi dia sudah pun terdedah dengan aktiviti seni di kampung halamannya. Lebih-lebih lagi di kampungnya terdapat dua buah band popular ketika itu yang dikenali sebagai band Teruna Ria dan Les Pengembara.

“Saya gelarkan kampung saya sebagai kampung seni kerana ramai artis terkenal tahun 60-an yang masuk ke kampung dan buat persembahan di kampung kami. Ini kerana mereka berkawan baik dengan dua band popular dari kampung ini.

“Antara artis yang sering datang ketika itu adalah P.Ramlee, AR Tompel, Saloma dan ramai lagi. Ketika itu, saya masih kecil jadi saya dan rakan-rakan akan memanjat pentas untuk melihat mereka berlakon, menyanyi dan sebagainya.

“Hampir setiap hari telinga saya diperdengarkan dengan lagu-lagu popular ketika itu. Mereka ini sering mengadakan latihan nyanyian seawal pukul tiga petang hingga sebelum maghrib.

“Sementara setiap hari Sabtu dan Ahad pula, mereka akan berlatih dari pagi hingga tengah hari. Ketika itu, setiap pelosok kampung kami akan bergema dengan muzik dan saya gembira membesar dalam suasana sebegitu,” ujarnya yang membesar dengan lagu dendangan Ahmad Jais, Jeffry Din dan seangkatannya.

Top di usia 22 tahun

Membesar dalam suasana hiburan, perjalanan artis yang pernah dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular (ABPBH) 1987 ini terlihat lebih mudah berbanding rakan-rakan artis yang lain.

“Tamat sekolah menengah, saya mengambil keputusan menyertai kumpulan Bestari yang merupakan salah satu kumpulan yang aktif dalam kampung kami. Ketika itu, kumpulan kami menyertai banyak pertandingan.

“Seingat saya, paling membawa tuah apabila kami menyertai pertandingan Bintara yang menggabungkan negeri-negeri utara seperti Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Kedah pada tahun 1964.

“Menariknya pada tahun itu, komposer S. Atan merupakan juri bagi pertandingan tersebut. Mereka siap berjanji akan memberi peluang kepada pemenang tempat pertama hingga ke tiga untuk merakam album.

“Disebabkan itu, ramai peserta yang berpengalaman masuk bertanding. Masa tu saya baru berumur 22 tahun. Pun begitu, nasib tidak menyebelahi kami apabila kumpulan Bestari mendapat tempat keempat. Ketika keputusan diumumkan, saya berasa sedih yang teramat.

“Tapi ialah dah namanya rezeki, saya betul-betul tak menyangka sejurus habis pertandingan, komposer S. Atan memberi peluang kepada saya untuk membuat album di antara pemenang-pemenang tersebut.

“Semuanya berlaku sekelip mata, tak sampai sebulan selepas itu, album pertama saya berjudul Cinta dan Perasaan dilancarkan. Saya masih ingat lagi ketika itu awal Februari 1985 bermulalah karier saya.

“Itulah juga kali pertama dalam hidup, saya berpeluang ke Singapura untuk merakamkan album dan berpeluang bekerjasama dengan kumpulan Black Dog Bone yang popular ketika itu,” ujarnya yang mengakui detik itu juga merupakan kali pertama dia menaiki kapal terbang.

Jadi pelakon

Rezekinya ketika itu tidak terhenti sebagai penyanyi sahaja. Setelah album pertamanya meletup, dia ditawarkan untuk menjadi pelakon filem. Paling tidak dapat dilupakan apabila pengarah terkenal ketika itu, S. Borhan menawarkannya watak utama dalam filem Si Jantung Hati bersama pelakon AR Badul.

“Masa tu S. Borhan sibuk cari Nassier Wahab. Sehinggakan nama saya disebut dalam akhbar yang mana S. Borhan meminta saya tampil untuk berjumpa dengannya. Satu kenangan yang tak dapat saya lupakan,” ujarnya.

Sepanjang bergelar artis, dia beruntung apabila berpeluang mendapat nasihat dan tunjuk ajar daripada artis-artis popular seperti Hail Amir Dj Dave dan ramai lagi ketika itu.

“Masih tersemat kata-kata penyanyi Dj Dave di dalam fikiran saya hingga hari ini. Antaranya menjadi popular itu suatu perkara yang amat mudah. Namun untuk mengekalkannya adalah sesuatu yang amat sukar. Itulah mutiara kata yang saya tak akan lupa,” ungkapnya yang pernah diangkat menjadi Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 1438/2016.

Genap 30 tahun penglibatannya dalam bidang seni, jiwanya terhadap bidang seni tidak pernah luntur. Maka tidak hairanlah dia telah pun berjaya merakam lebih 30 buah album sepanjang kariernya.

“Minat saya sebenarnya lebih kepada nyanyian. Sekarang saya ada dipelawa untuk merakamkan album baru tapi saya tangguhkan dulu buat sementara waktu. Ini kerana saya sebenarnya lebih minat untuk merakam lagu-lagu malar segar," katanya.