Terlalu banyak episod penderitaan yang perlu ditempuhi Datin Maria Farida, 47, dek fitnah bertubi-tubi yang dibuat terhadap dirinya. Sungguh, kudrat kecilnya itu tidak mampu untuk menyangkal segala tuduhan jahat tersebut.

Tambahan pula ketika fitnah tersebut tercetus, Maria dan suami baru saja mengecap nikmat kebahagiaan sebagai pasangan pengantin baharu. Kedua-duanya baru mahu mengenali isi hati pasangan masing-masing. Mudah kata, nak bercinta.

Benar, selama ini mereka hanya ada sebulan saja kesempatan untuk berkenalan sebelum suaminya itu melamar Maria pada Oktober, 2015. Wanita berketurunan Melayu-Filipina ini juga tidak menyangka hatinya boleh terbuka untuk menerima Rahman sebagai suami sedangkan Maria sendiri selesa dengan kehidupan solonya.

Bahkan sepanjang tempoh 15 tahun hidup bersendirian itu, Maria sendiri tidak pernah memikirkan hal perkahwinan langsung hinggalah dia bertemu dengan lelaki tersebut.

Siapa sangka juga, perkahwinan kedua dalam hidup Maria itu kemudiannya diuji sedemikian rupa.

“Ujian rumah tangga saya bermula sejak kami selamat diijabkabulkan dua tahun lalu. Hidup tak aman sebab terlalu banyak gangguan dibuat pihak sana. Macam mana nak hidup tenang, setiap hari ada saja fitnah baharu yang datang.

“Tak cukup fitnah yang dikirimkan secara SMS (khidmat pesanan ringkas), disertakan juga makian dan cacian. Lebih teruk lagi, saya dilabelkan sebagai ibu tiri yang jahat dan tuduhan menggunakan ilmu hitam.

“Yang itu adalah kemuncak fitnah dan paling tak boleh diterima. Dah melampau sangat,” kata Maria berkobar-kobar meluahkan apa yang terbuku dalam dadanya gara-gara sikap bekas isteri kepada suaminya, Hadijah Mokhtar atau Karen Rayyan.

Sesungguhnya bukan mudah buat Maria untuk melupakan setiap kelakuan buruk wanita berkenaan. Bermula daripada saat awal perkenalan hingga terbabit sebagai duta produk kecantikan KR Beauty Care yang dimilikinya itu.

Bagaimana remuk hatinya apabila mendapat tahu dia dengan mudah dipergunakan wanita tersebut. Niat asalnya hanya ingin membantu perniagaan tersebut tetapi akhirnya dia pula terkena.

“Kesalahan saya di sini hanya satu. Saya terlalu percayakan dia hingga membenarkan diri saya dengan mudah menjadi boneka. Saya juga mudah sangat percaya pada janji manis yang dibuat. Padahnya saya yang terima tak lama itu.

“Ironinya, emosi saya terjejas teruk. Saya dipandang serong orang sekeliling setiap kali keluar rumah selepas fitnah tersebar. Job lakonan pun berkurangan. Nampak sangat yang orang kita percaya dengan fitnah dibuat,” katanya kesal.

Awas! kalau berani

KINI segala keresahannya sudah berakhir. Sebaik-baik saja pihak mahkamah menetapkan keputusan saman fitnah terhadap Hadijah berpihak kepadanya minggu lalu, air mata Maria laju berguguran. Kedua-dua tangannya itu terus menadah kesyukuran dengan berita baik yang dinanti-nantikan selama ini.

Berterima kasih kepada pasukan tiga peguamnya yang tidak mengenal erti lelah dalam perjuangan menegakkan keadilan itu, Maria juga bersyukur kerana doa ahli keluarga dan rakan terdekat termakbul dalam hal yang sama.

“Syukur yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Yang Maha Esa yang mendengar doa hambanya ini. Akhirnya saya memperoleh kemenangan bermaruah yang dinanti-nantikan selama ini.

“Kebenaran berpihak kepada saya. Orang yang bersalah sudah pun menerima hukumannya. Semoga orang luar memperoleh pengajaran daripada kes kami ini,” kata pelakon drama Lara Aishah ini lagi.

Maria memfailkan saman fitnah apabila wanita mendakwa dirinya sebagai punca keretakan rumah tangganya. Kes tersebut dibicarakan di Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Maria menerusi peguamnya bakal mengemukakan tuntutan ganti rugi terhadap Hadijah pada minggu depan. Ia meliputi ganti rugi kewangan yang dialami sepanjang urusan kerja dengan wanita tersebut dan beberapa kerugian berkaitan.

Mahkamah juga memerintahkan Hadijah untuk menjalani hukuman penjara selama dua minggu kerana wanita itu tidak mengendahkan notis menghadiri perbicaraan.

“Apa yang saya mahu adalah wanita itu jangan ganggu kami lagi. Awas dia kalau berani! Kali ini saya pasti bertindak lebih garang lagi,” tegas Maria memberi amaran kepada wanita kelahiran Kelantan itu.

Episod hidup baru

BAGI meraikan episod baharunya itu, Maria dan suami mengambil keputusan untuk berpindah rumah dari kediaman lamanya di Bangsar ke Bukit Kiara, Kuala Lumpur bagi menjalani kehidupan baharu yang lebih privasi.

Perpindahan rumah itu juga diharapkan Maria agar tiada lagi perkara yang boleh mengganggu keamanan mereka sekeluarga selepas ini.

“Bagi memberkati kemenangan yang telah diraih, kami mengadakan majlis doa selamat dan tahlil yang turut bersempena masuk rumah baharu, baru-baru ini.

“Kami betul-betul nak mulakan hidup baharu. Dah letih nak berdepan dengan anasir negatif yang boleh mengganggu gugat ketenangan sedia ada,” ujar ibu kepada Mizan Ashley, 20.

Maria juga bakal bercuti sekeluarga ke New Zealand minggu depan. Kesempatan itu secara tidak langsung digunakan untuk terus melupuskan episod hitam yang terjadi selama ini sebelum pulang ke tanah air dengan semangat baharu.