Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kembangkan dunia seni, masakan ke Taiwan

BERBESAR HATI... Fazley (tengah) teruja diangkat sebagai Duta
BERBESAR HATI... Fazley (tengah) teruja diangkat sebagai Duta Pelancongan Halal ke Taiwan.

Bergelar anak seni memang memerlukan kreativiti tersendiri untuk melonjakkan diri ke tangga yang lebih tinggi dan bukan sekadar berharap kepada tuah dan populariti semata-mata.

Malah sudah menjadi resmi di zaman digital ini yang menyaksikan kehadiran penyanyi baharu yang silih ganti, sekali gus menenggelamkan penyanyi yang hadir pada era sebelumnya.

Terkenal dengan lagu Asmara Ini, Datuk Fazley Yaakob antara yang bijak menggunakan peluang dan ruang yang diperolehnya untuk mengembangkan bakat dalam industri muzik luar negara.

Terkini, selepas dilantik menjadi duta pelancongan halal oleh biro pelancongan Taiwan, Fazley cuba memperkenal dirinya bukan sekadar cef tetapi juga sebagai penyanyi di sana.

“Memang saya sibuk dengan dunia masakan dan kulinari tetapi itu tidak bermakna saya melupakan bidang nyanyian yang memperkenal nama saya ke khalayak ramai.

“Sesibuk mana pun kerja saya, kerjaya nyanyian akan diteruskan dan terkini, saya akan perkenal lagu saya ke Taiwan untuk melihat sambutan di sana,” katanya.

Sedang menyiapkan enam buah lagu untuk album baharunya, Fazley memberitahu terdapat satu single dalam album tersebut yang akan dialih bahasa ke bahasa Mandarin.

Menurutnya, dia menggunakan khidmat komposer berbangsa Cina dari Malaysia yang akan mengubah lagu tersebut mengikut cita rasa pendengar di Taiwan.

“Saya anggap ini sebagai satu bonus kerana saya tidak menyangka ada peluang untuk memperkenal lagu saya di sana.

“Biro pelancongan Taiwan mahu saya gunakan sepenuhnya kemampuan saya untuk mempromosikan negara mereka bukan sekadar makanan tetapi juga lagu.

“Kebetulan pula saya sedang menyiapkan sebuah album dan mereka cukup berminat untuk membawa salah satu lagu itu ke sana,” katanya yang bekerjasama dengan Dr. Soo Winci dari segi bahasa dan lirik Mandarin.

Bagi Fazley, dia sebelum ini sudah melihat corak lagu Taiwan dan sememangnya ada persamaan antara muzik Melayu dan Taiwan terutama dari segi melodi dan lirik.

Selain itu, dia juga mahu menggunakan peluang yang ada itu untuk membawa dan memperkenal komposer tempatan ke sana.

“Saya anggap yang saya lakukan di Taiwan ini sebagai langkah duta kecil yang membawa nama negara. Pastinya saya mahu perkenal sekali bakat tempatan terutama dalam lagu.

“Sebab itu saya mahu komposer tempatan untuk bekerjasama menyiapkan lagu tersebut yang akan disiapkan sepenuhnya di sana,” jelas Fazley.

Penyanyi ini juga menegaskan bahawa kerjayanya tidak hanya tertumpu kepada bidang masakan sahaja sebaliknya juga cuba seiringan dengan nyanyian.

Yang perlu sekarang adalah untuk fokus menguasai kosa kata bahasa Mandarin untuk memudahkan dia memperkenal lagu dan menyanyikannya dengan baik.

“Saya tidak ada masalah menyanyikan lagu Kantonis. Banyak lagu berkenaan yang saya hafal dan mempu nyanyikan dengan baik di depan khalayak pendengar.

“Tetapi untuk lagu Mandarin ini, agak sukar sebab saya tidak fasih dan kosa kata Mandarin lebih luas sehingga boleh mengelirukan.

“Tetapi saya akan tetap fokus untuk menguasainya,” kata Fazley lagi.

Kebetulan pula menurut Fazley, tiga orang anaknya juga fasih menggunakan bahasa Mandarin dalam perbualan dan penulisan.

Ketiga-tiga anaknya itu akan dijadikan sebagai tempat rujukan untuknya menguasai bahasa tersebut.

Fazley juga sebelum ini belajar bahasa Perancis sewaktu dia menyambung pelajaran di sebuah akademi kulinari di sana.

Selepas bergelar juara program masakan Masterchef Selebriti Malaysia, Fazley tidak pernah berhenti daripada menggunakan peluang tersebut untuk meluaskan pengaruhnya.

Sebagai seorang cef, dia kini telah dilantik menjadi Duta Pelancongan Halal Ke Taiwan bagi mempromosikan aspek pelancongan halal di negara itu.

Sememangnya satu tugas yang berat bagi Fazley tetapi dia cuba menggunakan pengaruhnya untuk menjawab semua kemusykilan bagi seorang Muslim untuk mengembara ke sebuah negara bukan Islam.

“Sebenarnya tugas saya bukan sekadar mempromosikan pelancongan halal sahaja sebaliknya juga memastikan yang saya promosi itu memudahkan mereka yang bertanya.

“Apatah lagi sebagai cef, saya melihat aspek halal bukan sahaja melalui makanan tetapi juga aspek perkakasan memasak, pinggan mangkuk serta alatan lain untuk menghidangkan makanan.

“Itu semua mesti halal dan tidak berkongsi dengan makanan yang tidak halal untuk mengelakkan rasa was-was sepanjang percutian ke Taiwan,” katanya.

Fazley dilantik menjadi duta ke Taiwan selama setahun oleh Biro Pelancongan Taiwan dan semua permasalahan dan pertanyaan mengenai Taiwan, boleh dikemukakan menerusi laman sosialnya.

Terdahulu, Fazley turut membawa rombongan media tempatan untuk merasai sendiri pelancongan halal di Taiwan selama lima hari pada 21 Julai hingga 25 Julai lalu.

Bercakap mengenai lantikan itu, jelas Fazley, dia mula dirisik Biro Pelancongan Taiwan selepas memenangi pertandingan memasak di sana tahun lalu.

“Sebenarnya pertandingan memasak itu adalah pertandingan persahabatan yang melibatkan negara sekitar Asia untuk mempamerkan makanan halal masing-masing.

“Tak sangka pula masakan saya berjaya memikat juri di sana sehingga menewaskan wakil tuan rumah,” jelasnya yang memasak makanan tradisional tempatan iaitu daging salai masak lemak cili api, udang masak telur masin dengan cili padi dan kuih puteri mandi.

Bermula dari situ dia mula ditawarkan menjadi duta pelancongan halal dan dilantik untuk mempromosikan negara itu.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan