Namun sejak tiga tahun lalu namanya agak tenggelam timbul selepas mengambil keputusan berehat seketika demi memberi laluan terhadap keluarga.

Biarpun tidak pernah bersua muka sebelum ini, saya dapat gambarkan Amanda cukup ramah sungguhpun dari awalnya dia mengaku tidaklah begitu mudah mesra dengan orang. Itulah antara sifat yang agak sukar untuk dirinya atasi tatkala berdepan dengan orang hingga memberi kesan kepada karier seninya.

Menjadi satu lumrah jika ada pelakon yang sudah berkahwin mahu memilih untuk tidak terlalu aktif atau berehat seketika demi memberi fokus kepada bahtera rumah tangga yang dibina, begitulah yang membuatkan Amanda nekad untuk ‘undur’ diri sebentar.

Kini, ibu kepada dua orang anak ini sudah mampu menarik nafas lega apabila anak-anaknya, Qisya, 3, dan Abdul Khaliq, 1, semakin membesar dengan sihat di hadapan mata.

Rentetan daripada itu juga, sudah tiba masanya untuk dia kembali aktif semula dalam dunia lakonan selepas suaminya, Hairulzain Fauzi memberi sokongan padu padanya sejak mereka mendirikan rumah tangga pada 3 Mac 2012.

“Rindu sangat nak berlakon dan masuk set penggambaran. Masa awal kahwin dulu tanggungjawab sekadar isteri sahaja. Lepas itu bila punya dua anak, lagi berganda tugasan di rumah.

“Walaupun tiga tahun lalu saya akui memang banyak juga tawaran lakonan terpaksa ditolak memandangkan anak-anak masih terlalu kecil untuk ditinggalkan.

“Saya tak suka anak-anak dijaga oleh pengasuh sebab itu saya nekad rehat sekejap daripada bidang lakonan demi membesarkan mereka. Alhamdulillah, rasanya sekarang ini waktu sesuai untuk saya kembali aktif dalam lakonan.

“Kalau saya sibuk di lokasi penggambaran, suami akan tolong uruskan anak-anak. Jika kami berdua sibuk dengan tugasan, anak-anak akan dijaga oleh bapa mentua,” ujarnya yang pernah berlakon filem Klip 3GP.

Nada suara Amanda jelas menunjukkan wanita berusia 27 tahun ini tidak sabar untuk beraksi kembali di hadapan kamera memandangkan minat sejak dari bangku sekolah itu tidak pernah padam dalam jiwanya.

“Sebenarnya ramai yang tak tahu saya dah kembali berlakon. Jujurnya dulu banyak juga tawaran yang hadir terpaksa ditolak sebab memikirkan anak-anak masih kecil.

“Alhamdulillah hujung tahun lalu saya diberi kepercayaan untuk berlakon di samping Wan Maimunah dalam drama Pujaan Hati Umi.

“Syukur sangat sebab drama ini merupakan pembuka rezeki pertama saya untuk menyambung bakat lakonan yang sudah sebati dalam diri ini sejak sekian lama. Watak saya dalam cerita ini pun agak besar sedikit,” ujarnya.

Amanda beruntung kerana mendapat sokongan kuat daripada suaminya yang tidak pernah menghalang minat si isteri asalkan tidak membelakangkan peranan dan tanggungjawab dalam rumah tangga.

“Ya, suami juga yang selalu suruh saya aktif berlakon semula. Kadang-kadang bila tonton lakonan sendiri yang ditayangkan di televisyen, terus secara spontan saya akan cakap ‘rindulah nak berlakon’.

“Dari awal lagi suami suruh berlakon, tetapi saya sendiri ambil keputusan tak nak tinggalkan anak-anak dan kalau boleh tak mahu menyusahkan sesiapa untuk jaga anak kita kan.

“Atas sokongan suami jugalah saya kini dah bersedia nak masuk balik ke set penggambaran. Bayangkanlah seawal usia 14 tahun saya sudah mula berlakon, tak mungkin saya akan berhenti terus begitu sahaja,” ulasnya.

Tidak terkesan dengan kisah kakak

Sengaja saya ingin menjentik sedikit sesi temu ramah kami dengan soalan yang dikira berkait dengan Amanda iaitu mengenai isu Rozana Misbun dan Awie yang dilihat semakin merumitkan.

Tenang sahaja Amanda jawab persoalan yang ditanya dan menganggap apa yang terjadi itu ada hikmah.

“Apa yang berlaku antara Rozana dan Awie tidak mendatangkan kesan buat saya. Mereka yang ada di sekeliling saya pun tidak datang bertanya akan hal ini tapi sebagai adik, sudah tentu saya sering titipkan kata-kata semangat kepada kakak.

“Benda-benda ini semua sudah tertulis oleh takdir yang tak mungkin hambanya mampu tolak. Kita sendiri tak tahu apa sebenarnya yang terjadi tapi sebagai ahli keluarga, saya harap mereka berdua kuat untuk hadapi situasi begini dan selesai dengan cara baik,” katanya.

Dalam pada itu, jika sebut sahaja nama Haliza Misbun pasti pembaca akan mengenali figura yang popular menerusi drama bersiri Cinderella pada 1998 satu ketika dahulu.

Bergelar adik kepada pelakon dikenali ramai, tidak pernah membuatkan Amanda mendabik dada dan menganggap ia sebagai laluan emas untuk dia meneruskan legasi lakonan dengan mudah berpaksikan nama besar kakaknya itu.

Ketika disoal, apakah dirinya itu turut menggunakan populariti yang diraih oleh Haliza, dengan nada berseloroh dia kata: “Haliza masih popular lagi ke? Rasanya dah makin kuranglah.” .

“Kali pertama dan terakhir saya pernah berlakon dengan dia masa telefilem Rohayah Roy pada 2003. Waktu itu saya pegang watak Haliza masa kecil.

“Secara jujurnya, minat berlakon ini sebenarnya bercambah dengan sendiri tanpa didorong oleh kakak pun. Malah, dia pun terkejut bila dapat tahu saya dah mula berlakon bila tengok lakonan saya menerusi drama bersiri Kekasihku Seru, lapan tahun lalu.

“Saya lagi suka guna usaha dan bakat yang diberi ini tanpa perlu bantuan kakak. Ini lebih mendatangkan kepuasan dalam diri,” jelasnya.

Watak, hijab dan batas

Sering diberikan watak perempuan psiko, antagonis dan emosi, jelas Amanda, dia tidak kisah andai acap kali melakonkan karakter yang sama selepas ini asalkan plot penceritaan sesebuah skrip itu memberi kesan kepada penonton.

“Dari awal saya mula berlakon memang sudah sering bawa watak perempuan psiko dan bermain dengan emosi. Pengarah pun tahu apa yang mampu dan tidak mampu dibawa oleh seorang pelakon dalam sesebuah karakter yang dicipta.

“Saya berpandangan positif dan optimis serta menganggap pengarah memberi kepercayaan pada saya untuk membawa watak begitu sungguhpun terasa seperti agak klise dan tidak variasi.

“Tapi tak mengapa, saya masih terima watak yang sama walaupun perlu ada sedikit memilih. Memilih bukan bermaksud saya sengaja ingin berlebihan dan sebagainya, tapi ia demi mencantikkan lagi profil lakonan saya jugalah,” tuturnya.

Biarpun kini dia memilih untuk berhijab sepenuhnya, tak salah kiranya dia mengidamkan watak yang ingin dilakonkan walaupun perlu mengambil kira faktor batasan aurat.

“Saya teringin nak bawa watak wanita yang bertudung tetapi jahat dan sering ditindas. Seringkali kita dipaparkan jika wanita berhijab ini sebenarnya baik sahaja, tapi mungkin kalau watak antagonis seperti ini digarap, rasanya lebih menarik.

“Tidak semestinya kita fikir, ‘oh wanita bertudung mesti perlu diberi watak baik. Saya sukakan watak seperti Nabila Huda dalam filem Munafik yang masih lagi terjaga aurat dan batas sentuhan dalam lakonan.

“Rasanya dah ramai pelakon yang pilih untuk berhijab sepenuhnya dan pengarah pun sudah mula faham dan terbuka untuk tidak ada sikap diskriminasi.

“Dah tentu kalau tanya pada saya, adegan sentuhan dan pelukan perlulah dielakkan memandangkan status saya sudah bersuami dan punya anak,” katanya.

Jelas Amanda lagi, dia sedaya upaya untuk cuba menonjolkan keberkesanan dalam bidang lakonan sekali gus memberikan watak yang berbeza-beza mengikut kehendak produksi.-Gambar SURIYA BONMA 
& Instagram Amanda Misbun