Mengakui kesilapannya akibat terkeliru dengan kekerapan pasukan produksi La La Land naik ke pentas menerima enam trofi utama dalam acara tersebut, Beatty secara terbuka memohon maaf kepada audiens atas kontroversi yang berlaku.

Pun begitu, sikap profesional yang ditunjukkan pasukan produksi La La Land yang diketuai penerbitnya, Jordan Horowitz dengan menyerahkan sendiri trofi kepada pemenang sebenar, filem Moonlight harus diberi pujian malah diiringi standing ovation daripada seisi dewan.

Mengekalkan momentum setelah membolot tujuh trofi pada Anugerah Golden Globe 2017 yang berlangsung Januari lalu, karya La La Land kali ini berjaya mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi Emma Stone, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Lagu Terbaik dan Rekaan Produksi Terbaik.

Bagaimanapun, hero filem berkenaan, Ryan Gosling tewas kepada pelakon Casey Affleck yang membintangi Manchester by the Sea.

Menariknya, Oscar kali ini menyaksikan Damien Chazelle diangkat sebagai sutradara termuda memenangi Pengarah Terbaik.

Sementara itu, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Mahershala Ali yang pertama kali dicalonkan turut menjadi pelakon Islam yang pertama memenangi Oscar.

Viola Davis yang diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Fences) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelakon kulit hitam pertama yang meraih gelaran triple crown apabila mengungguli Oscar, Anugerah Emmy dan Anugerah Tony.

Dia menjadi individu ke-23 yang mendapat pengiktirafan itu yang turut pernah diraih oleh Al Pacino dan Helen Mirren.

Gara-gara tindakan Presiden AS, Donald Trump menghalang imigran dari beberapa buah negara Islam masuk ke negara tersebut mengakibatkan pengarah Filem Bahasa Asing Terbaik, Asghar Farhadi dari Iran tidak boleh hadir ke acara itu untuk menerima trofi kemenangannya.