Keith hormat Uqasha

MEMEGANG watak utama dalam teater Ombak Rindu sememangnya satu keputusan yang berat buat Keith kerana silap langkah dia akan dibandingkan dengan pemegang watak yang sama, Aaron Aziz sebelum ini.

Mengakui aura aktor kelahiran Singapura itu sangat hebat, Keith juga enggan kalah dan tenggelam dengan persembahannya sewaktu pementasan itu sedang berlangsung nanti.

Oleh sebab itu, Keith perlu memastikan karakter Hariz yang dilakonkan itu benar-benar menjadi dan mampu memukau pandangan penonton yang hadir.

“Untuk memastikan saya benar-benar sebati dengan watak Hariz, saya menolak lebih tujuh tawaran berlakon kerana tidak mahu hilang tumpuan.

“Saya tidak mahu bekerja sambil lewa dalam menjayakan watak Hariz. Jadi saya memerlukan latihan yang mencukupi untuk menjiwainya.

“Lagipun menerusi pementasan teater, saya dapat mengubah persepsi peminat tentang kemampuan lakonan saya apabila selama ini muncul di drama televisyen saja,” katanya.

Berhubung pendirian membawakan watak romantik dalam teater itu , Keith memberitahu, dia perlu menghormati dan menjaga maruah Uqasha sebagai seorang wanita Islam.

Begitu juga dengan soal sensitiviti masyarakat Melayu yang berpegang teguh dengan nilai-nilai Timur dan adab sopan.

Lantaran itu, Keith perlu memastikan tiada tindak tanduknya yang dilihat berlebih-lebihan sehingga mencetuskan pandangan serong yang kurang menyenangkan.

Jauh sekali untuk dikatakan sebagai pencetus kepada permasalahan dalam menjayakan babak romantik itu, Keith bertegas dia perlu berhati-hati dalam hal ini.

“Selalunya dalam setiap kontroversi membabitkan isu bersentuhan, golongan pelakon wanita lebih dihentam teruk berbanding pelakon lelaki.

“Dalam hal ini, saya juga perlu lebih berwaspada dan mengawal tindak tanduk agar tiada supaya tiada yang dilihat seperti berlebih-lebihan.

“Tambahan pula Uqasha pelakon wanita bertudung. Maknanya ada banyak lagi batas-batas yang perlu dijaga,” tegasnya lagi.

Tidak menyangka dapat bekerjasama semula dengan Uqasha selepas terlibat dalam drama Dia Isteri Luar Biasa tahun lepas, Keith juga mengharapkan agar gandingan kali ini menepati kehendak penulis skrip, Rosminah Mohd. Tahir.

Sementelah Ombak Rindu merupakan teater pertama buat mereka berdua, Keith perlu bekerja keras dan memastikan gandingan itu menjadi penanda aras buat kerjaya lakonan masing-masing.

“Kekuatan Ombak Rindu itu terletak kepada naskhah itu sendiri. Kami sebagai pelakon perlu memastikan naskhah ini dijayakan dengan sebaik-baiknya.

“Itulah tanggungjawab yang perlu dipikul dan diberi perhatian,” kata Keith yang dikenali menerusi drama Ariana Rose sebelum ini.

 

Uqasha berjiwa tebal

MENYELAMI perasaan Uqasha yang dikatakan menjadi pilihan kedua pihak produksi sebagai calon untuk memegang watak Izzah, dia mengakui tidak mengetahui langsung tahu menahu tentang perkara tersebut.

Menurut Uqasha, dia hanya mengetahui berhubung perkara tersebut beberapa hari selepas memuat naik gambar skrip naskhah Ombak Rindu di laman sosial.

“Selepas ada beberapa rakan media menghubungi telefon, barulah saya sedar bahawa sebenarnya pihak produksi sudah lama mencari pemain watak Izzah.

“Sehinggakan ada yang mendakwa saya adalah pilihan kedua pihak produksi. Begitu juga dengan dakwaan mengatakan watak ini tidak sesuai kerana saya bertudung.

“Maklumlah saya perlu melakonkan watak transaksi antara Izzah dan Suri. Dua watak dalam satu itu amat bersesuaian buat pelakon yang tidak bertudung. Sedangkan saya bertudung.

“Itu yang membuatkan ada segelintir pihak merasakan saya bukan calon yang sesuai,” kata Uqasha sambil menegaskan tidak pernah melayan pandangan negatif yang dilemparkan kepadanya.

Yang penting bagi Uqasha adalah membuktikan kepada semua tentang kemampuannya untuk menggalas tanggungjawab yang besar itu berbanding memikirkan tanggapan orang terhadapnya.

Ini kerana menurut Uqasha, dia sudah lali dengan kritikan daripada segelintir pihak yang dilihat cuba mencabar kesabarannya sepanjang pembabitannya dalam industri.

Enggan melayan pandangan sebegitu yang dirasakan kurang bermanfaat Uqasha memberitahu, yang utama adalah meyakinkan kepada semua pihak tentang keupayaan lakonannya.

Menurut Uqasha, cara itu lebih mendatangkan hasil berbanding melayan perkara remeh temeh yang tidak mendatangkan sebarang hasil.

“Dalam keadaan sekarang, saya tak fikir lagi tentang serangan peribadi yang dicetuskan segelintir pihak dipercayai tidak menggemari personaliti dan cara pemakaian saya.

“Kualiti kerja saya yang perlu ditekankan. Penilaian itu yang dititikberatkan saya. Saya tidak memandang zaman lepas saya.

“Fokus saya adalah perancangan pada hari ini dan akan datang. Perkara itu yang diberi penekanan utama,” ujarnya.

Berhubung persediaannya untuk membawakan watak Izzah, sama seperti Keith, Uqasha juga sanggup melepaskan lebih lapan tawaran berlakon drama untuk menjayakan Ombak Rindu.

Tambahan pula banyak babak membabitkan dirinya dalam teater itu, Uqasha juga mahu setiap langkah yang diatur dan bicara yang dilontarkan benar-benar berkesan.

“Saya sanggup bekerja lebih masa untuk memastikan watak Izzah itu berkesan. Begitu juga saya sanggup menuntut ilmu dengan penggiat seni yang terlebih dulu menyertai bidang ini.

“Semua ini perlu dilakukan demi memperkemaskan lakonan saya sekaligus membuktikan kemampuan diri pada hari pementasan teater itu berlangsung kelak,” ujarnya.