Pementasan tersebut sempena sambutan Hari Jadi ke-79 Gabenor Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dianjurkan oleh Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) pada 20 Oktober dan 21 Oktober lalu. Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun.

“Tiga minggu berlatih silat saya rasa seronok dan cukup membuka hati saya untuk terus belajar ilmu silat selepas ini walau bukan untuk lakonan.

“Latihan lakonan untuk karakter Tun Fatimah selama sebulan sebenarnya tak cukup. Kalau diberi lebih masa saya mahu perbaiki silat dan dalam waktu sama, saya mahu mengatasi kelemahan berbahasa Melayu klasik.

“Tidak mudah karakter ini kerana perlu bersilat dan bercakap dalam bahasa Melayu klasik. Saya perlu berhempas-pulas kerana kebanyakannya saya tak faham maksud perkataan dalam bahasa Melayu klasik itu.

“Misalnya, apa itu gundah gulana? Saya tanya kepada Ashraf Muslim dan bahagian produksi, selepas diterangkan barulah saya faham maksudnya.

“Budak Jerman disuruh cakap bahasa Melayu klasik memang susahlah tetapi saya berusaha belajar dan memahami setiap maksud perkataan,” ujar Maya sambil tergelak besar menceritakan cabarannya bertutur dalam bahasa Melayu klasik.

Teater Tun Fatimah arahan Lokman Ghani turut dibintangi Remy Ishak sebagai Sultan Melaka, Ashraf Muslim (Tun Ali), Roslan Salleh (Bendahara), Ruzaidi Abdul Rahman (Mendaliar), Isma Halil Hamzah (Laksamana Khoja Hassan) dan Ebby Yus (Kitul).

Bintang filem popular Pontianak Harum Sundal Malam itu juga berkongsi kisah lucu tersasul menyebut perkataan Datuk Bendahara menjadi Datuk Bandaraya di samping perkataan ayahanda serta anakanda.

“Nasib baiklah saya hanya tersasul menyebut Datuk Bandaraya semasa sesi latihan sampai jadi trademark dan usikan krew produksi. Memang geli hati sebab sebelum ini tak pernah sebut atau dengar pun perkataan ayahanda... anakanda.

“Nasib baiklah Remy, Ashraf dan rakan pelakon lain banyak membantu agar saya dapat mengingati perkataan selain bunga-bunga silat,” cerita Maya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau bakal muncul dalam dua filem tahun depan, Munafik 2 serta Olympic Dream selain single duet baharu dengan Awi Rafael bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Aura karakter Tun Fatimah

Pengarah teater Tun Fatimah, Lokman Ghani berpuas hati dengan persembahan tunggak utama teater tersebut, Maya Karin dan Remy Ishak.

“Saya puas hati sebab mesej disampaikan dengan baik. Kalau ada sedkit-sekidit kesilapan itu biasalah. Bagi saya pilihan tepat menggandingkan Maya dan Remy.

“Cuma tak dinafikan, awalnya sedikit gementar menyerahkan tanggungjawab watak Tun Fatimah kepada Maya. Tetapi dia dapat melaksanakannya dengan baik.

“Maya dan Remy pelakon profesional malah mereka cepat memahami karakter. Keseluruhannya saya puas hati apabila melihat penonton beri tindak balas bagus.

“Latihan silat untuk Maya dengan seorang koreografer juga berlangsung selama tiga minggu bagi menggambarkan karakter Tun Fatimah yang bijak, cantik dan tangkas bersilat. Saya lihat aura Tun Fatimah itu ada dalam diri Maya.

“Pementasan teater ini juga bagi saya bersesuaiaan dengan senario politik, sosial dan fitnah yang melanda masyarakat kita masa kini,” katanya yang sebelum ini membina profil pengarahan teater antaranya Muzikal 23250 Tragedi Bukit Kepong (2000), Muzikal Suzana (2006), Muzikal Cheng Lock (2007) dan Cindua Mato (2016).

Remy bantu Maya

Sementara itu, Remy Ishak yang memegang watak Sultan Mahmud Sultan Melaka berharap lawan lakonnya Maya Karin tidak silap melontarkan dialog sepanjang pementasan.

“Yalah, saya faham pada waktu yang sama Maya perlu mengingati banyak dialog bahasa Melayu klasik dan juga tidak harus silap langkah bersilat. Paling saya risau adegan dengan Maya pada akhir cerita.

“Saya khuatir dia terlupa dialog kerana pada masa sama dia juga harus ingat bunga-bunga silat. Lenggok bahasa pula nak kena jaga,” ujar Remy kepada penulis.

Remy turut menyambut baik sokongan peminat yang sentiasa menghargai keserasian lakonannya bersama heroinnya dalam filem Cun itu.

“Apabila orang ramai cakap kami pasangan serasi dalam lakonan, saya seronoklah. Ini membuktikan lakonan kami berkesan. Itu perkara baik apabila kita boleh membuat orang ramai gembira dan bahagia dengan hasil lakonan.

“Kami serasi dan sampai sekarang berkawan baik sebab kami sempoi, chill dan relaks. Maya okey... saya pun okey. Kami tidak campur adukkan kerja dengan hal peribadi masing-masing. Walaupun dia ada perli saya tak jemput dia semasa bertunang tapi dia ada pesan, nanti saya kahwin jangan lupa jemput dia,” seloroh Remy.