Dianggap antara pelakon American Sweetheart, Cameron tak pernah gagal meraih perhatian ramai menerusi lakonan bersahajanya.

Tak percaya? Lihat sahaja aksinya dalam filem hebat seperti My Best Friend’s Wedding, There’s Something About Mary, The Sweetest Thing, What Happens In Vegas termasuk filem francais yang sering disebut-sebut, Charlie’s Angels.

Namun, selepas membintangi filem muzikal Annie pada 2014, aktres yang terkenal dengan senyuman manisnya ini seakan sudah tidak lagi kelihatan dalam dunia hiburan Hollywood. Menurut sumber terdekat kepada aktres berkenaan, Cameron yang membuat keputusan untuk menghindar dari dunia glamor itu.

Alasan Cameron adalah kerana dia mahu mencari semula dirinya selepas merasakan seakan sudah hilang arah.

“Saya cuma mahu pergi. Jujurnya, saya sudah tidak kenal siapa diri ini dan ia adalah satu keadaan yang sukar untuk saya hadapi. Saya rasa perlu untuk kembali mencari semula apa yang hilang dalam diri saya supaya ketenangan itu dapat dirasai,”katanya.

Berusia 44 tahun, aktres yang pernah menjalin hubungan cinta dengan Justin Timberlake, Jared Leto dan Alex Rodriguez sebelum ini juga menganggap kehilangannya dalam dunia glamor adalah satu keputusan terbaik buat masa ini demi memberi tumpuan kepada hubungannya dengan suami, Benji Madden.

Menganggap hubungannya dengan Benji adalah berbeza dengan lelaki lain yang pernah singgah dalam hidupnya, Cameron tahu, hanya Benji yang mampu menyempurnakan hiudpnya. Kerana itulah, dia bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan pada usia 41 tahun.

“Saya tahu ramai yang bertanya mengapa berkahwin lambat dan hanya apabila berjumpa Benji maka saya bersetuju untuk menamatkan zaman bujang.

"Saya tidak punya jawapan spesifik untuk itu. Tetapi apa yang saya boleh katakan, mungkin kerana sebelum ini saya tak dipertemukan dengan Benji terlebih awal, itu sahaja,”katanya.

Mengaku tidak menyesal sebelum ini sering dikaitkan dengan ramai teman lelaki, itu semua adalah sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

“Sekarang ini tumpuan saya cuma pada Benji sebagai pasangan hidup. Harus saya akui, tak pernah sepanjang hidup ini saya begitu disayangi oleh seorang lelaki sebagaimna cinta yang diberikan oleh Benji.

“Setiap hari saya lihat dia dan kagum dengan usahanya yang sanggup bekerja keras untuk kami, saya cukup beruntung kerana menjadi isterinya,”katanya yang belum terbuka hati untuk kembali dalam dunia lakonan buat masa ini.