Ketika itu, setiap filem yang meletakkan Maria atau nama sebenarnya Liesbet Dotulong pasti akan menarik ramai penonton ke pawagam. Ibarat kata orang muda, setiap filem lakonannya akan ‘laku keras’.

Bukan sahaja berbakat dalam lakonan, Maria juga pernah diberi jolokan sebagai Wanita Terjelita Malaya oleh Times Magazine pada tahun 1957.

Ketika itu, Maria sedang menempa kemasyhuran menerusi filem Pontianak yang merupakan filem seram tempatan pertama dibuat dan mendapat sambutan yang baik daripada penonton.

Kerjaya seni Maria bagaimanapun tidak terus berpanjangan. Ketika berusia 30 tahun, dia telah dilamar oleh Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin dan bergelar pemaisuri kepada Sultan Pahang.

Mengimbas kembali kenangan itu, bintang filem Penghidupan ini memberitahu bahawa ada salah faham mengenai titah sultan mengenai larangan tayangan filemnya.

“Almarhum cuma menitahkan supaya filem-filem saya tidak ditayangkan di Pahang sahaja. Negeri-negeri lain adalah terkecuali kerana bukan terletak bawah kuasa almarhum.

“Cuma mungkin negeri lain hormat dengan titah almarhum itu dan akhirnya, semua filem saya sebelum itu tidak ditayangkan,” jelasnya.

Ketika itu, pemilik Cathay Keris Ho Ah Loke, tempat Maria bernaung terpaksa menyimpan kesemua filem heroin itu di rumah.

Disebabkan beberapa faktor seperti ruang penyimpanan yang semakin sempit di rumah, maka hampir kesemua karya Maria telah dibuang ke lombong.

“Apa yang saya dengar, Ho Ah Loke telah mengupah lori dengan harga RM250 untuk membuang filem-filem saya ke lombong kerana faktor larangan tayangan.

“Bila tahu perkara itu, diri saya memang lemah sebab susah nak terima kenyataan. Bayangkan, karya-karya lakonan saya sebelum ini habis dibuang ke lombong.

“Dulu semuanya dalam fizikal dan bukan ada ruang simpanan digital seperti sekarang. Lagipun, kalau ada karya-karya yang dibuang itu dilakonkan semula pun tidak akan sama dengan yang asal,” jelasnya.

Kini, selepas berpuluh-puluh tahun Maria reda dengan apa yang berlaku. Walaupun karyanya sudah tidak wujud, bakat lakonan dan sumbangannya pada industri filem tempatan masih dikenang sehingga kini.

Malah, seniwati ini kini gembira dengan kehidupannya. Fizikalnya masih lagi sihat. Memori ingatannya juga kekal kuat. Insan seni sebegini adalah sebahagian daripada sejarah yang perlu diberi perhatian.

Bukan bila sudah sakit, sudah sukar untuk bercakap, sudah luput memori, baharu kita terhegeh-hegeh mahu menjengah sebagai simbolik penghargaan. Bukan tidak boleh, cuma berilah lebih tumpuan ketika mereka sihat.

Tanggung hutang 

Selain diiktiraf sebagai wanita jelita dan pelakon, Maria juga merupakan penerbit filem wanita Melayu pertama menerusi Maria Menado Production (M.M Production).

Menerusi produksi itu, Maria menerbitkan beberapa buah filem antaranya Siti Zubaidah, Darahku, Bunga Tanjung dan Pontianak Kembali.

Tetapi syarikat itu hanyalah gah dengan nama sahaja. Maria mengakui, dia menanggung hutang yang banyak kerana syarikat tersebut.

“Produksi itu hanya ada nama sedangkan duit langsung tiada. Bil-bil bayaran masih sampai kepada saya walaupun filem-filem sudah selesai dihasilkan.

“Tetapi kita bayar jugalah sikit demi sikit. Saya anggap itu semua asam garam dalam dunia berniaga,” jelasnya.

Walaupun sudah lama tidak bergiat aktif dalam dunia seni, Maria sentiasa mengikuti perkembangan industri seni tempatan.

Malah, dia sempat memuji bakat dan lakonan yang dipamerkan oleh pelakon-pelakon sekarang. Kebanyakan memberi persembahan yang bagus.

“Mereka ini (pelakon kini) lebih pandai daripada saya sebenarnya. Saya memang puji. Malah, saya sendiri mengakui bakat lakonan saya tidak sebagus mereka.

“Cuma cabaran untuk berlakon ketika ini dan dahulu itu berbeza. Dulu kena berusaha lebih untuk mendapatkan sesuatu yang baik,” jelasnya.

Tambah Maria lagi, dulu kalau hendak berlakon, kena berlatih sendiri. Tidak ada kelas khusus sebelum penggambaran seperti yang ada sekarang.

Ditanya mengenai nasihat kepada pelakon tempatan sekarang, Maria dengan rasa rendah diri menganggap dia tidak cukup layak untuk memberi pesanan kepada generasi baru ini.

“Apa yang saya boleh titipkan pada pelakon sekarang ialah untuk sentiasa berusaha. Apa pun kena berusaha sebab itu yang membuktikan kemampuan seorang pelakon,” jelasnya.