Malah, telefilem arahan pengarah berusia 35 tahun itu, Menunggu Hujan Teduh turut memenangi lima anugerah utama lain iaitu Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Sinematografi Terbaik, Skrip Terbaik dan Telefilem Terbaik.

Dengan kemenangan unggul itu, karya Azma mengaut hadiah kemenangan secara keseluruhannya RM34,000. Anugerah Pengarah Terbaik pula adalah manifestasi kelayakkan personal Azma, sekali gus meletakkan dirinya dalam rangking sebagai pengarah terkenal dalam negara.

Sudah tentu bukan mudah untuk mencabar karya nama-nama Datin Paduka Shuhaimi Baba, Osman Ali, Ismail Yaakob dan Erma Fatima misalnya, memandangkan masing-masing mempunyai nilai estetik dalam mengilhamkan karya, selain berpengalaman luas dalam pertandingan. Belum lagi menyebut karya Bade Haji Azmi, Mahabbah Rindu yang kali ini turut sekali lagi bersaing. Bade adalah pemenang utama untuk anugerah yang sama pada tahun lalu.

Menyentuh mengenai kejayaannya pada malam 19 April lalu, ia telah meninggalkan memori terindah buat Azma memandangkan pada awalnya, dia sendiri tidak pernah mengharapkan apa-apa pengiktirafan sepanjang mengarahkan telefilem tersebut.

“Ketika diminta oleh Datuk Rosyam Nor untuk mengarahkan telefilem ini, saya rasa sangat mencabar diri. Ini kerana saya perlu menyelitkan elemen lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan perlu ada nilai-nilai yang bersamaan dengan karya dan peribadi legenda itu sendiri.

“Jujur saya katakan, sebaik sahaja habis penggambaran telefilem ini, saya sendiri sudah anggap diri saya sebagai menang. Ya, satu kemenangan istimewa yang lahir dari rasa puas hati lepas segala penat lelah saya, pelakon dan tenaga produksi dihabiskan untuk hasilkan telefilem ini sahaja.

“Justeru, malam ini apabila diumumkan sebagai pemenang utama, saya rasa sudah melengkapkan lagi rasa keseronokan kami sewaktu terlibat dengan telefilem ini dari awal hingga akhir. Saingan semua sengit dan peluang untuk saya menang pada awalnya memang agak tipis,” katanya, ketika ditemui sejurus selepas namanya diumumkan sebagai pemenang dalam Anugerah Tribute P. Ramlee di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Ahad lalu.

Mengulas mengenai cabaran yang perlu diterapkan dalam naskhah tersebut agar tidak lari daripada peraturan yang ditetapkan oleh pihak penganjur iaitu Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., Azma mengaku bukan sesuatu yang mudah untuk menyuntik elemen yang mengangkat nama legenda terulung itu.

Ini perlu dilakukan dengan penuh tertib dan berhemah, agar lebih memaknakan lagi jenama P.Ramlee itu sendiri kepada generasi hari ini.

Jika tersilap langkah, dia bimbang hasilnya tidak menepati citarasa semua pihak termasuklah penonton.

“Selain itu, telefilem ini tampak lebih menarik untuk ditonton di mana saya dengan sengaja memilih teraju utama bukan dari pelakon muda. Romantis cinta hero dan heroin berusia ini lebih mendalam, sekaligus mampu menghidupkan lagi karya itu dan mencipta kelainan.

“Zaidi Omar dan Fatimah Abu Bakar bukanlah calang-calang orang dalam dunia lakonan. Biarpun pertama kali digandingkan bersama, saya kagum dengan mereka kerana mampu mencari nilai persamaan demi memberikan warna dalam telefilem tersebut.

“Rezeki yang dianugerahkan adalah milik semua yang mereka terlibat dalam menjayakan telefilem ini. Sesungguhnya saya bersyukur sangat dengan kurniaan ini,” katanya.

Mengabadikan anugerah Pelakon Wanita Terbaik yang dimenanginya pada malam itu buat arwah ibunya,iaitu Seniwati Saadiah, membuatkan Fauziah Ahmad Daud sebak dalam riang kerana menyanjungi sumbangan ibunya dalam graf perjalanan kariernya.

“Bila menang anugerah ini, saya terus teringat arwah emak. Terlalu banyak ilmu yang dia berikan kepada saya hingga masih lagi bertahan di sini, sejak usia remaja sehingga sekarang. Sungguh, anugerah itu cukup buatkan saya menghargai bakat lakonan ini biarpun di awal pembabitan saya dalam dunia seni adalah sebagai seorang penyanyi,” katanya.

Berkongsi perasaannya melakonkan watak Mariam menerusi telefilem Seteguh Kasih Ibunda arahan Osman Ali, dia mencari makna keseluruhan watak Mariam itu demi memberi warna dan penghayatan.

“Bila diberi watak Mariam, saya terus cari apa maksud di sebalik nama tersebut dan wataknya macam mana. Saya menggambarkan ia seperti ibu Nabi Isa yang mempunyai sifat keibuan kerana itulah yang perlu saya terjemahkan dalam telefilem ini.

“Penting untuk saya berfikir untuk bergerak dan bernafas seperti watak itu kalau tak, tidak mungkin watak Mariam itu menjadi. Bukankah itu namanya pelakon yang perlu mengkaji terlebih dahulu setiap amanah yang dipertanggungjawabkan?

“Saya juga sering berbincang dengan sutradara tentang bagaimana plot penceritaan dan Osman seorang yang sangat memahami. Saya juga nyaris menolak berlakon telefilem ini kerana komitmen tinggi dalam projek lain. Tetapi Osman tetap bertegas mahukan saya melakonkan watak Mariam.

“Bakat lakonan yang di awalnya tidak diketahui oleh saya, kini mengubah obsesi diri untuk lebih mencari naskhah baharu agar saya tetap bertapak dalam industri. Saya berterima kasih kepada semua terutama mereka yang terlibat dalam Telefilem Seteguh Kasih Ibunda,” katanya penuh makna.

Apa yang boleh dikatakan, Anugerah Tribute P. Ramlee dilihat semakin matang dan berprestij selepas kali kedua penganjurannya.

Meskipun tidak dihiasi dengan gegak gempita persembahan yang bertali arus, dia dilihat jauh lebih bermakna berbanding majlis anugerah lain yang mengangkat telefilem tempatan.

Usaha yang dilakukan oleh pihak RTM serta Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kumpulan Utusan ini seharusnya dicontohi kerana ia mengangkat karya agung legenda P.Ramlee dalam naskhah karyawan seni masa kini.

Penglibatannya dalam dunia hiburan sudah melebihi dua dekad dan dia seringkali dilihat sebagai yang terbaik setiap kali kemunculan. Bagi apa sahaja watak, dia mampu menjayakannya sehingga ke tahap paling maksimum, sentiasa membuatkan penonton meremang bulu roma.

Namun, siapa pun menjadi curiga andai diberitahu, Zaidi sebenarnya belum pernah menerima sebarang anugerah terbaik. Biar betul?

Zaidi sendiri mengakui, dalam lakonan dia tidak pernah menang. Hanya pada 1994, dia meraih Anugerah Pembantu Lelaki melalui drama berjudul Pengarah Terbaik dalam satu majlis, justeru kemenangan kali ini jauh lebih bermakna.

Selepas lebih dua dekad, barulah dia merasa untuk memegang dan memeluk anugerah Pelakon Lelaki Terbaik. Sungguh, ia umpama mimpi yang menjadi realiti.

Namun, satu yang pasti, bagi diri Zaidi sendiri, Anugerah Tribute P.Ramlee ini tidak sama sekali membuatkan dia mendabik dada atau bangga berlebih-lebihan. Apa yang penting bukanlah anugerah, sebaliknya ilmu lakonan yang mampu memberi pengajaran berguna kepada orang yang menonton, biarpun dia kini sudah memasuki usia emas.

“Bagaikan bergetar bulu roma apabila Datuk Rosyam menawarkan kepada untuk berlakon dalam Menunggu Hujan Teduh. Semua pelakon yang terlibat merupakan pelakon pilihan, jadi sudah tentu rasa bangga itu ada bila terpilih berada dalam golongan mereka yang hebat.

“Berlakon dengan Fatimah Abu Bakar juga merupakan niat saya dari dahulu lagi. Kami senang bekerjasama biarpun telefilem ini menjadi detik permulaan kami berlakon bersama.

“Secara keseluruhannya saya senang bekerja dengan produksi ini termasuklah dengan Azma. Apa yang saya lakukan hanyalah mentafsir semula apa yang diminta oleh penulis skrip kerana telefilem ini ada mesej dalam mencari tersurat dalam tersirat,” jelasnya.

Ditanya apakah rahsianya agar kekal relevan dan masih diterima ramai dalam industri, Zaidi tidak lokek menurunkan petuanya.

“Sebagai pelakon, kita kena ada tiga perkara utama iaitu ilmu, cita-cita dan bakat. Itu antara benda paling saya titik beratkan kalau nak jadi hebat.

“Seorang pelakon mestilah jujur dengan watak yang dilakonkan dan perlu mendalami sesebuah watak terlebih dahulu sebelum ditonton oleh penonton. Kalau pelakon sendiri tak rasa, penonton pun tak akan rasa.

“Bagi saya, setiap watak yang diberikan saya anggap berat. Tiada istilah watak ringan dalam kamus hidup saya.

“Sebab itu untuk telefilem ini, saya jadikan P.Ramlee sebagai bahan rujukan kerana dialah yang paling tepat untuk dijadikan rujukan sebab itu dia digelar legenda,” ungkapnya.