Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kamsiah M Ali segar dalam ingatan

BELIAU mula mengukir nama sebagai penyanyi setelah menjadi johan Pertandingan Bintang Radio Pulau Pinang pada 1963.

DENGAN arwah suaminya, M Ali.
Kamsiah M Ali

Sekalipun kini sudah lebih lima dekad merentasi hidup sebagai anak seni dan era kegemilangannya sudah berlalu, nama Kamsiah M Ali tetap meniti di bibir peminat. Generasi kini mungkin kurang mengenali beliau tetapi bagi generasi lama khususnya peminat lagu pop yeh-yeh, nama beliau tetap segar dalam ingatan.

Malah pada usia 72 tahun, penyanyi kelahiran Taiping, Perak ini masih menyanyi tetapi hanya di majlis-majlis tertentu sahaja.

Jika ketika karier seninya berada di kemuncak beliau merakamkan lagu ke piring hitam dan sibuk dengan pelbagai pertunjukan pentas di sana sini, kini beliau hanya menyanyi dalam majlis-majlis seperti sambutan hari raya, kenduri kahwin atau reunion, itu pun sebagai tidak menghampakan permintaan.

“Kadangkala apabila saya hadir ke majlis-majlis seperti ini saya cuba ‘menyembunyikan’ diri tetapi mereka yang hadir perasan dan meminta saya menyanyi. Jadi saya tidak mahu hampakan permintaan mereka yang masih tetap mengingati saya,” kata beliau dalam satu pertemuan di rumahnya di Air Kuning, Taiping baru-baru ini.

Suara Kamsiah M Ali tetap segar dan merdu seperti dahulu. Lantunan vokalnya tidak banyak berubah dari zaman kegemilangannya. Peminat beliau boleh mengikuti nyanyian beliau dan lagu-lagu asal pop yeh-yeh beliau melalui YouTube.

Antara lagu hits yang dirakamkan pada era pop yeh yeh ialah Joget Si Burung Senja dan Pertanyaanku (iringan kugiran The Siglap Boys, Singapura) dan Dendang Seloka serta Sayang Selintas (iringan kugiran The Clans, Singapura).

Selain itu beliau juga merakamkan lagu dengan iringan The Tornadoes, Taiping. Dengan kugiran ini, dua EP yang memuatkan antara lagu popular seperti Batik Malaysia dan Lahir Dalam Derita dirakamkan.

Mengimbas kembali, nama Kamsiah M Ali merupakan gabungan nama beliau dengan arwah suaminya, M Ali (Megat Ali bin Mohd). Menurut Kamsiah, arwah suaminya ialah pendorong kuat dan tulang belakang kejayaan yang dicapainya sebagai penyanyi.

“Saya mula menyanyi sewaktu masih bersekolah. Ketika itu dapatlah bayaran RM2 atau RM3,” katanya mengimbau kenangan lalu.

Popular

Nama Kamsiah M Ali dan The Tornadoes bukan sahaja popular di Taiping atau negeri Perak tetapi merentas seluruh negara dan Singapura. Malah dianggap antara kugiran hebat sebaris dengan kugiran-kugiran lain di zaman pop yeh-yeh.

Nama yang dicipta bersama-sama The Clans, The Siglap Boys dan The Tornadoes menjadikan Kamsiah artis yang diminati ramai.

Ratu Kebaya Perak 1965 dan nenek kepada empat cucu itu memberitahu, beliau juga pernah menyanyi dengan The Fabulous Strangers, Pulau Pinang namun The Tornadoes ialah kugiran pengiring tetap.

Kesibukan menyanyi juga tidak menjejaskan urusan rumah tangganya kerana beliau sentiasa memberi keutamaan kepada suami dan anak-anak.

Bagaimanapun selepas suaminya meninggal dunia pada 1987, Kamsiah membataskan kegiatan seninya.

Beliau merasakan satu kehilangan yang amat sangat dan lebih banyak ‘mengasingkan’ diri dan menumpukan kepada keluarga dan membesarkan anak.

“Memang ada yang pernah menawarkan saya ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kegiatan seni malah berlakon tetapi saya menolak,” katanya.

Suntik semangat

Kamsiah menyertai Pertandingan Bintang Radio Pulau Pinang pada 1963 dan menjadi juara ketika sudah berkahwin dengan M Ali dan sedang hamil anak sulung.

Kejayaan itu menjadi penyuntik semangat untuknya melonjakkan diri dalam bidang nyanyian.

Hasil perkahwinan Kamsiah dengan M Ali, mereka dikurniakan dua orang anak, Noralisah, 53, dan Norlela, 50.

Menurut anak sulung daripada 10 beradik, selepas berkahwin dan menjadi juara, beliau menjadi artis Penjara Taiping. Ketika itu selain Okestra Penjara, ada Orkes Irama Puteri di Penjara Taiping. Inilah usaha gigih M Ali untuk menyemarakkan seni di Penjara Taiping.

Pada 1967, Kamsiah menempa satu lagi era baharu apabila irama pop yeh-yeh sedang hangat di Singapura dan Malaysia.

Seniman Allahyarham M Osman yang ketika itu sudah menempa nama sebagai raja pop yeh-yeh membawa Kamsiah yang juga kakak iparnya ke Singapura untuk membuat rakaman piring hitam. Ketika itu Kamsiah sedang mengandung anak kedua.

“M Osman yang membawa saya ke dunia rakaman. Beliau juga yang mencipta lagu. Pada malamnya dia mencipta lagu dan esoknya meminta saya menyanyi. Rakaman dahulu memerlukan kugiran dan penyanyi membuat rakaman serentak. Jika berlaku apa-apa kesilapan terpaksa diulang semula,” kata Kamsiah.

Beliau merakamkan lagu dengan iringan The Clans yang juga kugiran pengiring Fatimah M Amin, penyanyi lagu popular Oh Teruna. Dalam EP tersebut, Kamsiah menyanyikan dua lagu, Dendang Seloka dan Sayang Selintas. Dua buah lagu lagi nyanyian M Osman, Membina Cinta dan Mencipta Syurga.

Tidak lama selepas itu, Kamsiah ke Singapura lagi untuk merakamkan piring hitam kedua dengan iringan The Siglap Boys. EP kedua ini menampilkan lagu duet beliau dengan M Osman berjudul Joget Burung Senja dan lagu solo berjudul Pertanyaanku.

Dua lagi lagu dalam EP ini dinyayikan oleh M Osman, Cinta Remaja dan Kasih Nan Rindu.

Lagu Joget Burung Senja adalah antara lagu popular Kamsiah selain Dendang Seloka dan Sayang Selintas . The Siglap Boys dan The Clans adalah antara kugiran ternama di Singapura ketika itu.

Gabungan itu meletakkan nama Kamsiah sebagai antara artis popular di zaman pop yeh-yeh.

Pengaruh era pop mendorong pihak Penjara Taiping menubuhkan The Tornadoes pada 1969. Kesemua pemuziknya adalah kakitangan Penjara Taiping. Kamsiah kemudian menjadi penyanyi kepada kugiran ini dan sempat merakamkan dua piring hitam.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album pertama beliau ialah Lahir Dalam Derita, Batik Malaysia, Pilihanku dan Doa Untukmu.

 

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan