“Bukan seorang dua yang tanya tapi sudah banyak kali ditanya, kami masih bersama sebenarnya, tidak ada masalah.

“Orang buat andaian begitu mungkin kerana kami tidak bercerita sangat perihal hubungan kami. Bagi saya tiada apa yang perlu ditunjukkan kepada orang luar, karier adalah fokus utama. Dalam masa yang sama juga saya dan Zul sendiri memang sibuk dengan urusan masing-masing. Jadi, lebih senang begini sebenarnya,” katanya.

Selesa untuk tidak bersikap seperti remaja lain yang suka berkongsi momen manis dalam alam percintaan, tambah Zahirah, dalam hal ini dia perlu bersikap matang.

“Saya rasa perlu matang dalam hal ini, tidak mahu rasanya untuk saya sendiri bersikap terlalu menunjuk.

“Kami ada kerjaya masing-masing yang perlu diutamakan,” katanya yang bakal muncul dengan drama terbaharu berjudul Demi Cinta Ain.

Baru sahaja melalui episod perceraian ibu bapanya, tambah Zahirah dalam keadaan ini tiada sebab untuk dia sendiri berasa trauma dengan perkahwinan. Jelasnya apa yang berlaku lebih kepada pengajaran buat dirinya sendiri.

“Saya tidak trauma dengan perkahwinan kerana semua itu ketentuan tuhan dan sebagai manusia kita perlu ambil iktibar apa yang berlaku. Bukan sekadar perceraian ini, tetapi juga apa yang berlaku dalam kehidupan kita,” katanya.

Masih baru dalam dunia lakonan, jelas Zahirah yang juga anak kepada pelakon veteran Zainol MacWilson, selepas perceraian ibu bapanya, dia bertanggungjawab mengurus dirinya sendiri.

“Sebelum ini ibu yang uruskan segalanya untuk saya, tetapi ibu telah kembali ke Perth, Australia untuk menjaga adik-adik di sana. Ayah pula ketika ini juga ada urusan sendiri. Kalau ikutkan memang penat kena uruskan semua perkara sendiri, tetapi belum terfikir lagi mahu dapatkan pembantu, bukan apa saya susah percaya orang.

“Setakat ini semuanya masih okey. Saya boleh memandu ke lokasi penggambaran dan ambil baju tajaan sendiri. Kena kuat semangat sebab saya anak sulung daripada empat beradik, jadi tanggungjawab itu banyak,” katanya.

Tidak sekadar melepaskan tanggungjawab kepada ibunya, jelas Zahirah, dia juga mengambil keputusan untuk berulang-alik ke Perth tiga bulan sekali untuk menjenguk keluarganya di sana.

“Sekurang-kurang tiga bulan sekali saya akan pulang ke sana untuk menjenguk ibu dan adik-adik. Malah minggu depan juga saya akan berada di sana.

“Sekurang-kurangnya seminggu, meluangkan masa bersama mereka saya akan kembali bekerja di sini pula,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai gambar muka hadapan sebuah majalah kesihatan yang memaparkan kekasihnya Zul dengan keadaan separuh bogel, jelas Zahirah tidak perlu dia mengeluarkan komen mengenai perkara tersebut.

“Saya rasa Zul berhak buat keputusan sendiri, dan saya tidak mahu komen apa-apa mengenainya,” katanya ringkas.