Justeru itu penyanyi berusia 26 tahun ini menegaskan, dia akan sentiasa memastikan disiplin kerjanya berada pada tahap cemerlang.

“Keinginan Kaka dalam industri hiburan ini jelas. Kaka mahu berkongsi bakat nyanyian dan bukannya mahu meraih perhatian orang ramai dengan cerita-cerita kurang enak.

“Jadi apabila nama Kaka tiba-tiba dipetik sebagai perosak hubungan cinta seorang artis baru-baru ini, Kaka terkejut.

“Ini kerana Kaka langsung tidak ada kena mengena dengan kisah cinta mereka berdua,” tegas Kaka yang sebelum ini dikaitkan sebagai orang ketiga yang menyebabkan hubungan cinta aktres Tasha Shila dan kekasih, Hans Wong berantakan.

Malah dek kerana rasa bersalah, Kaka juga tidak hadir ke majlis malam berinai teman baiknya, Sharifah Sakinah baru-baru ini kerana dikatakan bimbang bertembung dengan Tasha.

Mengulas lanjut, Kaka yang telah empat tahun bertahan dalam dunia hiburan arus perdana memberitahu, dia sendiri bingung apabila dikaitkan dalam kemelut percintaan Tasha-Hans yang merupakan kenalan biasa dalam industri.

“Kalau diikutkan memang tidak masuk akal apabila tiba-tiba saja Kaka dikaitkan dengan kisah cerita mereka. Tapi apabila difikirkan, lebih baik Kaka tak masuk campur.

“Takut-takut yang Kaka kongsi kepada umum itu kemudiannya menjadi fitnah. Lagipun tak payahlah nak terlalu memikirkan perkara tak betul ini.

“Nanti akhirnya Kaka juga yang akan mendapat susah,” ujar Kaka yang tidak mengambil pusing tentang kontroversi ciptaan pihak luar itu.

Mengakui kontroversi tersebut tidak akan menjejaskan reputasi dan keinginannya untuk menjadi artis yang memiliki rekod bersih, kata Kaka, dia juga yakin kebenaran akan menyebelahinya satu hari nanti.