Sudah tentulah, tempoh seminggu belum dapat meredakan jiwa-jiwa yang bersedih meratapi pemergiannya. Sepanjang hari, dapat dilihat kawasan kuburnya penuh sesak sejak hari pertama dia disahkan meninggal hingga ke saat ini.

Rakan artis dan peminat terus membanjiri kawasan TPU Pondok Ranggon, Jakarta Timur yang menjadi tempat persemadian wanita yang sudah lebih tiga tahun menderita kanser serviks, penyakit yang paling ditakuti oleh kebanyakan wanita.

Kesedihan paling tebal terpancar di wajah setiap ahli keluarga bintang nan malang ini. Selama lima bulan mereka menjaga Julia Perez atau Jupe di rumah sakit sehingga akhirnya kanser itu sudah merebak kepada tahap ke-empat, tiada sebarangan rungutan dizahirkan. Tentu sahaja ibu Jupe, Sri Wulansih merupakan orang yang paling sedih. Hanya beberapa hari selepas tubuh Jupe disemadi, wanita ini akhirnya membuka cerita yang meruntun emosi sesiapa sahaja.

“Dia masih tenang-tenang sahaja dan yakin untuk kekal dalam perjuangan menentang kesakitan.

Jupe tahu dia akan kembali sihat, tetapi Yang Maha Esa lebih tahu apa yang terbaik dalam perjuangannya. Sebelum apa-apa dia menjalani pembedahan terakhir, kami saling berdakapan. Saya juga ada meminta maaf kepada dia jika selama ini saya ada buat salah. Dia juga memeluk kami dengan erat sekali dan memberitahu dia akan terus berjuang melawan penyakitnya,” ujar sang ibu penuh sebak.

Dalam nada penuh emosi, satu persatu air matanya gugur. Tiada ibu yang tidak bersedih saat melihat kepergian anak terlebih dahulu. Begitu juga yang dirasai oleh Sri Wulansih saat terpaksa menerima hakikat yang Jupe sudah tiada lagi.

“Saya sama sekali tidak menyangka Jupe akan pergi secepat ini. Satu hari dalam ruangan ICU (unit rawatan rapi) selepas pembedahan di bahagian perutnya, dia sebenarnya sudah sedar. Saya senang dengan keadaannya ketika itu. Saya anggap itu mukjizat Allah di mana anak saya kembali normal setelah melalui pembedahan. Dia seperti orang sihat dan sempat minta untuk minum, kemudian dia tidur. Waktu itu saya tak fikir apa-apa dan menganggap dia akan pulih,” ungkap wanita ini lagi.

Namun kegembiraan Sri Wulansih tidak lama apabila doktor pula memberikan pendapat berlainan dengan apa yang dilihat. Kata doktor keadaan Jupe tidak ada yang kurang sama sekali.

“Dia sempat meminta diri untuk tidur sebelum pergi buat selama-lamanya selepas itu,” katanya. Menceritakan saat-saat akhir Jupe, dia langsung tidak memperlihatkan rasa sukar untuk menghadapi maut. Malah, dia meninggal dalam tidur dengan penuh ketenangan, tanpa disedari oleh sesiapa pun di sisinya. Malah, meninggalkan juga dalam bulan Ramadan, ia adalah rezeki dan rahmat Allah untuk insan yang dipilih-Nya.

Indonesia menyayangi Jupe

Selepas pemergian Jupe pada 10 Jun yang lalu, setiap pagi keluarganya akan ke pusara Jupe sambil menaburkan bunga dan air seperti mana yang biasa dilakukan oleh mana-mana keluarga.

Jupe juga telah membuktikan betapa dia begitu disayangi oleh kebanyakan rakan artis dan peminat yang tidak putus-putus menziarahi pusara abadinya itu. Lautan manusia membanjiri tanah perkuburan.

Sebaik sahaja Jupe disahkan meninggal dunia, kawasan tapak perkuburan sedari awal sudah dipenuhi ribuan peminat yang sama-sama memberikan penghormatan terakhir kepada penyanyi Belah Duren itu.

Disayangi oleh media.

Paling mengejutkan apabila ada rancangan hiburan yang disiarkan oleh sebuah stesen televisyen di sana mengadakan program khas di saat jenazah Jupe mahu dikebumikan. Tidak cukup dengan rancangan, mereka juga lintas langsung dari tanah perkuburan sebagai penghormatan. Sesuatu yang jarang dilakukan oleh stesen TV dan biasanya hanya untuk pemimpin negara.

Bagi pihak keluarga pula, mereka sebenarnya kurang senang dengan perkara tersebut.

“Jupe memang sayang wartawan dan teman media yang lain. Tapi alangkah baiknya jika mereka menghormati sedikit pihak kami. Seharusnya, mereka memberitahu kepada ahli keluarga terlebih dahulu, jadi kami tidak terkejut seperti ni. Banyak kesan yang kami terima gara-gara shooting live begini. Kalau beginilah, mereka nampaknya lebih ‘sukakan’ orang meninggal. Yang penting bicara, beritahu baik-baik sudah memadai agar tidak salah faham,” tegas Nia Anggia, adik Jupe.

Namun dalam satu sudut lain, pemergian Jupe juga adalah kehilangan besar. Seluruh Indonesia turut berduka dan bersedih atas kehilangan susuk tubuh yang penuh mesra ini. Sudah pasti ia turut dirasai oleh kebanyakan rakan media yang kerap membuat liputan tentangnya. Bukan sahaja di zaman sihatnya, Jupe melayan media dengan penuh jujur dan ikhas, malah selama berada dalam kesakitan juga, dia tidak pernah mencari masalah dengan media yang juga dianggap sebagai rakannya. Walaupun letih atau tidak punya banyak masa, dia tetap akan melayan dan membalas segala pertanyaan rakan media dengan baik dan cukup memahami tugasan yang menjadi tuntutan para pengamal media bertauliah.

Justeru, tidak hairan, mengapa media meletakkan Jupe di ruang cukup istimewa, sehinggakan mereka juga berbulan-bulan ‘berkampung’ di hospital saat si cantik ini terbaring lesu bagi mendapatkan berita terkini.

Tentu sahaja, kehilangan Jupe adalah kehilangan buat mereka yang sudah berhubung mesra bertahun-tahun lamanya.

Hilang

WALAUPUN keluarga seakan sudah reda dan menerima hakikat pemergian Jupe, mereka juga tidak putus-putus mengadakan majlis tahlil dan sedekah kepada sekolah pondok, surau dan masjid di sekitar kawasan kediaman Jupe di Raffles Hill, Jakarta. Turut hadir sama dalam beberapa acara tahlil termasuklah Maia Estianty, Ussy Tata Janeeta, Andhika Pratama dan beberapa rakan artis yang mahu ikut sama.

Namun begitu ada sesuatu yang dilihat agak ‘pelik’ apabila kelibat bekas suaminya tidak langsung kelihatan. Sejak bercerai, hubungan mereka dingin. Namun Gaston Catona ada dilihat pernah menziarahi Jupe saat dia berada di hospital. Khabarnya Gaston berada di Thailand pada waktu berita kematian Jupe tersebar.

Dalam pada itu, pihak keluarga juga sepakat untuk melelong barang-barang berharga seperti baju dan kasut yang ada dalam simpanan. Hasil daripada jualan tersebut akan diagihkan kepada rumah kebajikan yang dibangunkan oleh Jupe sebelum ini.

Menurut adik arwah, Nia, mereka akan melaksanakan amanah untuk memberikan beberapa barang peribadi Jupe kepada pihak memerlukan. Ada juga sebahagian daripadanya akan diberikan kepada calon artis muda yang tidak berkemampuan untuk membeli.

“Ini memang amanah daripada Jupe. Kalau ada orang yang mahu berlakon tapi tak mampu, Jupe pesan diberikan sahaja. Beri mereka baju yang sepatutnya, mudahan bermanfaat,” tambahnya lagi.