Bukan mahu mencontohi kehadiran semula Ratu Dangdut Amelina tetapi dia yakin muzik arus perdana kini kembali menerima genre dangdut yang pernah menjadi fenomena satu ketika dulu.

Bakal hadir dengan single baharu berjudul Angkat Tangan, kata Sheeda, dia tidak pernah putus asa memperjuangkan irama dangdut apalagi selepas sering kali ditanya oleh peminat tentang pelapis dan generasi baharu irama ini.

Sedar dengan kekurangan pelapis baharu irama dangdut, Sheeda memberitahu, dia dan penyanyi Iwan pernah cuba untuk memperkenalkan penyanyi baharu genre itu namun tuah tidak menyebelahi ketika itu.

“Bukan kita tak cuba perkenalkan penyanyi baharu tetapi tidak menjadi. Saya sendiri setiap kali buat persembahan, ramai yang tanya, bila irama dangdut mahu kembali dengan pelapis baharu.

“Orang fikir, kami yang senior ini cari makan tanpa mahu berkongsi dengan penyanyi baharu. Itu salah. Kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran penyanyi dangdut baharu sebab takkan asyik muka lama saja yang muncul.

“Sebab apabila sebut dangdut, orang ingat nama Sheeda, Amelina, Iwan atau Mas Idayu. Pelapis baharu di mana? “ katanya.

Mengaku bahawa dia begitu menyayangi irama dangdut dan tidak mahu genre itu terus ditelan dek zaman, kata Sheeda, dia juga melihat situasi sekarang sudah berbeza apabila penyanyi dari seberang, Cita Citata berjaya meraih perhatian pendengar tempatan menerusi lagu popularnya, Sakitnya Tuh Di sini.

“Saya lihat dia bijak mempengaruhi pendengar kita. Ramai orang sukakan lagu itu dan secara tak langsung orang kembali suka dengan dangdut.

“Satu lagi yang bagusnya tentang Citata, tidak seperti penyanyi dangdut lain, dia tidak menyanyi dengan bergelek keterlaluan. Itu satu perkara yang harus dipuji dan dicontohi oleh penyanyi pelapis baharu dangdut,” kata penyanyi yang berasal dari Kelantan ini.

Bukan jual anak

Bercakap tentang pelapis baharu, satu usaha yang dilakukan oleh Sheeda ialah memperkenalkan anaknya, Norfazlinda Ahmad Fazli, 15, sebagai penyanyi yang bakal menyinari dunia seni dangdut menjelang akhir tahun ini.

Menurut Sheeda, selepas Bienda, dia sengaja menarik masuk anaknya itu ke dalam dunia hiburan tempatan.

Menolak andaian bahawa dia mahu ‘menjual’ anak dengan mendrongnya menjadi penyanyi, kata Sheeda, dia yakin anaknya, Norfazlinda atau panggilan mesranya, Aleen mampu menjadi indvidu yang lebih baik dengan menjadi seorang selebriti.

“Saya aturkan perjalanannya dalam dunia seni demi kebaikan dia. Saya mahu isikan masa lapang dia dengan aktiviti dan saya boleh pantau dia di depan mata dengan terlibat sama dalam industri.

Sebagai seorang ibu, Sheeda percaya dunia seni yang diceburinya sejak lebih 20 tahun ini dapat mengajar Aleen untuk lebih berdikari dan mengenal dunia sebenar.

“Saya gunakan strategi yang sama seperti saya lakukan kepada Bienda. Biar dia jadi seorang selebriti. Kalau dia nak buat benda mengarut dan tidak baik, dia akan fikir dua tiga kali sebab orang bukan sahaja kenal dia tetapi juga saya. Jadi dia akan lebih berhati-hati menjaga kelakuannya.

“Mungkin orang akan fikir, dunia seni ini tak selamat. Tetapi bagi saya, dunia senilah yang lebih selamat sebab orang industri adalah kawan-kawan saya. Biar Aleen belajar tentang kehidupan dengan menjadi seorang selebriti sama macam kakaknya, Bienda,” katanya.

Menyediakan Aleen dengan single berjudul Sakti (Kau Sakiti Hati Ini), kata Sheeda, anaknya itu akan bergandingan dengan teman baiknya, Jeena untuk lagu tersebut yang akan dilancarkan selepas hari raya nanti.

Membawakan konsep pop dangdut, Sheeda turut meletakkan syarat kepada Aleen agar menyanyi tanpa bergelek sakan agar muzik dangdut itu tidak dicemari dengan pandangan bahawa irama itu sinonim dengan erotik seperti sesetengah penyanyi dangdut dari seberang.