Berkesempatan bertemu dengannya, Pancaindera berkongsi kisah perjalanan hidupnya dalam bidang seni sejak dari dulu sehingga sekarang. Minat bermain muzik bermula kerana bapanya merupakan seorang yang gemar bermain alat muzik. Kerana itu tidak hairanlah rumahnya dipenuhi alat-alat muzik seperti trompet, violin, gitar dan sebagainya.

“Sejak kecil lagi saya dah terbiasa melihat instrumen tersebut tetapi tak berani untuk menyentuhnya kerana bimbang akan dimarahi ayah. Sehinggalah ketika usia menginjak 13 tahun saya selalu curi-curi bermain peralatan tersebut apabila ayah keluar bekerja.

“Suatu hari ketika ayah tiada di rumah saya pun mengambil kesempatan meniup trumpet. Dek kerana bunyinya yang kuat, saya tidak mendengar bunyi enjin kereta ayah. Sedar-sedar dia sudah pun berdiri di belakang, mulalah gelabah. Mujur tak terhempas alat tersebut.

“Saya ingatkan dia marah tapi rupa-rupanya tidak tetapi dia agak terkejut saya pandai meniup trumpet. Menyedari bakat yang ada dalam diri ini, ayah bertindak menghantar saya belajar muzik dengan rakannya yang juga seorang guru muzik bernama Saaban Saliman,” ujar anak kedua daripada sebelas orang adik-beradik ini.

Tiga tahun mendalami ilmu tersebut, dia akhirnya mahir dalam penggunaan alat-alat instrumen dan menggubah lagu. Tidak mahu mensia-siakan ilmu yang ada dia bertekad menyertai kumpulan Mambo Band Chand-Ni Raat 1958. Kumpulan tersebut giat membuat persembahan di kelab-kelab malam sekitar Singapura ketika itu.

Kini dia menyandang jawatan Profesor Ikhtisas (Muzik dan Seni Kreatif) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jasa dan sumbangannya dalam bidang muzik telah membawanya menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kesenian) pada Majlis Konvokesyen UKM ke-38.

Berkongsi kenangan manis sepanjang lebih 40 tahun dalam bidang muzik, beliau terharu apabila diberi penghormatan untuk mengadakan Konsert Penghargaan Maestro Datuk Johari Salleh pada 2015. Persembahan itu diadakan sebagai penghargaan kepadanya atas sumbangan dan perkhidmatannya di RTM sebagai Pengarah Muzik kedua pada 1976 selepas tertubuhnya Orkestra RTM.

“Konsert itu merupakan satu penghargaan yang tidak terhingga buat saya. Itu antara kenangan yang tak dapat saya lupakan. Ia dianjurkan oleh RTM bersama Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dengan kerjasama Orkestra Kuala Lumpur (OKL-DBKL).

“Ia tidaklah menampilkan artis yang ramai kerana lebih kepada muzik Johari Salleh itu sendiri. Namun ketika itu saya turut mengundang anak saya Johana, penyanyi Alyah dan juga Nassier Wahab. Jika ada kesempatan lagi, saya bersedia untuk menjayakan konsert seperti itu sekali lagi.

“Sekarang pula saya tengah dalam persiapan untuk menganjurkan konsert pada bulan Februari di UKM selain sibuk sebagai tugasan hakiki dan menyampaikan ceramah. Walau bagaimanapun selagi mana diberi kesihatan dan diizinkan Allah saya akan terus menyumbang bakti dalam dunia muzik yang sangat saya cintai ini,” ujarnya mengakhiri bicara.

Tamat persekolahan di Siglap Secondary School, Singapura, Johari mula aktif mencari peluang memasuki pertandingan pancaragam. Pernah dalam tempoh satu minggu dia bersama kumpulannya menjuarai dua buah pertandingan pancaragam. Bermula daripada situlah dia mula dikenali dan dipanggil untuk membuat persembahan di Radio Malaya Singapura.

“Suatu hari saya terbaca iklan dalam surat khabar yang mana Radio Malaya Kuala Lumpur ingin mencari orkestra. Tanpa membuang masa, saya pun menghantar borang. Alhamdulillah, tidak beberapa lama selepas itu saya menerima surat panggilan uji bakat.

“Seingat saya salah seorang ahli panel ketika itu adalah Tan Sri Ahmad Merican. Dia meminta saya bermain alat muzik antaranya violin, trumpet dan gitar. Tidak lama selepas itu, saya diterima bekerja di RTM sebagai Pemuzik Tetap Radio Malaya pada 1961. Peluang itu juga membawa saya berhijrah ke Kuala Lumpur,” ceritanya.

Ketika berkhidmat di RTM dia bertuah kerana dihantar ke Boston, USA untuk menyambung pelajaran dalam bidang Diploma in Music (Composition and Arrangement) pada 1968. Dengan pengalaman yang ada, dia dilantik sebagai Pengarah Muzik RTM pada 1976.

“Kesempatan menimba ilmu di negara orang membuatkan saya teruja. Mana tidaknya kolej tersebut merupakan salah satu destinasi yang akan di singgah oleh pemuzik-pemuzik terkenal seluruh dunia. Banyak pengalaman yang saya kutip sepanjang tempoh itu. Dahulu, orkestra RTM kecil sahaja namun lama kelamaan ia berkembang sehingga ke hari ini,” ujarnya.