MENYAMPAH juga bila disamakan dengan ibu sendiri.” 
Bersahaja, itulah jawapan yang diberikan oleh anak dara Ratu Jaz, Datuk Sheila Majid, Kayda.
Kayda akui ada kalanya dia kecewa dan sedikit tertekan kerana setiap kali pergi ke mana-mana, pasti tidak lekang dari bibir orang mengaitkan dirinya dengan ibunya.
Namun dari sudut lain, Kayda berfikiran positif dan berbangga dengan pencapaian ibunya itu dan atas dasar itulah dia cuba untuk membiasakan diri dengan perkara tersebut.
“Memang jauh di sudut hati saya, timbul rasa menyampah dan kurang senang bila orang mengatakan saya menumpang populariti ibu. Itu memang saya tidak mampu hendak elak lagi. Hinggakan orang tidak ingat nama saya malah memanggil saya dengan nama ‘anak Sheila Majid’.
“Orang tak tahu saya berusaha keras untuk membina nama atas tapak sendiri tanpa menggunakan keistimewaan ibu. Tolonglah... tolong kenali diri saya sebagai Kayda,” lembut bicara Kayda usai majlis memperkenalkan single terbaharunya bersama Hunny Madu, Go Hard or Gostan dan Gucci Dowh.
Penyanyi berusia 23 tahun dan pemegang ijazah sarjana muda psikologi di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bersyukur apabila ibunya tidak pernah menghalang minatnya. 
Meskipun jauh meninggalkan genre ibunya yang lebih ke arah jaz dan dia pula cenderung ke arah muzik rap dan hip hop, ia bukan satu masalah pun untuk saling memberi sokongan.
Kayda atau nama sebenarnya Wan Nur Khaleda merupakan anak sulung hasil perkahwinan Sheila dengan komposer dan penerbit muzik, Roslan Aziz. Mereka juga dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Megat Abdul Majid Aziz.
“Ibu tidak pernah mempersoalkan minat saya yang dilihat jauh berbeza dengan dia. Ibu jugalah antara orang yang sentiasa menyokong saya.
“Kalau betul saya tumpang populariti ibu, rasanya saya sudah ada album sendiri 10 tahun lalu. Sebab saya mula menyanyi semenjak usia 13 tahun lagi. Bapa saya pun orang kenal tapi saya mahu orang kenali saya sebagai artis baharu dan kini sedang mendaki puncak secara perlahan-lahan.
“Bapa saya banyak beri nasihat tentang pancaroba menjadi anak seni. Banyak yang perlu dijaga dan sampai ke hari ini, saya masih ingat lagi pesanan dia dan tidak akan pernah lupa,” ungkap Kayda.
Di samping itu, Kayda  turut berkongsi pesanan ibunya agar memberikan 100 peratus perhatian dalam dunia muzik tanpa memandang ke belakang lagi.
“Ibu tak pernah sekat keinginan dan minat saya. Dia cakap buatlah apa sahaja yang saya mahu asalkan perkara tersebut akan mendatangkan hasil yang baik dan menggembirakan diri sendiri.
“Ibu nak saya lakukan 100 peratus dan tak nak lihat saya buat kerja separuh jalan dan sambil lewa sahaja. Dia tak nak saya bosan dengan muzik jadi dia berkali-kali ingatkan saya, berkarya biar ada jiwa,” tutur Kayda.
Muzik hip hop dan rap ibarat sudah sebati dalam diri Kayda. Dia sendiri mengaku membesar dengan lagu-lagu berentak rancak dek terpengaruh dengan sepupunya sewaktu kecil.
“Memang orang akan berasa pelik, boleh ke saya rap? Sepupu saya kebanyakannya suka dengan muzik hip hop dan rap. Waktu itu pun saya membesar dengan lagu-lagu seperti Too Phat, Ruffedge dan Teh Tarik Crew.
“Dari situ bila lihat mereka buat persembahan sambil menari hip hop buat saya tertarik dan berminat. Jadi dari situlah mulanya saya ambil sebuah lagu dan berlatih rap sendiri,” kata Kayda yang mengatakan irama rap seronok andai punyai jiwa.
Atas dasar itu juga, Kayda bekerjasama dengan penyanyi dan pengacara Hunny Madu untuk terjun ke dalam bidang nyanyian secara komersial hasil daripada projek khas yang pada mulanya sekadar suka-suka.
“Saya dan Hunny dah lama kenal sejak saya berusia 13 tahun. Masa itu saya baru nak berjinak-jinak dalam nyanyian rap. Kami senang bekerjasama sebab sudah serasi dan kerja pun akan jadi mudah. Tahun lalu kami berjumpa dan timbul idea nak bekerjasama. Jadi kami pun sama-sama hasilkan lagu dan lirik sendiri.
“Kadang-kala ada juga saya bertanya kepada ibu andai ada perkara yang kurang saya fahami dalam muzik. Ibu banyak membantu saya,” katanya yang tidak menolak andai diberi peluang untuk berduet dengan ibunya sendiri.