Tiada apa yang dikesali sepanjang 25 tahun bergelar penghibur. Onak ranjau dilalui menjadikan dirinya setegar karang di laut, mendepani ombak hidup dengan cukup tenang.

Melalui pelbagai fasa sama ada yang manis dan pahit, dia tahu kejayaannya diiringi doa dan restu daripada keluarga serta peminat. Siapalah Ning Baizura tanpa anda semua?

Mensyukuri nikmat suara yang dikurnia Tuhan, penyanyi yang bakal menginjak usianya ke angka 43 tahun ini mengakui naluri memberontak dan mendambakan perhatian menjadi modus operandi dalam mengatur kerjaya dan hidupnya.

Namun sepanjang kerjaya, dia sedar banyak mata yang memerhati. Pada kala ini, dia hanya mahu menjadi yang terbaik untuk keluarga dan peminatnya. Tidak mahu mengimbau kisah lama buat sekian kalinya.

“Semuanya nampak senang bukan? Tapi pengalaman yang saya lalui cukup mencabar. Saya selalu menyalahkan orang lain, saya mahukan perhatian dan memberontak. Saya tidak datang dari kesempurnaan.

“Kepayahan, kesukaran dan kontroversi mematangkan saya. Bila kita lalui pelbagai fasa, saya nampak sinarnya. Ya, saya masih di sini menyanyi dan mensyukuri bakat yang ada.

“Ada orang kata sudah melahirkan anak, suara akan hilang. Tetapi rezeki Allah, saya masih boleh menyanyi. Masih mempunyai suara ‘itu’. Malah, saya sempat merasai kasih seorang bapa pada hujung hayatnya,” katanya.

Tidak mahu terlalu mencuba menyelinap mencari ruang publisiti dalam rimbunan penyanyi baharu, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Curiga ini menolak untuk melakukan sesuatu semata-mata untuk tular.

Bukan menyelar gimik dan cara segelintir penyanyi muda, Ning bagaimanapun tidak mahu memperjudi pengalaman 25 tahun dalam industri semata-mata untuk namanya kembali hangat dalam laman seni.

Hanya mahu terus menghiburkan peminat dunia seni dengan cara sendiri, penyanyi yang juga seorang pelakon ini mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan nama baik keluarga dan dirinya sendiri.

“Saya tidak mengkritik atau mempertikai cara mereka. Tidak semestinya kena buka baju baru popular. Tak perlu saya reka sesuatu hanya semata-mata untuk tular di media sosial.

“Jujur cakap, saya sudah makan garam dahulu. Saya hormat cara mereka dan saya juga ada cara tersendiri. Mungkin mereka belum cukup matang dan mungkin itulah cara untuk popular dewasa ini.

“Saya sudah lalui macam-macam kontroversi. Rasanya tidak perlu saya cerita, semua ada dalam ingatan setiap daripada anda yang sama-sama membesar dengan saya,” selorohnya.

Ya, mungkin jika media sosial sudah wujud kala tahun 90-an, Ning Baisura adalah ratu tular. Digelar simbol seks Malaya, artis gila perhatian dan macam-macam lagi, dia kekal bertahan sehingga kini.

Tenang dan Tudung Periuk

KINI bertatih dalam perniagaan restoran masakan Melayu, Tudung Periuk, perancangan enam bulannya bersama suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton akhirnya menjadi kenyataan.

Mula beroperasi sejak empat minggu lalu, Tudung Periuk yang terletak di Plaza Damas, Hartamas dibina atas tiang impian untuk meneruskan legasi bapanya, Sheikh Hamzah dalam meneruskan restoran.

Menjadi mini galeri menempatkan gambar peribadi dan kenangan sepanjang 25 tahun bergelar anak seni, Ning bersyukur kerana keluarga dan suaminya menyokong penuh usahanya itu.

“Kalau benda hendak jadi, maka Tuhan akan permudah. Enam bulan merancang mencari lokasi dan tukang masak, akhirnya Tudung Periuk mula beroperasi. Banyak juga modal, tetapi ini langkah pertama saya.

“Sebenarnya saya meneruskan legasi arwah ayah yang sebelum ini membuka restoran di Shah Alam. Namun, restoran itu sudah ditutup kerana kesukaran menjadi pengurus restoran itu ketika kesihatan ayah mula merosot.

“Tudung Periuk menyajikan masakan Melayu yang digemari semua lapisan masyarakat. Malah, tidak hanya rakyat tempatan yang datang menjamu selera, namun ramai pelancong dan warganegara luar turut mencuba hidangan di sini,” katanya.

Tambah mengujakan, penyanyi yang mendapat gelaran ‘Diva R & B dan Soul’ ini juga bakal tampil dengan single baharu Tenang yang merupakan pertaruhan pertama menerusi album baharunya.

“Sudah lama sebenarnya kita simpan lagu Tenang ini dan pada usia 25 tahun saya dalam industri, ini adalah waktu yang sangat tepat. Insya-Allah, album tersebut akan dilancarkan selepas Aidilfitri nanti.

“Malah, saya juga merancang untuk mengadakan siri jelajah di beberapa lokasi termasuk Sabah dan Sarawak. Semuanya dalam perancangan, tetapi saya akan maklumkan tidak lama lagi.

“Saya tidak menolak kemungkinan konsert berskala besar itu ada, namun banyak perancangan termasuk mencari penaja perlu disusun dengan baik. Kalau semuanya dipermudah Tuhan, pastinya akan berjalan lancar,” katanya.