Biar sesibuk mana pun seorang anak muda bernama Aiman Tino, dia tidak pernah culas memberi senyuman kepada sesiapa di sekelilingnya. Keletahnya juga boleh tahan lawak sebenarnya.

Bersua bicara dengan anak kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor ini, ada sahaja cerita baharu yang dikongsi. Hubungan akrab antara wartawan dan penyanyi ini memudahkan lagi kami bertukar cerita.

Sambutan raya tahun ini pastinya berbeza untuk Aiman. Popularitinya bukan lagi perkara yang harus dipersoal. Di mana sahaja dia berada, pasti ada peminat yang bagai naik histeria tatkala bersua.

Usia anak keempat daripada 10 adik beradik ini masih terlalu muda. Baru 19 tahun sahaja. Namun keletah spontannya melayan peminat berbeza usia, baik yang kecil hingga ke dewasa, semuanya sama rata.

Ditanya soalan pertama, apakah perasaan beraya sebagai artis? Seraya tergelak kecil, Aiman menggelengkan kepala. Jawabnya, raya masih sama. Tiada yang berbeza kecuali kemeriahan berganda.

“Tahun ini memang saya agak sibuk sedikit. Selain persembahan dan aktiviti seni, saya juga sibuk menyediakan persiapan raya untuk keluarga. Memang niat saya tahun ini nak belanja semua.

“Tengok senyuman ibu ayah, adik beradik tatkala memilih pakaian raya pun sudah buat hati saya senang. Itu hanyalah pemberian kecil yang mungkin tidak setara mana kepada keluarga,” katanya yang tahun kedua menyambut lebaran sebagai anak seni.

Pastinya persoalan pertama tatkala mendengar jawapan tersebut, mengapa Aiman mengambil tanggungjawab untuk menyediakan persiapan raya? Bukan itu sebenarnya tugas ibu dan ayah sementelah mereka semua masih kecil?

Menjawab persepsi tersebut, Aiman tidak merasakan perbelanjaan itu sebagai satu bebanan. Jauh di sudut hatinya, dia cuma mahu berasa bagaimana susah ibu bapanya menyediakan persiapan raya sebelum ini.

“Bukan mereka tidak ada duit. Masing-masing ada kerjaya sendiri cuma apa salahnya kalau saya meringankan beban ibu dan ayah. Sebelum ini saya tak ada pendapatan, jadi inilah masa nak rasa semua ini.

“Ini bukan satu isu pun. Ramai anak-anak berbakti kepada ibu bapa dan keluarga. Saya bersyukur Allah murahkan rezeki dan dapat memberi bukan hanya kepada keluarga tetapi kepada masyarakat juga,” kata anak muda yang cukup popular dengan lagu Ku Rela Dibenci 
ini.

Terlanjur berbicara soal keluarga, pertanyaan bagaimana akrabnya hubungan Aiman dan adik beradik singgah di fikiran. Masakan tidak, jarang-jarang kita dengar kisah 10 beradik.

Mungkin ada cerita menarik yang boleh dikongsi khususnya kemeriahan menyambut hari kemenangan. Bayangkan kecohnya raya dengan 10 beradik. Dari yang kecil hingga besar, pasti ada ragam sendiri.

“Memang susah sebenarnya kami hendak berkumpul satu keluarga. Jadi bila ada kesempatan seperti hari raya ini, kami akan gunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya.

“Masa inilah hendak berkongsi cerita, meluah perasaan masing-masing. Saya pun sibuk dengan persembahan jadi jarang pulang ke rumah. Tetapi kami tetap mesra biarpun tidak selalu bersama-sama,” kata Aiman yang bakal bercuti selama seminggu sempena hari raya kali ini.

Berbalik kepada cerita rayanya, penyanyi Permata Cinta ini juga berkongsi perasaan melihat kehidupan gelandangan.

Status sebagai anak seni yang popular ditambah dengan usia muda tidak membataskan langkahnya untuk mengambil peluang pada bulan mulia untuk bersedekah dan membantu golongan jalanan itu.

“Dari tahun lepas lagi memang saya pasang niat untuk bertemu dengan golongan gelandangan. Bukan hendak bercerita tentang kebaikan diri cuma saya mahu berkongsi rezeki yang dengan mereka.

“Saya tak bagi makanan tetapi keperluan diri seperti tuala, berus gigi dan sabun. Kalau makanan, sudah ramai pihak yang tampil membantu,” katanya yang mengakui seronok berjumpa dengan golongan jalanan itu.

Sudah pasti insan yang paling berbangga melihat kejayaan Aiman adalah ibu dan bapanya, Hazelina Mat Jali dan Yusri Ishak.

Tiada kata yang mampu mernggambarkan bunga hati yang mekar menyaksikan pencapaian anak sendiri.

Namun tidak pernah lekang dari bibir kedua-dua insan ini untuk menitipkan kata-kata pesan kepada penyanyi muda itu. Jangan takbur dan lupa diri, itu azimat yang seharusnya dipegang Aiman sampai bila-bila.

Jujur mengakui sedikit risau seandainya anaknya ‘ditelan’ oleh populariti, Yusri bagaimanapun percaya dengan kematangan dan jiwa Aiman yang sentiasa merendah diri serta baik budi.

“Kami bangga dengan setiap anak. Masing-masing ada pencapaian sendiri.

“Sebagai ibu bapa, kami kena sokong minat dan kehendak. Sekiranya baik untuk mereka, kenapa perlu halang?

“Saya sentiasa ingatkan anak-anak untuk hidup berdikari dan jangan bergantung harap kepada orang lain. Nanti apabila kami berdua sudah tiada, sekurang-kurangnya mereka pandai jaga diri.

“Risau juga setahun dua nanti dia lupa diri. Tapi saya sentiasa ingatkan dia, kalau hendak kekal berjaya ingat dari mana dia datang. Kena tahu asal diri dan jangan sesekali lupa jalan pulang,” kata finalis Bintang HMI 1992 itu.

Cuba mengorek bagaimana Aiman di rumah, seraya tergelak besar, Hazelina sempat mengusik anak terunanya itu dengan ejekan dan jolokan abang yang garang.

“Aiman seorang anak yang tegas. Selalu bagi nasihat kepada tak kira adik, abang atau kakaknya.

“Kalau adik-adik nakal, kita ‘gertak’ mereka guna nama Aiman, mesti mereka takut,” seloroh wanita berusia 41 tahun ini.

Jika dikira secara total penonton video muzik Aiman di YouTube, angkanya sudah mencecah lebih 70 juta. Mahu atau tidak, kita semua perlu akui dia bintang paling menyinar 2017.

Biarpun belum pernah lagi dianugerahkan sebagai yang popular namun penyanyi ini ada tempat tersendiri di hati rakyat Malaysia.

Tipu jika tidak mengenali empunya nama sebenar Mohammad Aiman Yusri ini.

Tidak pernah menjadikan populariti untuk ke ruang kesombongan, Aiman kekal berjiwa hamba. Usah disalah guna harapan dan doa peminat untuk berasa megah dan besar.

Menjadi selebriti tidak mengubah jati dirinya. Dia masih anak muda yang hidup seperti remaja lain. Perbezaannya cuma dia seorang artis yang digilai ramai peminat.

“Tiada yang berubah. Menjadi artis ini lebih mengajar saya untuk lebih matang dan berhati-hati dalam setiap tingkah laku.

“Sebelum ini saya hanya remaja normal tetapi apabila jadi artis dunia berbeza.

“Saya bukan membawa nama sendiri sahaja, jika ada kontroversi sedikit sebanyak nama keluarga juga terpalit sama.

“Saya kena tunjuk penampilan yang baik dan mengelakkan perkara buruk.

“Semestinya lumrah hidup sebagai artis, kecaman itu ‘makanan harian’. Cuma sama ada kita bijak untuk mengendali emosi dan perasaan sahaja menjadi batu pengukur.

“Kena sabar, itu cabaran dan ujian anak seni,” katanya yang mempunyai hampir sejuta pengikut di Instagram.

Sayap seni penyanyi ini semakin mengepak hingga jelas terlihat.

Namun tatkala remaja seusianya sedang sibuk menelaah di kampus, ada yang bertanya mengapa Aiman tidak menyambung pelajarannya?

Adakah percikan dunia glamor merantai kaki daripada melangkah untuk menimba ilmu? Atau sebenarnya dia sudah culas untuk menelaah, lebih baik cari duit itu lebih menguntungkan.

“Memang saya berniat untuk sambung belajar. Tapi kena tengok pada masa juga.

“Setakat ini jadual saya betul-betul padat. Takut nanti tak boleh nak bahagi masa belajar dan kerjaya.

“Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Baik saya fokus dengan kerjaya, bila sudah betul-betul stabil baru saya ada keyakinan untuk menyambung pelajaran.” katanya yang menjadikan dunia seni sebagai medan ilmu mendidik dirinya.