Sangetta, Tanuja, Jasmine dan Pushpa Narayan

Langsung tidak tergugat dengan kelebihan masing-masing, Pushpa Narayan, Thanuja Ananthan dan Jasmine Michael yang kelihatan klasik dalam persalinan sari sepakat untuk mengenepikan soal persaingan sebagai pelakon. Selama ini mereka tidak pernah bermusuh, malah mendukung dan menghormati kerjaya masing-masing sebagai rakan industri.

Sudi meluangkan masa bersama untuk menjayakan sesi fotografi di Hotel Park Royal Kuala Lumpur sempena sambutan perayaan Deepavali kali ini, ketiga-tiga wanita anggun ini berkongsi keseronokan dalam tidak sabar mereka untuk meraikan kedatangan Deepavali yang juga sinonim dengan dikenali sebagai Pesta Cahaya di kalangan masyarakat Hindu pada 18 Oktober ini.

Pelakon yang mula menjengah masuk ke dalam dunia perfileman Melayu menerusi filem Estet ini mungkin tidak dapat merasakan bagaimana seronoknya menyambut Deepavali di kampung sebagaimana Pushpa.

Namun, bagi si cantik Jasmine Michael, ia bukan satu isu besar kerana baginya, pengertian Deepavali itu sendiri harus difahami dengan baik.

Mengaku teruja untuk meraikan sambutan Deepavali, meski tidaklah sehebat atau semeriah orang lain, dia sudah cukup seronok andai dapat menyambutnya dengan keluarga dan teman-teman rapat.

Kata wanita berusia 33 tahun ini, meski orang sering mengaitkan Deepavali dengan perayaan cahaya, dia lebih suka untuk melihat ia sebagai hari di mana boleh saling bermaafan dengan semua orang.

“Saya anggap ia macam hari kesyukuran. Kadangkala, kita tidak tahu, ada antara masanya pernah menyakiti atau melukakan hati orang. Ini adalah masanya untuk kita membuang segala yang keruh dan ambil yang jernih.

“Buangkan semua ego, saling bermaafan dan raikan perayaan ini sebagai satu keluarga. Inilah makna Deepavali bagi saya, paling penting perlu bermaafan dan lupakan segala salah faham atau sengketa yang berlaku,”katanya.

Tidak menolak barangkali ada keluarga yang lebih suka menyambut perayaan ini di luar negara, kata Jasmine, dia tidak terfikir untuk membawa diri kerana tahu ramai keluarga dan teman-teman yang masih ada disini.

“Kalau saya bawa diri ke luar negara, macam mana nak pastikan dapat bermaafan dengan keluarga dan kawan-kawan di sini? Kita ni tak tahu hidup berapa lama, entah esok atau lusa apa yang berlaku pun kita tak tahu.

“Saya tak mahu terlepas peluang untuk bertemu dan berjabat tangan memohon maaf dengan mereka. Saya jenis yang amat pentingkan tali persahabatan dan aura yang positif,”katanya.

Dalam pada itu, sempat pelakon ini berseloroh memberi nasihat agar dalam kemeriahan menyambut perayaan ini, kesihatan juga tidak seharusnya diabaikan.

“Saya tahu, ramai yang berpendapat, hari raya kita boleh makan apa sahaja. Raya, sehari sahaja, bukan? Tetapi ramai juga kalangan kawan-kawan saya yang mula bising keesokan harinya, berat badan sudah naik.

“Kelakar pun ada. Tapi saya lebih suka andai semua orang boleh amalkan pemakanan yang sihat. Janganlah makan sampai tak ingat dunia pula ya!”

Berkongsi mengenai makan, sempena perayaan kali ini, dia merancang untuk memasak ketam sambal dan mahu lari daripada kebiasaan makanan Deepavali yang lazimnya ‘berkonsepkan kari’.

“Saya sangat gemarkan ketam dan Deepavali kali ini saya nak lari sedikit daripada kebiasaan masakan kambing dan ayam. Tentulah resipi rahsianya adalah daripada mak saya, dia tuang masak yang hebat tau,”katanya.

Dalam perkembangan kerjaya, Jasmine mengaku dia adalah salah seorang rakan artis yang bangga dengan kejayaan Sangeeta Krishnasamy selepas diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 baru-baru ini.

Langsung tidak timbul soal cemburu, Jasmine tahu, persaingan yang baik adalah persaingan yang sihat. Kemenangan Sangeeta tempoh hari membuktikan bahawa sesiapa pun boleh berjaya andai dibuktikan dengan kesungguhan.

“Cemburu ni tak akan membawa kita kemana-mana. Tak perlu bimbang soal itu kerana saya percaya, rezeki ada di mana-mana,” katanya.

Bekas peserta pertandingan Ratu Cantik Malaysia 2004 ini selesa sekali menganggap dirinya sentiasa berjiwa 'gadis kampung'. Kata Pushpa, meski duduk di bandar, saban tahun apabila tiba perayaan Deepavali, dia tidak akan lupa untuk menjenguk ibu, bapa dan keluarga di kampung halaman di Jerantut, Pahang.

Malah, ini adalah masa yang paling dinantikan kerana untuk berkumpul bersama adik-beradik di kampung adalah waktu yang jarang-jarang berlaku dek kerana kesibukan kerjaya masing-masing.

Dalam nada teruja, Pushpa yang kini sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak iaitu Rhea Rosa Robless, 6, dan Robert Richard Robless,4, meletakkan anak-anak sebagai keutamaan. Sebagai seorang ibu, fokusnya lebih buat menggembirakan kedua anak, selain ibu dan bapa sendiri.

“Tahun ini, saya beri kelonggaran buat anak perempuan memilih warna untuk tema baju kami sekeluarga. Dia pilih warna ungu. Kalau dulu, zaman bujang, biasanya saya yang pilih warna tapi bila dah jadi ibu ni, memang anak-anak pun tak mahu kalah dalam bergaya.

“Sudah menjadi kelaziman setiap kali Deepavali, saya akan belikan sepasang baju baharu buat ibu dan ayah. Tak kisah mahal atau tidak, yang penting saya tetap akan belikan dan hadiahkan pada mereka.

“Ini sudah jadi kemestian dan saya sudah lakukan ini sejak zaman belajar lagi. Walaupun ibu akan marah dan bising supaya jangan beli, tetap saya berdegil. Bagi saya, Deepavali adalah masanya di mana semua orang bergaya cantik dengan busana baharu,” katanya yang suka dengan amalan tradisi.

Berkongsi mengenainya, kata Pushpa, rutin di pagi Deeapavali yang utama dinantikan. Mandi minyak adalah satu kemestian buat dia dan keluarga , meskipun tahun ada kalangan masyarakat Hindu hari ini tidak lagi mengamalkan upacara ini. Keluarganya juga mengamalkan sistem giliran ketika ritual meminta restu di pagi raya selepas bersembahyang.

“Tak pasti keluarga lain bagaimana, tetapi keluarga saya amalkan cara ini. Biasanya upacara meminta restu ni kami akan mulakan daripada anggota keluarga paling tua sehinggalah yang muda.

“Sebagai anak bongsu, saya akan jadi yang terakhir. Selepas meminta restu, ayah biasanya akan menghulur duit raya sebelum kemudian kami semua akan sama-sama pergi bersembahyang di kuil,”katanya.

Menganggap amalan tradisi itu penting, Pushpa menerapkan amalan itu pada kedua-dua anaknya dan tentunya dengan harapan bahawa mereka akan meneruskan warisan dan tradisi itu agar ia tidak dilupakan.

Dalam pada itu, Pushpa yang juga Penerbit Eksekutif kepada sebuah filem berkonsep Indie mengaku tidak pernah memilih projek lakonan atau sebarang tawaran kepadanya atas alasan dia adalah pelakon senior. Dia melihat generasi muda dalam industri banyak yang berbakat dan kreatif dan sebagai antara pelakon senior, dia melahirkan rasa kagum dengan kreadibiliti pengamal seni tempatan yang punya idea tersendiri.

Bekas Ratu Cantik Malaysia 2009 ini kelihatan ceria ketika diajak berbicara mengenai sambutan perayaan Deepavali pada tahun ini.

Sememangnya dikenali sebagai seorang yang sangat peramah, ada rasa uja di hati Thanuja dalam menyambut perayaan lantaran dia sedang menanti orang jauh untuk pulang ke tanah air.

Jangan salah faham. Apa yang dimaksudkan oleh Thanuja adalah abang serta kakaknya yang masing-masing bermastautin di Ireland dan England yang akan pulang menyambut Deepavali bersama keluarga pada tahun ini.

“Mereka sudah sangat lama tak pulang beraya di sini. Walaupun setiap tahun kami semua berjumpa dan saya akan terbang ke sana, tetapi tahun ini berbeza sedikit, mereka akan balik menyambut Deepavali di sini.

“Tentulah sangat teruja kerana ketiga-tiga anak buah saya pun turut ikut sama, kesemuanya lelaki, jadi bayangkan bagaimana kecoh dan meriahnya sambutan kali ini,” katanya.

Berkongsi lanjut, kata Thanuja yang berusia 32 tahun, Deepavali juga membolehkan dia menikmati juadah menarik hasil air tangan ibunya Paravathy Raman, 60, yang sangat handal di dapur.

Dia juga beruntung kerana ibunya memiliki banyak koleksi sari dan kerana itu, saban tahun, si manis ini tidak pernah terfikir untuk membeli sari baru buat dirinya.

“Koleksi sari ibu saya hampir 50 pasang. Bayangkan, dari muda dia pakai sari sahaja jadi memang banyak koleksinya di rumah. Banyak juga yang dia wariskan pada saya dan memang sayang nak pakai sebab ia sangat klasik.

“Sekarang ni susah nak jumpa jenis sari yang mempunyai corak lukisan tangan, sekarang banyak yang moden.

“Saya puji ibu kerana sangat pandai dan cermat menjaga kesemua sari itu. Walaupun sudah lama, tetapi masih tahan sampai sekarang. Kalau nak tahu, cara penyimpanan sari pun tak mudah dan kalau tak kena cara, memang boleh rosak,”katanya.

Selain itu, pelakon drama Anak Merdeka ini juga ada satu tabiat lucu untuk dikongsi bersama pembaca. Kata Thanuja, memandangkan dia seorang aktivis haiwan, maka tidak hairanlah di rumahnya juga memiliki banyak haiwan.

“Ala-ala zoo mini pun ada. Saya memang sangat sayangkan haiwan dan kebanyakan yang saya pelihara di rumah, adalah haiwan yang saya selamatkan di luar.

“Bila Deepavali tiba, saya akan sibuk mandi dan membersihkan kesemua haiwan itu. Kemudian, saya akan letak potto berwarna-warni di dahi macam mereka pun kena sambut Deepavali bersama-sama.

“Kemudian saya aturkan mereka dan ambil gambar. Kelakar tapi saya dah anggap mereka semua macam keluarga saya juga,”katanya yang memiliki 6 ekor kucing, seekor anjing termasuk arnab, kura-kura dan sugar glider.