“Ada yang bertanya kenapa RTM mengambil masa yang lama sebelum menghulurkan bantuan? Sebenarnya, kami di pihak RTM dan saya sendiri memang memantau keadaan Ooi. Memang menjadi niat kami untuk mengadakan konsert ini dalam membantunya.

“Bila sudah ada tarikh yang sesuai baru kami yakin untuk umumkan, bagaimanapun kena faham kami akan mengadakan konsert ini secara percuma. Sebab itu RTM bekerjasama dengan Persatuan Karyawan untuk mencari dana, dalam membantu Ooi,” katanya.

Bercakap mengenai penglibatan Ooi bersama RTM, kata Mokhzani, adalah sesuatu yang membanggakan sebenarnya untuk insan hebat ini memulakan kariernya bersama RTM. Malah ketika itu, Ooi juga turut mencuri tumpuan melalui kepakarannya dalam bidang muzik.

“Sewaktu dia bekerja dengan RTM saya masih di bangku sekolah. Tetapi ketika itu saya sudah menyimpan impian untuk bekerjasama dengan dia. Walaupun dia tidak berapa sihat sekarang, itu tidak bermakna kita perlu lupakan segala sumbangan dia.

“Semenjak dia sakit saya tidak melepaskan peluang untuk sentiasa bertanya khabar, dan melalui penganjuran konsert ini saya harap akan memudahkan kehidupan Ooi yang kita tahu sedang melalui detik-detik semakin sukar,” katanya.

Apa yang diharapkan melalui konsert ini bakal meringankan beban hari tua Ooi dan isterinya, Datin Khaw Lean Kee. Dengan keadaan sekarang dia sangat simpati dengan Isteri Ooi yang dianggapnya sebagai ‘wanita besi’.

“ Datin Khaw kini menjadi nadi utama buat hidup Ooi, tetapi dengan umurnya kita sendiri tahu tidak banyak yang mampu diusahakan. Sebab itu saya sedih bila dapat tahu dia terpaksa menampung perbelanjaan keluarga mereka dengan bekerja pada usia sekarang.

“Kalau boleh memang saya harap dengan dana yang ada ini mampu untuk belikan mereka sebuah rumah. Sebagai jaminan mereka, itu memang menjadi impian saya sebenarnya,” katanya.

Sebanyak 15 lagu ciptaan Ooi sudah dikenal pasti untuk didendangkan pada malam itu yang turut menjemput beberapa artis muda untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaan Ooi.

“Kalau ikutkan ada 25 lagu ciptaan Ooi yang orang tahu, tetapi untuk konsert ini kita sudah senaraikan 15 buah lagu sahaja. Pastinya iringan orkestra akan menambahkan lagi kehebatan lagu komposer hebat ini.

“Memandangkan Ooi antara komposer lama, kami menggunakan strategi dengan meminta penyanyi lebih muda menyanyikan lagu-lagu Ooi. Mungkin dengan itu ada peminat muzik yang lebih muda akan hadir untuk menyaksikan konsert ini nanti,”katanya.

Antara lagu popular yang bakal dipersembahkan pada malam konsert itu ialah koleksi lagu ciptaan Ooi iaitu Gerimis Di Lautan, Lagu Untukmu, Masa Berlalu, Kisah Gadis Sepi, Hati Yang Rapuh dan Dia Ibuku.

Beberapa artis popular bakal menjayakan konsert tersebut seperti adalah Tomok, Salamiah Hassan, Datuk Dahlan Zainuddin dan Rahimah Rahim.