Maklumlah selepas zaman Erra Fazira sekitar 90-an, syarikat penerbitan filem dan drama mencari-cari wajah pelakon wanita yang sesuai diangkat sebagai primadona.

Bagaimanapun dalam orang sibuk menyebut-nyebut nama Janna sebagai bakal primadona, dalam diam-diam rupa-rupanya ada yang tak bersetuju. Sebab utamanya, tak semua pelakon boleh jadi primadona.

Ada spesifikasi tertentu dalam diri pelakon itu yang boleh melayakkan dirinya diangkat sebagai primadona.

Jadi jangan sesekali membandingkan kredibiliti Janna dengan Erra. Jauh lagi perjalanannya. Bukan senang nak capai taraf primadona dan bukan semua boleh pegang gelaran itu.

Sekadar berbakat dan jelita, memang berlambak artis yang berbakat dan cantik bergaya. Tapi mampukah seseorang itu memaku orang untuk jatuh cinta kepada dirinya?

Erra cantik dan kejelitaan yang ada pada Erra itu buat semua orang jatuh cinta. Bukan sekadar lakonannya sahaja.

Selain itu, Erra ada faktor yang boleh memaku terus penglihatan penonton. Jadi jangan sesekali nak menyamakan Janna dengan Erra. Memang antara langit dan bumi.

Hal kerja pun sama. Ramai merasakan mutu lakonan Janna itu biasa-biasa saja.

Lagipun sehingga ke hari ini, Janna dikatakan masih belum dapat membuktikan kekuatannya selain membawakan watak remaja yang mengkehendakinya cakap menjerit-jerit dan berperangai tomboi.

Pada peringkat awal, Miss J tertanya-tanya juga apa punca yang mencetuskan cerita sebegitu.

Nak-nak selepas Janna menang anugerah pada sebuah majlis hiburan baru-baru ini.

Selidik punya selidik, rupa-rupanya ada orang tak berpuas hati dengan rezeki yang mencurah-curah Janna. Maklumlah tawaran Janna tak putus-putus. Ada saja yang menanti.

Jadi tidak hairanlah wajah Janna selalu muncul di kaca TV. Lepas satu produk, satu produk. Sebab itulah Janna popular. Dia banyak produk.

Begitu juga dengan sokongan kelab peminatnya. Mereka ini yang buat Janna terus meletup. Sekaligus mencetuskan cerita yang mendakwa Janna adalah pelapis primadona masa kini.

Apatah lagi pada masa ini, Janna sudah melebarkan sayap menceburi bidang nyanyian pula. Tak ramai pelakon yang menceburi bidang nyanyian selepas terkenal.

Strategi bijak Janna itu nyata mencetuskan rasa kurang senang segelintir golongan artis yang mencemburui nasibnya. Boleh gitu?

Miss J ingat pada zaman canggih dengan teknologi pantas masa kini, penyakit hasad dengki semakin berkurangan. Tapi malangnya masih bertambah tebal. Apa salahnya kalau sama-sama menyokong antara satu sama lain. Kan elok macam itu.