JANNA NICK

Nampaknya ada beberapa perubahan besar yang akan berlaku kepada beberapa rancangan popular di TV3. Kalau rancangan Nona sudah mengumumkan Mira Filzah sebagai pengacara baharu untuk tahun 2018, nampaknya rancangan Melodi pun akan menerima kehadiran pengacara yang baharu.

Apa sudah jadi, betul ke Awal bakal ditamatkan perkhidmatannya selepas ini? Nampak macam begitulah yang sampai ke telinga Mary Jane. Oho, Janna Nick antara yang disebut-sebut bakal mengendalikan Melodi selepas ini berpasangan dengan seorang pengacara lelaki lain. Walaupun tiada pengesahan yang dibuat tetapi angin yang bertiup kencang bagaikan mengesahkan dia bakal menerajui rancangan hiburan kegemaran ramai itu.

Mary Jane tiada masalah dengan pemilihan Janna memandangkan Melodi sendiri sebenarnya memerlukan nafas baharu. Kena ingat bukan surat khabar sahaja terkesan dengan perubahan semasa tetapi rancangan TV juga. Kalau dahulu orang tunggu rancangan di televisyen sekarang macam-macam medium ada termasuklah Facebook Live, Instagram Live dan sebagainya.

Bila pihak pengurusan berani mempertaruhkan Janna yang langsung tiada pengalaman mengacara, ini satu percaturan yang menarik. Dia ada ramai peminat dan boleh saja kendalikan rancangan tersebut secara langsung. Tapi siapa pula gandingan Janna? Mary ada juga risik-risik dengan beberapa orang kuat stesen tersebut yang enggan mendedahkan siapakah gandingan Janna nanti. Yang penting jangan nak main tuduh-tuduh kata Janna cuba 'caras' nama-nama lama seperti Awal Ashaari tu. Mary dengar, Awal pun dah bersedia untuk tempatnya digantikan dengan orang baharu selepas ini.