Wings yang bakal menggegarkan Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor pada 25 Disember ini pastinya sudah bersiap sedia untuk terus memberikan kelainan agar peminat tidak pernah bosan dengan persembahan mereka.

Bagi Awie, Joe, Black dan Eddie, mereka yakin pemilihan lagu yang mesra pendengar, diketahui ramai dan popular menjadi kunci utama kepada kejayaan sesebuah konsert.

“Memang kita sengaja memilih tema Back To 80’s untuk memberikan kelainan daripada Konsert Wings 30 Tahun di Johor Bahru. Saya pasti peminat sendiri mahukan kelainan dalam setiap kemunculan kami untuk menghiburkan mereka.

“Kalau persembahan yang sama sahaja diberikan orang pun bosan. Walaupun tempoh konsert tidak jauh daripada konsert terdahulu, peminat tak perlu risau. Ada beberapa kejutan yang akan dilakukan untuk orang-orang di selatan tanah air,” kata Awie.

Bagi Awie, dia bersyukur kerana konsert kali ini mendapat tajaan daripada produk Agetech. Pastinya dengan nilai tajaan yang dirahsiakan jumlahnya itu akan menambahkan lagi momentum persembahan mereka.

Jika mengikut perancangan, Wings dan pasukannya merancang untuk menggunakan helikopter sebagai gimik permulaan konsert kali ini.

Mereka berempat merancang untuk turun daripada helikopter ke tempat yang disediakan dan disambut oleh beberapa kereta mewah seperti Ferrari dan Lamborghini serta ratusan motor berkuasa besar yang akan mengiringi mereka ke pentas utama.

Baginya, gimik-gimik seperti ini amat penting bagi menyuntik semangat peminat dan menambahkan rasa teruja mereka untuk terus kekal menyaksikan persembahan Wings hingga ke akhir konsert.

“Tak usah risau tentang pemilihan lagu memandangkan kami sudah menyediakan senarai lagu yang popular dan diketahui ramai. Ini konsert untuk peminat dan kami perlu mengikut selera mereka.

“Saya tahu ada orang yang mengharapkan Wings memainkan lagu-lagu popular sahaja. Insya-Allah untuk di Johor Bahru nanti, ada sedikit perubahan yang telah dibuat dalam soal pemilihan lagu itu,” kata Awie.

Terdahulu, minggu lalu Awie telah menjelajah ke beberapa daerah termasuk di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Singapura untuk mempromosikan konsert kali ini.

Masih menggunakan konsep konvoi bermotor besar seperti yang dilakukan sebelum ini, pastinya promosi yang dilakukan itu bukan sahaja melibatkan kelab peminat yang dikenali dengan nama Sayap-Sayap Wings tetapi juga melibatkan kelab motosikal berkuasa besar.

Kualiti

MENGUTAMAKAN kualiti bagi menjamin kepuasan penonton, pastinya hal tersebut tidak boleh dipandang remeh oleh Wings pada setiap kemunculan mereka.

Bagi Joe, dia yang sering kali bertindak sebagai ‘kepala’ dalam soal teknikal dan konsep persembahan tidak akan berkompromi dalam soal persembahan memandangkan itu antara aspek penting untuk emmastikan kepuasan penonton berada pada tahap maksimum.

“Memang benar soal kualiti menjadi asas utama dalam persembahan. Wings tidak mengambil mudah soal pembaharuan, tema dan sebagainya setiap kali muncul dengan konsert baharu.

“Kalau soal wang ringgit menjadi keutamaan, tentu sahaja setiap persembahan kami sebelum ini sama sahaja. Buat apa nak bersusah payah? Tapi Wings tidak begitu. Kita suntik tema agar setiap persembahan ada kejutan dan peminat tidak pulang dengan hampa,” kata Joe.

Joe berkata, untuk persembahan di Johor Bahru nanti, sistem bunyi, pencahayaan dan paparan di skrin juga perlu diambil kira. Baginya, itu merupakan nilai tambah yang penting selain corak permainan muzik masing-masing.

Untungnya, Wings bertuah kerana mempunyai jentera kepakaran yang sentiasa bersama-sama mereka sejak dahulu. Mereka berempat sahaja mempunyai 30 pembantu tetap yang akan mengikut mereka setiap kali persembahan dan untuk konsert besar seperti yang berlangsung di Stadium Merdeka pada 31 Oktober lalu, lebih 100 kru terlibat sama.

Malah Joe selaku gitaris Wings menganggarkan hampir RM1 juta terpaksa ‘dikorbankan’ untuk merealisasikan konsert ini memandangkan lokasi yang dipilih berada di selatan tanah air.

“Bila lokasi konsert bukan di Kuala Lumpur, kami telah bersedia dengan soal kos memandangkan semuanya akan berganda. Banyak peralatan dan kelengkapan yang perlu dibawa dari Kuala Lumpur dan pastinya menambahkan lagi kos.

“Lagi satu, kami terpaksa membina pagar sendiri di lokasi konsert nanti memandangkan itu merupakan dataran tidak berpagar.

"Rasanya ini konsert pertama kali kami kena bina pagar sendiri,” kata Joe tertawa.

Teruja

“PEMINAT Wings sentiasa ‘dahaga’. Mereka tak pernah muak dan itu yang membuatkan kami gembira sepanjang 30 tahun berada dalam industri,” tegas Black pula.

Sejak awal tahun ini, Wings telah mengembara ke beberapa negeri untuk mempromosikan album Menakluk Kosmos, terlibat dalam Konsert Takkan Melayu Hilang Di Dunia di Istana Budaya selain meraikan Konsert Ulang Tahun ke-30 Wings di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Bagi pemain deram kumpulan ini, dia sendiri pernah khuatir adakah peminat akan bosan jika terlalu kerap disogok dengan konsert Wings tetapi akhirnya dia menemui jawapannya sendiri tentang hal tersebut.

“Sejak dahulu lagi saya memang tabik dengan peminat Wings. Mereka tidak pernah bosan dan tidak pernah berganjak walau apa pun terjadi kepada kami. Walaupun ada di antara kami terpalit dengan kontroversi, mereka tetap setia.

“Ini sebenarnya yang menjadi kekuatan Wings sejak dahulu. Mereka beri kami semangat dan membuatkan Wings mampu bertahan selama ini.

"Insya-Allah selagi termampu kami akan terus menghiburkan mereka,” kata Black lagi.

Hal yang sama turut diakui oleh Eddie yang menganggap kehadiran 25,000 peminat pada konsert meraikan ulang tahun Wings di Stadium Merdeka pada 31 Oktober lalu sebagai sesuatu yang menakjubkan.

Jelas Eddie, walaupun hujan turun beberapa kali pada malam tersebut, peminat tetap setia menanti serta tidak berganjak dan membuktikan yang mereka sangat luar biasa.

“Pastinya untuk konsert di Johor Bahru nanti kita mengharapkan kehadiran peminat Wings akan memenuhkan kawasan Plaza Angsana nanti.

"Walaupun agak sukar untuk mengumpulkan jumlah yang sama dengan konsert terdahulu, tapi saya yakin ramai yang akan turun menyaksikan kami,” kata Eddie ringkas.

Menyasarkan jumlah kehadiran penonton antara 10,000 hingga 15,000 orang, konsert kali ini juga memberikan tiket percuma kepada kanak-kanak di bawah umur 11 tahun yang hadir dengan ibu bapa masing-masing.

Bagi Wings, mereka sepakat yang konsert tidak tertumpu terhadap orang dewasa sebaliknya sesuai ditonton oleh segenap lapisan masyarakat.

Selain Wings, konsert pada malam itu nanti akan turut disertai oleh bekas anggota terdiri daripada Mel, Jojet dan Sham.

Penyanyi lain yang dikenali dengan nama Superfriends juga akan menyumbangkan lagu termasuk Mael XPDC, Ito Blues Gang, Azlan & Typewriter, Ronnie Hussein, Aweera, Saiful Apek dan Yassin Senario.

Tiket dijual dengan harga RM35 (pelajar), RM65 (normal), RM100 (rock zone) dan RM600 (VIP). Layari www.tickethotline.com untuk pembelian atas talian.