Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Janji aksi terbaik

s 3

TENTU sahaja Konsert Nova yang akan diadakan pada 5 Ogos hadapan merupakan antara acara penting bagi negara. Tidak sekadar menjadi acara hiburan yang dinanti-nantikan, ada agenda besar yang cuba dibawa oleh penganjur kali ini. Mahu meraikan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, tentu sahaja acara ini akan menjadi simbolik kepada hubungan dua hala yang sudah dimeterai di samping acara-acara lain.

Tumpuan pastinya terarah kepada enam penyanyi yang berganding bahu merealisasikan impian kali ini. Tentunya Azlan & Typewriter, Faizal Tahir, Judika dan Cakra Khan sudah mempersiapkan diri untuk mengemudi konsert mengikut acuan masing-masing. Bagi Dayang Nurfaizah dan Syarini pula, mereka bukan sekadar penyeri tetapi turut sama terlibat dalam agenda penyatuan kali ini.

Bersama Pancaindera, keempat-empat penyanyi lelaki ini berkongsi cerita. Tentu sahaja masing-masing sudah tidak sabar untuk memberikan yang terbaik dalam konsert yang akan berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.

 

Persiapan Azlan

SEJAK mengumumkan bakal terlibat dalam Konsert Nova pada bulan Mac yang lalu, Azlan atau lebih mesra disapa dengan panggilan Lan sudah merangka beberapa agenda penting bagi merealisasikan persembahan kali ini. Tidak sekadar mahu mempamerkan vokal yang mantap, pastinya kepuasan penonton juga menjadi keutamaan lelaki ini.

“Itu yang menjadi agenda penting saya setiap kali muncul dengan konsert besar. Tidak hanya menumpukan kepada satu-satu perkara sahaja, sebenarnya pelbagai perkara lain perlu diambil kira juga dalam memastikan perjalanan konsert berjalan lancar.

“Bukan sahaja stamina perlu dijaga malah pemilihan lagu juga perlu kena dengan acara begini. Faktor-faktor inilah yang menjadi penyumbang kepada kejayaan sesebuah acara besar selain kehadiran penonton,” ungkapnya lagi.

Tidak sekadar menjadi penyanyi utama, Lan bersama dengan syarikatnya juga terlibat dalam penganjuran kali ini. Walaupun bukan sebagai penganjur utama tetapi dia merasakan ini merupakan tanggungjawab yang besar untuk memastikan Konsert Nova akan menjadi penanda aras kepada acara hiburan tempatan.

Walaupun Konsert Nova akan bertembung dengan konsert besar Datuk Sheila Majid yang turut diadakan pada tarikh yang sama, Lan menganggap perkara berkenaan bukan satu hal yang besar memandangkan kelompok peminat yang berbeza.

Begitu juga dengan penyatuan lima penyanyi lain, pastinya mampu menarik minat khalayak untuk bersama dengan mereka meraikan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

“Dalam hal pertembungan dua konsert besar ini, saya tidak menyalahkan sesiapa. Bagi saya ini merupakan fasa penting untuk industri hiburan tempatan di mana konsert berbayar diadakan pada tarikh yang sama. Bukankah ini merupakan sesuatu yang baik.

“Harapnya peminat tidak akan melepaskan peluang yang ada ini. Ayuh sama-sama meraikan acara besar ini,” tambahnya lagi.

Peluang Faizal Tahir

AGAK sukar sebenarnya mahu menganjurkan konsert besar secara solo. Pelbagai aspek perlu dilihat dan dihitung memandangkan acara besar memerlukan biaya yang tinggi selain perlu berhadapan dengan risiko. Bersetuju dengan pandangan tersebut, Faizal Tahir juga mempunyai alasan yang sama mengapa dia bersetuju untuk menyertai penyanyi-penyanyi hebat ini di atas satu pentas.

“Ya, harus diakui bukan mudah untuk melakukan konsert solo berskala besar. Selain memerlukan biaya yang tinggi, komitmen besar juga harus dihadapi. Saya belum bersedia untuk mengadakan segala-galanya secara sendiri. Jika melibatkan persembahan solo kecil tiada masalah dan saya sudah lakukannya sebelum ini.

“Jadi bila ditawarkan peluang oleh mereka setelah melalui beberapa perbincangan, saya bersetuju bersama mereka. Ini masa untuk kita bersatu padu bagi menterjemah apa yang diidamkan. Ada sesuatu yang menarik bakal dipersembahkan nanti,” kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Sampai Syurga ini.

Mengikuti perkembangan seni lelaki ini, pastinya jadual seninya begitu padat dengan pelbagai acara yang sudah diatur. Masih giat mempromosikan album terbarunya, dia juga perlu menguruskan artis di bawah naungannya selain menguruskan keluarga besarnya sendiri.

“Ini yang berlaku kepada saya sejak dahulu lagi. Bersama syarikat rakaman pula, kami sudah merancang beberapa perkara penting yang akan dilaksanakan termasuklah siri jelajah selain undangan nyanyian,” ujarnya.

Sudah berada pada fasa terakhir dalam mempersiapkan diri menghadapi hari besar tersebut, dia bakal mendendangkan lebih enam buah lagu pada malam itu nanti. Tentu sahaja pemilihan lagu dibuat secara teliti bagi memberikan impak besar kepada peminat yang hadir nanti.

Merahsiakan lagu-lagu yang bakal dipersembahkan nanti, tentu sahaja Faizal menyerahkan sepenuhnya kepercayaan kepada Aubrey Suwito untuk memberikan sentuhan terhadap kesemua lagu-lagu yang akan dinyanyikan. Dia percaya lelaki berkenaan mampu membawa konsert ini mengikut arah yang diinginkan.

“Kurang sebulan sebelum menjelang konsert, saya perlu menjaga kesihatan dan menjaga suara. Ini merupakan fasa penting untuk memastikan tiada perkara buruk berlaku menjelang 5 Ogos hadapan.

Judika & Cakra terharu

TIDAK menganggap khalayak di Kuala Lumpur sesuatu yang asing, pastinya Judika mempunyai alasan tersendiri mengapa dia terus bersetuju untuk terlibat dalam Konsert Nova. Baginya sejak kali pertama hadir di sini beberapa tahun yang lalu, dia rasa dihargai dan disayangi oleh mereka yang mengikuti perkembangan seninya.

“Perasaan gembira yang membuatkan saya teruja kali ini. Kuala Lumpur bukan lagi destinasi asing memandangkan sebelum ini pun saya sudah di sini. Jadi bila diberikan sekali lagi peluang beraksi bersama penyanyi hebat yang lain, saya tidak mampu menolaknya.

“Ada sesuatu yang menarik akan saya berikan kepada peminat yang hadir nanti. Apa-apa sekalipun, mereka perlu hadir memberikan sokongan kepada kami,” tambahnya lagi.

Sudah menghasilkan enam album di Indonesia, Judika berterus terang mengatakan yang dia masih belum yakin untuk mengadakan konsert solo sendirian. Meskipun peminat ada membuat permintaan, perkara tersebut masih belum mampu dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Dengan adanya peluang kali ini, dia tidak mampu menolak. Baginya ini adalah peluang untuknya membalas semua sokongan yang diberikan selama namanya mula dikenali di sini.

Ditanya adakah sukar untuknya membuat pemilihan lagu, tertanya perkara berkenaan merupakan hal paling sulit untuk dilakukan. Mempunyai puluhan lagu popular, pastinya untuk memilih tujuh lagu yang akan dinyanyikan memerlukan ketelitian.

“Sulit sebenarnya mahu melakukannya perkara itu. Tapi keutamaan tetap diberikan kepada lagu yang popular di sini,” tambahnya lagi.

Bagi Cakra Khan pula, dia menyifatkan gandingan bersama dengan penyanyi hebat dalam satu acara merupakan pengalaman baharu buatnya. Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Harus Terpisah ini, dia tidak mahu tertinggal dan berazam mahu memberikan yang terbaik kepada keseluruhan acara.

“Sebenarnya bila berada bersama dengan penyanyi lain, ini adalah satu penghormatan kepada saya. Tidak semua orang mampu berkongsi pentas besar dan dipilih sebagai penyanyi utama. Tentunya saya gembira bila berpeluang menghiburkan peminat yang hadir nanti.

“Peminat mengeluarkan wang untuk menyaksikan kami. Saya pula perlu memberikan yang terbaik agar setimpal dengan wang yang sudah dibelanjakan. Harapan saya agar konsert ini akan kekal di ingatan mereka yang hadir nanti,” katanya.

Sedikit cerewet dengan ‘bunyi’ yang akan dihasilkan menerusi konsert ini nanti, Cakra sudah mengadakan pertemuan empat mata dengan Aubrey sejak beberapa bulan yang lalu. Melalui pertemuan tersebut, mereka sudah bersetuju dengan gubahan muzik baharu yang akan digunakan nanti.

Mengakui ini merupakan kerjasama pertama bersama penggubah berpengalaman itu, dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Aubrey untuk menggubah mengikut kesesuaian acara.

“Ya, semuanya saya serahkan kepadanya,” kata Cakra yang sedang giat mempromosikan lagu Kekasih Bayangan ini lagi.

Bagi mereka yang ingin turut serta, tiket dijual dengan harga RM121 hingga RM403 dan boleh didapati dengan melayari laman web rasmi www.ticketpro.com.my atau hubungi hotline 03-78807999.

 

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan