Bijak mencari peluang untuk meneroka cabang lain dalam bidang seni, Amelia kemudiannya terjun ke dunia lakonan yang menyaksikan dia begitu bersemangat untuk menjadi pelakon berkualiti biarpun ketika itu masih kanak-kanak.

Seiring waktu berlalu, Amelia kini mekar sebagai seorang jelitawan pada usia 19 tahun.

Hadir dalam pakej lengkap seorang artis yang berbakat, anak kelahiran Klang, Selangor yang telah menceburi bidang hiburan sejak berusia tiga tahun ini kini dianggap sebagai antara pencabar dan pesaing baharu artis wanita tanah air.

Tidak cuma punya kebolehan dalam lakonan, Amelia juga berbakat dalam bidang peragaan, teater, tarian, nyanyian dan pengacaraan sekaligus meletakkan nilainya tinggi dalam pasaran industri.

Bukan juga satu masalah untuk Amelia memandangkan sejak kecil, dia sudah biasa terdedah dengan peluang besar yang datang bergolek dek kerana tuah memiliki wajah kacukan Scotland-India-Sri Lanka.

Segala-galanya dilihat sempurna bagi Amelia dan perkara itu turut mengheret pandangan serong yang menganggap gadis ini tentu 'berlagak bagus' atas tiket sudah memiliki glamor dan populariti sejak usia muda.

Menyelami nurani Amelia, ternyata anak kepada pasangan Jaya Rudralingam dan Graham L. Henderson ini sebenarnya seorang yang sangat tunduk kepada akar umbinya sebagai anak seni yang tidak mudah termakan dengan pujian melangit yang sering diberikan kepadanya.

Berkongsi cerita, kata Amelia, meski terdedah dengan dunia hiburan dengan pelbagai cabang seni sejak kecil dan menerima banyak peluang kerja bukan alasan untuknya menunjuk lagak.

“Itu bukan yang diterapkan kepada diri saya. Sejak kecil, ibu saya tak pernah ajar saya untuk jadi seorang yang bongkak hanya kerana saya sudah biasa menerima pendedahan media dan populariti.

“Ibu selalu berpesan kalau rasa diri kita bagus, akan sentiasa ada orang lain yang lebih bagus dan lebih hebat daripada kita.

“Tidak ada salahnya untuk jadi seorang yang sentiasa merendah diri dan tiada pula kebaikan untuk seseorang menjadi seorang yang sombong dan kononnya terbaik. Itu bukan diri saya,” katanya.

Mengakui bahawa sejak kecil sudah biasa menerima kritikan dan komen berunsur negatif daripada mereka yang cemburu dengan populariti yang dimilikinya sebagai pelakon cilik sebelum ini, Amelia tidak pernah menganggap itu membebankan dirinya kerana tahu bahawa itulah harga yang perlu dibayar olehnya kerana memilih bidang seni.

“Pernah saya berdepan dengan perkara seperti itu ketika saya menjadi kolumnis di majalah kanak-kanak dan bagi saya hal seperti itu tidak perlu difikirkan sangat. Ambil perkara yang baik-baik sahaja,” katanya optimis.

Pernah dibuli

Bercakap mengenai tuduhan sombong, menurut pelajar A Level Kolej Taylor Kuala Lumpur ini, zaman kanak-kanaknya di sekolah sering sahaja menyaksikan dia berada dalam keadaan tertekan kerana dibuli pelajar lain yang menganggap karektornya sedemikian rupa pada waktu itu.

Amelia memberitahu, entah kenapa, meskipun sering bertukar sekolah, dia tetap menerima ‘layanan’ yang sama daripada pelajar lain yang tidak dapat menerima dirinya yang popular sebagai seorang pelakon cilik ketika itu.

“Saya menjadi seorang kanak-kanak yang pendiam di sekolah kerana saya mahu mengelak konflik dan mencari fasal dengan pelajar lain. Pada masa yang sama, saya rasa rendah diri dan kurang berkeyakinan selepas menganggap mereka semua lebih hebat daripada saya.

“Saya pilih untuk buat hal sendiri dan tidak berenggang dengan buku di tangan sebab takut dibuli. Tetapi apabila saya buat begitu, ramai pula yang kata saya sombong dan keadaan itu membuatkan saya kadangkala tertekan dan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri.

“Tapi lama-kelamaan, saya sudah tak kisah sangat. Bila sudah menginjak dewasa dan kini belajar di kolej, keadaan sudah berubah. Kebanyakan teman-teman di kolej sangat menyokong kerjaya saya dan mereka sentiasa memberi semangat. Berbeza dengan layanan yang saya terima sewaktu di bangku sekolah,” katanya.

Kikis imej 
kanak-kanak

Sedar bahawa dia mungkin akan sentiasa diingati sebagai seorang pelakon kanak-kanak, Amelia sedaya upaya mahu mengikis pandangan mengenai imej sebegitu memandangkan dia tidak lagi ‘layak’ untuk gelaran itu.

Seiring dengan kedewasaannya sekarang, Amelia mahu peminat dan masyarakat memberi peluang kepadanya untuk menonjolkan bakat sebagai seorang artis profesional.

Lantaran itu, menurut Amelia, untuk satu ketika dia akur dengan keadaan untuk memberi keutamaan kepada pelajaran dan memperlahankan sementara aktiviti seninya.

“Ketika berusia 12 tahun, saya buat keputusan untuk perlahankan aktiviti seni dan cuma ambil tawaran untuk alih suara animasi sahaja kerana tidak memerlukan ruang waktu yang panjang.

“Antara tujuan lain, saya juga mahu berehat. Kemudian saya menumpukan pula kepada pengajian di kolej serta tarian balet yang saya ikuti. Saya rasa beruntung kerana pada masa yang sama, saya tidak memperlihatkan diri saya di skrin televisyen dan penonton juga seakan-akan lupa seketika kepada Amelia si pelakon cilik.

“Lebih kurang lapan tahun saya ambil masa untuk membiarkan transformasi saya daripada dikenali sebagai pelakon cilik kepada diri saya yang lebih matang pada hari ini. Rasanya, keadaan itu sedikit sebanyak membantu untuk orang mengenali saya sebagai `individu’ yang baharu,” katanya yang juga berkebolehan menari tarian breakdance, jazz, ballroom, dan hip hop.

Saya menjadi seorang kanak-kanak yang pendiam di sekolah kerana saya mahu mengelak konflik dan mencari fasal dengan pelajar lain

Tumpu lakonan

Bakal menamatkan pengajian pada Mei ini, kata Amelia, dia yang begitu merindui dunia lakonan selama tempoh berehat itu meletakkan sasaran untuk memberi tumpuan kepada bidang lakonan.

Dia yang kini merupakan hos program MyEg Daily di saluran Astro Super Sport turut sibuk dengan persiapan persembahan teaternya Speed The Plow yang dilakonkan di samping Douglas Lim dan Gavin Yap Mei.

Menjadikan Allahyarham Yasmin Ahmad sebagai inspirasi, Amelia berkata, Yasmin banyak mengajarnya untuk menjadi seorang pelakon yang menjiwai watak dan bukan semata-mata membaca skrip.

“Yasmin mengajar saya untuk meletakkan ‘roh’ ke dalam watak yang saya cuba persembahkan. Pengalaman bekerja dengannya untuk filem Talentime sebelum ini memberi erti yang sangat mendalam buat saya.

“Jadi sukar untuk saya berkata tidak pada dunia lakonan kerana jiwa saya sudah lama tertanam dengan cabang ini dan kalau boleh saya mahu terus menjadi pelakon selagi terdaya sebab saya memang dilahirkan untuk menjadi anak seni.

“Kalau dapat buat kerja ini seumur hidup saya sekalipun, saya tak kisah kerana memang inilah yang saya mahukan. Tiada paksaan daripada sesiapa termasuk ibu bapa saya kerana ini adalah pilihan saya.

“Namun walau apa pun yang saya lakukan, saya tahu tidak akan berhasil jika tiada restu dan sokongan ibu bapa. Saya bertuah kerana sejak kecil, keluarga adalah peminat nombor satu saya!” katanya yang pernah membintangi drama Kasut Tumit Tinggi, Keluarga Adam, Edah dan Pisau Cukur The Movie.

Dalam pada itu, menurut Amelia, dia sudah menerima banyak tawaran lakonan cuma masih belum menetapkan keputusan akhir memandangkan kebanyakan tawaran itu bercanggah dengan jadual aktiviti seninya yang sedia ada.