Jangan persia-siakan usia

KUALA LUMPUR 10 Februari 2015 - Sidang media Kris Dayanti di Hotel
Kris Dayanti

JANGAN persia-siakan usia remaja. Itu tegas Krisdayanti saat ditanya tentang cerita tidak senonoh yang bertebaran tentang anak sulungnya, Aurel atau nama sebenarnya Titania Aurelie Hermansyah, 16.

Bagi yang mengikuti perkembangan anak beranak ini, pastinya tahu sejak akhir-akhir ini, Aurel turut terkena tempias cerita kurang enak termasuk dituduh melakukan pembedahan plastik lewat tahun lalu.

Kini gambar tidak senonoh Aurel bersama teman lelaki pula bertebaran yang akhirnya turut memberikan kesan kepada dirinya sebagai ibu kepada remaja yang sedang membesar itu.

Sejak mendengar dan melihat gambar tersebut, Krisdayanti tidak pernah melenting mahupun marah. Namun sebagai ibu, dia ada bertanyakan perkara itu kepada Aurel untuk mendapatkan kepastian.

“Saya ada tanya dia adakah kamu sedang melakukan sesi fotografi pra perkahwinan dalam nada bergurau. Tiada yang perlu dirisaukan kerana saya tahu setiap pergerakannya.

“Cuma sebagai ibu saya ada menasihatinya agar tidak mempersia-siakan masa mudanya. Ini zaman remaja dan dia tidak harus memikirkan lagi soal perkahwinan.

“Masa remaja hanya datang sekali. Sebagai ibu saya berharap dia menikmati usia muda seperti remaja yang lain. Jika terlepas fasa tersebut tidak boleh diulang kembali,” ujar Krisdayanti bersahaja.

Selain mahu anaknya menumpukan kepada pelajaran terlebih dahulu, Krisdayanti juga berbangga kerana Aurel kini mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi.

Terdahulu, pada konsert Krisdayanti Live In KL yang diadakan November lalu, dia turut mengundang anaknya itu untuk sama-sama membuat persembahan.

Meskipun hanya menyanyikan tiga buah lag, itu merupakan penampilan sulung Aurel bersama-samanya di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut mengenai kerjaya nyanyian, Krisdayanti mengakui, 2015 merupakan tahun yang mencabar buat dirinya. Dengan kitaran muzik dangdut yang menguasai industri muzik Indonesia, segala-galanya kini tertumpu kepada genre berkenaan.

“Saya sedar ini merupakan kitaran yang biasa berlaku di mana-mana negara sekalipun. Sepanjang 25 tahun menyanyi pun saya pernah melalui perkara yang sama sebelum ini.

“Tidak ada yang perlu dirisaukan kerana kitaran ini tetap akan datang dan terus berputar,” ungkap adik kepada penyanyi Yuni Shara ini lagi.

Baginya, sebagai penyanyi pop, dia beruntung kerana mampu menyanyikan lagu dangdut dengan baik. Buktinya, dia pernah merakamkan kembali lagu Penasaran dalam album sebelum ini.

Pun begitu, isteri kepada Raul Lemos ini menganggap rezeki untuk penyanyi genre lain masih terbuka di negara tersebut malah kebanyakan mereka masih lagi menghasilkan album meskipun sedar gelombang dangdut begitu kuat.

Hibur setiausaha

Tidak mengenali M Daud Kilau secara peribadi tetapi mengetahui rangkaian lagu penyanyi berkenaan membuatkan Krisdayanti berani mengambil cabaran untuk menyanyikan kembali tiga buah lagu yang dipopularkan oleh penyanyi itu.

Krisdayanti yang bakal mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha Krisdayanti Di Taman Bintang di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor pada 16 April depan menganggap, lagu-lagu tersebut kental dengan budaya Melayu masyarakat serantau.

“Apabila diberikan tawaran tersebut, saya mahu memastikan ada kelainan yang dibawakan kepada tetamu yang hadir nanti. Saya tidak boleh statik seperti persembahan terdahulu.

“Sebab itu saya mengambil cabaran untuk membawakan semula lagu-lagu M Daud Kilau yang popular di sini. Ini mungkin akan memberikan pengalaman baharu buat tetamu yang sudah mengetahui lagu berkenaan,” ungkap Kridayanti lagi.

Bakal mendendangkan 17 buah lagu, Krisdayanti memilih lagu Cik Mek Molek, Joget Kelantan dan Laksamana Raja Di Laut selain menyanyikan semula lagu Di Pintu Syurga yang dipopularkan oleh Dayang Nurfaizah.

Krisdayanti juga berbesar hati melihatkan perkembangan jualan tiket yang begitu memberangsangkan apabila hampir 70 peratus tiket bahagian galeri selain 25 meja daripada 69 meja yang disediakan sudah terjual biarpun belum dihebahkan secara rasmi.

Baginya, itu membuktikan kehadirannya di sini masih dinanti-nantikankan oleh peminat selain mahu memberikan persembahan istimewa yang bakal dikenang oleh tetamu yang hadir.

Acara yang bakal diadakan di Mutiara Grand Ballroom itu akan dikendalikan oleh pengacara Dee. Selain itu cabutan bertuah untuk peminat yang hadir nanti turut diadakan dan antara hadiah yang disediakan termasuk tiket penerbangan ke New York, London dan Tokyo, selain set sofa dan barangan kemas.

Tiket untuk menyaksikan persembahan itu dijual pada harga RM15,000 (satu meja), RM10,000 (satu meja), RM5,000 (satu meja), RM500 (perseorangan), RM150 dan RM120 (galeri/perseorangan).

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati