Jangan label saya begitu memandangkan istilah tersebut kurang tepat. Yang sebenarnya saya masih menerima semua tawaran asalkan kena dengan masa,” kata pelakon Iedil Putra.

Jelasnya, dia sedar ramai yang mula menganggapnya sebagai pelakon filem seni apabila melihat kelibatnya menerusi filem Terbaik Dari Langit yang ditayangkan tahun lalu.

Baginya, sebagai pelaku industri, dia tidak memilih watak dan menerima setiap tawaran yang disifatkan baik dan mampu membawa namanya meningkat setapak ke hadapan.

“Mungkin impak filem berkenaan yang membuatkan orang berfikir begitu. Bagi saya tidak pernah timbul istilah memilih filem seni semata-mata memandangkan saya sendiri pernah terlibat dalam filem Balada Pencinta, KL Zombie dan Ngorat misalnya," ujarnya.

Oleh kerana itu juga, tegas Iedil dia tidak menolak tawaran membintangi filem Showdown The Movie.

"Asalkan jalan ceritanya menarik, ada perkembangan watak dan sesuai dengan masa pasti saya terima. Harapnya orang tidak terus melabel saya dengan filem-filem seni sahaja,” kata Iedil.

Menerusi filem Showdown The Movie, Iedil menyifatkan filem bercorak aksi tarian berkenaan sebagai sesuatu yang baharu dan menarik perhatiannya.

Tidak banyak filem yang mengangkat tarian dan kelompok penari itu benar-benar segar dan dianggap memberikan dimensi baharu kepadanya.

Meskipun tidak mempunyai asas tarian yang formal, Iedil dan pelakon lain beruntung mendapat bimbingan daripada koreografer Pat Ibrahim yang berpengalaman luas dalam seni tari termasuk terlibat dengan beberapa pementasan besar antaranya Puteri Gunung Ledang the Musical.

Iedil dan rakan pelakon lain turut dibimbing kumpulan Gila Battle Crew yang sinonim dengan tarian jalanan dan beberapa tarian moden yang lain.

Teruja

Mengakui terpaksa berlatih menari dan menghafal tujuh tarian yang berbeza, perkara tersebut amat menyesakkan dada pada awalnya.

Tapi bagi Iedil, perkara tersebut merupakan cabaran yang perlu dihadapi olehnya agar tidak kelihatan kekok di layar.

“Ini bukan pertandingan tarian secara solo sebaiknya berkumpulan. Kebanyakan B-Boy (panggilan untuk kumpulan penari) perlu menunjukkan kemahiran masing-masing memandangkan mereka perlu bersaing dengan kumpulan yang lain.

“Sebab itu sesi latihan amat penting dalam membentuk sebuah tarian yang baik. Pendek kata kerjasama antara pasukan sangat penting bagi memberikan nilai tambah kepada filem ini,” kata Iedil yang membawakan watak Ringgo dalam Showdown The Movie.

Filem ini turut dilakonkan oleh Reza Hasbi, Izara Aishah, Jehan Shukri, Aiman Asmawar, Azim Aris, Amirul Hadi, Ben Laden, Azad Jazmin, Ammar Alfian, Maria Farida dan Esma Daniel.

Menyifatkan kehadiran filem itu tepat pada masanya, filem berkenaan diharapkan dapat memberikan keadilan kepada golongan penari yang ada kalanya tidak dipandang dan kurang dihargai oleh segelintir pihak.

Malah bagi Iedil, peranan yang dibawakan oleh mereka sama penting dengan profesion lain dan golongan penari seperti ini juga layak diangkat ke layar lebar dengan kisah yang tidak diketahui umum.

“Pastinya garapan pengarah Khai Bahar mampu memberikan dimensi baharu kepada sinema tempatan secara keseluruhannya.

"Filem ini lari daripada tema yang pernah ada sebelum ini dan pastinya elemen tarian, komedi dan drama yang dipamerkan secukup rasa.

“Sebab itu semua orang perlu menonton Showdown The Movie,” kata Iedil yang turut akan muncul dengan filem baharu Interchange dan Pekak tidak dalam lagi.