Yana Shamsudin danFadzil Zahari 

Pelakon, Yana Samsudin turut tidak terkecuali dalam hal ini. Menurut Yana yang pernah melalui pengalaman apabila gambarnya disalah gunakan oleh peniaga atas talian, dia mempunyai satu pasukan untuk memantau perkara ini.

Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 33, menegaskan, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika masih ada pihak yang menyalahguna wajahnya untuk melariskan produk.

“Kes seperti ini sudah lama berleluasa. Saya sendiri pernah terkena apabila gambar saya digunakan untuk promosi produk kecantikan dan tudung.

“Tetapi saya ada pasukan yang memerhati dan memantau perkara ini. Jadi setiap kali berlaku hal itu, pihak pengurusan saya akan menghubungi peniaga tersebut dan meminta supaya mereka membuang gambar iklan tersebut.

“Mula-mula kami gunakan cara yang lembut dulu. Kalau iklan yang digunakan di Facebook atau Instagram, kami akan beri tempoh kepada mereka untuk memadamkan gambar tersebut.

“Kalau sudah melebihi tempoh yang diberi, kami akan beritahu untuk mengambil tindakan undang-undang dan berjumpa peguam.

“Dalam kes saya sebelum ini, mereka terus padam dan tidak pernah ada pengalaman membawa perkara ini sehingga ke mahkamah. Sebenarnya, saya sendiri tak suka hal ini sampai ke tahap itu,” ujar Yana yang kini merupakan duta kepada serum wajah jenama Dr. Norman Professional Skincare.

Bercerita mengenai pelantikannya sebagai duta produk tersebut, isteri kepada Fadzil Zahari ini menyuarakan rasa bangga kerana dipilih untuk menyertai pasukan profesional berkaitan produk kecantikan.

“Saya rasa bersyukur dan bangga kerana berada dalam satu pasukan untuk produk kecantikan yang terlibat dengan sains. Saya yakin dengan produk ini sebab saya sudah cuba. Memang kedengaran klise tetapi dalam kes saya ini lain sedikit.

“Saya pakai produk Dr. Norman ini ketika saya mengandung. Selalunya orang mengandung ini, dia sayang diri dan kandungan dia lebih. Jadi, soal bahan yang ada dalam produk tersebut dititikberatkan.

“Pada awalnya saya agak ragu untuk menggunakan tetapi apabila diberi penerangan bahawa tidak mengandungi bahan kimia serta selamat digunakan oleh ibu mengandung, keraguan itu berkurangan.

“Selepas dua bulan menggunakan serum ini, bintik-bintik halus di muka saya mulai hilang. Sejak itu saya yakin dengan produk ini dan bersetuju untuk menjadi duta,” jelasnya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai karier seninya yang dilihat kurang aktif kini, ibu kepada Aisy Mateen ini mengaku terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan bagi tumpuan kepada keluarga menjadi keutamaan.

“Memang saya sudah lama tidak muncul dalam drama. Bukan tiada tawaran tetapi masa tidak menyebelahi saya.

“Tawaran yang diterima terpaksa saya tolak kerana saya mahu memberi sepenuh tumpuan kepada keluarga terutamanya fokus untuk membesarkan anak saya yang baru berusia enam bulan. Kalau boleh saya ingin berada dengan Aisy sepanjang masa.

“Pun begitu, pihak pengurusan sedang merangka rancangan untuk saya terlibat dalam beberapa filem dan drama tidak lama lagi,” katanya.