Datuk Rosyam Nor

Sebaliknya golongan itu dilihat terlalu bersantai dan enggan membabitkan diri dengan bidang berkenaan meskipun mereka tahu tentang manfaat yang bakal diperoleh kelak.

“Betul, zaman muda saya pada sebelum ini berbanding hari ini sangat berbeza. Dulu, mana orang tahu sangat tentang teknologi maklumat (IT). Orang nak beli telefon bimbit pun jangan haraplah.

“Tapi apabila zaman dah semakin berkembang, orang muda dah semakin selesa untuk bersenang-lenang menikmati kemudahan sedia ada. Disebabkan itu, ada kalangan mereka itu yang jadi budak malas.

“Malas untuk bekerja lebih atau mengintai peluang untuk menjana pendapatan lebih. Sepatutnya kemudahan moden yang sedia ada itu digunakan sepenuhnya untuk mengintai peluang lebih baik, ini tidak.

“Mereka lebih selesa untuk terus berada dalam takuk itu. Langsung tidak mahu melakukan sesuatu yang boleh memberi keuntungan buat diri mereka sendiri,” kata Rosyam Noor melontarkan pandangan peribadinya tentang golongan muda hari ini.

Pelakon yang menceburi dunia perniagaan sejak 35 tahun ini mengakui latar belakang keluarga yang hidup serba miskin dan kegagalan dalam akademik menyebabkan Rosyam tidak pernah berputus asa mengubah nasibnya.

Biarpun terpaksa bersusah payah dan bersengkang mata hingga awal pagi untuk mencari rezeki lebih, Rosyam sanggup kerana hanya dengan cara itu dia mampu memperoleh pendapatan lebih.

“Yang boleh saya katakan, golongan muda hari ini tak nampak peluang depan mata. Contohnya sewaktu saya menjadi duta #youcanduit yang merupakan kempen digital untuk meningkatkan pendapatan tambahan melalui inisiatif digital eRezeki, mereka tak gunakan peluang itu sepenuhnya bila bertemu.

“Cari maklumat tentang kempen itu di Internet, barulah pertemuan itu menjadi lebih bermakna. Itu yang silap besarnya jika kita salah guna kemudahan sedia ada,” kata Rosyam lagi.

Pertanian merupakan bidang yang paling menarik perhatian Rosyam selepas bidang lakonan yang menjadi perhatian utamanya. Cabang itu dilihat berpotensi untuk mempunyai lebih banyak prospek untuk menjana pendapatan lebih.

Sebelum ini, Rosyam terlibat dalam projek tanaman nangka madu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Lanchang, Pahang.

Terkini, Rosyam bakal membuka sebuah kedai borong menjual barangan harian, ST Rosyam Mart di kawasan Setiawangsa, Kuala Lumpur yang bakal beroperasi Ogos ini.

Bersama-sama rakan kongsi, Seri Ternak Sdn. Bhd., kedai yang menjual lebih 10,000 jenis barangan itu turut menggunakan kaedah tempahan menerusi dalam talian dan pembelian menggunakan kad debit.

Kaedah itu digunakan bagi melicinkan operasi perniagaan harian selain bagi memastikan keperluan semua pengguna dapat dipenuhi dalam tempoh yang singkat.

“Orang berniaga ini kenalah efisien dan peka dengan peredaran semasa supaya perniagaan terus berkembang pesat dari masa ke semasa. Saya tak nak ketinggalan dalam bab-bab ini.

“Saya tidak pernah memikirkan soal persaingan ketika membuka bisnes ini. Tujuannya untuk memudahkan penduduk sekitar untuk mendapatkan bekalan makanan yang segar dengan harga yang lebih murah.

“Ini adalah usaha saya untuk memastikan perniagaan saya ini terus berkembang selain tanggungjawab saya untuk menyumbang sesuatu kepada orang sekeliling,” ujarnya.

Pembabitan dalam perniagaan ini juga mencetuskan idea untuk menerbitkan drama bersiri Chor & Chah dengan kerjasama SME Corporation (SME Corp) dan Suhan Movies yang ditayangkan di saluran YouTube bermula 1 Ogos ini.

Drama yang menjadi panduan perniagaan buat usahawan ini turut menampilkan Saharul Ridzuan, Ummi Nazeera, Ruhainies, Hafreez Adam, Afifah Nasir, Kaza dan Haleeda.