Akan tetapi perkara tersebut tidak mungkin berlaku dalam kamus anak seni bernama Elisya Sandha ini. Meskipun di belakangnya tertera nama si kakak, Fasha Sandha, tidak bererti dia boleh menggunakan ‘kabel besar’ yang ada itu demi meraih populariti dengan cara mudah.

Memang beruntung mempunyai kakak yang dikenali ramai namun Elisya mahu membuktikan bahawa dia tidak ingin dibayangi kejayaan, populariti dan glamor kakaknya.

Sebaliknya dia mahu berdiri sendiri dengan bakat dan minat yang telah mengalir deras dalam dirinya sejak kecil.

“Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun kedua saya dalam industri. Tak dinafikan, ramai yang cakap saya tumpang populariti kakak. Saya biarkan saja mereka berkata-kata.

“Namun pada masa yang sama saya buktikan kemampuan dan bakat yang ada. Syukur dari hari ke hari orang semakin nampak bakat saya tanpa dibayangi nama Fasha Sandha.

“Saya buktikan kepada mereka yang saya mampu bergerak sendiri dan saya mampu berdikari. Ya, memang betul nama saya Elisya Sandha tapi itu tidak bermakna saya tumpang populariti Fasha.

“Saya menyertai industri ini sebab saya ada bakat yang boleh dicurahkan untuk industri seni tempatan,” jelasnya membuka bicara.

Elisya atau Nur Elisya Mohd. Faizal menjelaskan, sama seperti pelakon lain, dia juga menghadiri sesi uji bakat sebelum diterima berlakon dalam sesebuah produksi.

“Saya sendiri jalani uji bakat tidak kira untuk drama, iklan komersial dan sebagainya. Malah saya beritahu pihak produksi kalau saya ada bakat barulah tawarkan kerja kepada saya tetapi seandainya saya tidak sesuai untuk pegang sesuatu watak, lebih baik jangan beri.

“Saya lebih selesa dengan cara itu. Saya tidak mahu orang nampak bakat Fasha jadi mereka anggap saya juga sama. Saya nak orang pandang saya sebagai seorang pelakon baharu yang sedang menimba ilmu dan pengalaman,” pintanya.

Mematuhi jadual

Rata-rata yang pernah bekerja dengan Fasha semua sudah maklum tentang disiplin wanita itu yang sangat mematuhi jadual kerja seni, menepati masa dan sentiasa hadir lebih awal dalam semua acara yang melibatkannya.

Sebagai adik, pastinya Elisya turut terkena tempias tersebut dan dia akui, mahu menjaga nama baik si kakak dengan tidak mahu menimbulkan sebarang masalah di set penggambaran hingga menyusahkan orang lain.

“Fasha dikenali sebagai seorang yang sangat mematuhi masa dan berdisplin. Kalau saya langgar perkara-perkara seperti itu sudah tentu nama dia juga akan terpalit dan buruk.

“Sebagai adik walaupun pada awalnya dia kurang senang membenarkan saya melibatkan diri dalam industri sebaliknya dia suruh saya sambung belajar tetapi selepas kami berbincang, alhamdulillah dia memahami kerana saya memang ada bakat.

“Saya berjanji dengannya untuk sentiasa tanamkan sikap berdisplin tidak kira di mana sahaja saya berada. Mestilah kalau saya terlewat datang ke set pertama sekali orang akan cakap ‘adik Fasha Sandha datang lambat, kan?’

“Saya tak mahu perkara-perkara kurang enak seperti itu berlaku. Sebagai adik saya perlu jaga nama baik Fasha dan keluarga,” lentur bicaranya.

Tak pilih kontroversi

JIKA ada sesetengah artis bersetuju dengan peranan kontroversi yang dikatakan mampu menaikkan pengaruh mereka dalam dunia seni, namun ada juga yang kurang setuju dengan pendapat sedemikian.

Menggunakan cara salah untuk menjadi yang terkenal hanyalah mampu bertahan sementara waktu sahaja.

Begitu juga yang dirasai oleh Elisya. Pelakon filem Badang itu tidak mahu dikenali sebagai seorang yang artis yang bermasalah dan penuh dengan gosip panas.

“Sesetengah orang sengaja gunakan kontroversi kerana nak cepat popular. Lagi-lagi zaman sekarang ini boleh tularkan banyak hal. Tetapi secara peribadi saya tidak memilih untuk ke arah itu.

“Saya tidak mencari kontroversi tetapi saya nak orang kenali saya sebagai anak seni yang berbakat. Saya nak orang tonton lakonan saya sebagai aktres yang pandai berlakon.

“Saya tak perlu untuk popular hanya dengan kontroversi. Saya nak popular kerana bakat lakonan, itu sahaja,” ujarnya.

Tambahnya: “Kakak juga sering nasihatkan saya untuk bersabar bila berada dalam industri. Bila saya masuk dalam dunia seni, barulah saya tahu situasi yang dimaksudkan oleh kakak.

“Tiap kali saya dapat skrip, kakaklah orang pertama saya rujuk. Dia akan ajar saya bagaimana nak hayati karakter.

“Fasha seorang yang tidak akan ‘suap’ saya dengan semua perkara dengan mudah. Dia hanya akan ajar sedikit sahaja karakter yang diingini dalam skrip, selebihnya saya sendiri yang kena teroka.

“Tetapi sejujurnya dengan teknik itu saya rasa sangat memadai dan memang membantu saya untuk menghayati sesuatu watak,” jelasnya.