“Memang pada mulanya, saya pernah merasa kurang yakin untuk watak hitam atau penggoda. Impak yang saya terima membuatkan saya pasti, watak jahat itu ada pro dan kontranya.

“Semua ini saya buat untuk kepentingan karier. Malah, saya tidak pernah memandang ia sebagai satu perkara yang negatif. Kalau saya dilabel wanita jahat pun, saya tak kisah. Lagipun itu untuk karakter di layar. Bukannya diri saya yang sebenar.

“Satu perkara yang orang tidak tahu tentang diri saya, sebenarnya saya seorang yang kelakar. Saya juga kuat melatah. Pernah sekali saya ditegur Neelofa kerana kuat melatah dan dia menganggap tidak sesuai dengan muka saya yang manis serta cantik,” katanya seloroh.

Ditanya kebimbangannya, jika mahu berkahwin ada mentua yang tidak mahu menjadikannya menantu gara-gara watak tidak mulia yang dibawa, itu semua tidak menjadi kudis kepada pelakon berusia 30 ini.

“Saya tidak mahu orang membuat tafsiran salah tentang diri saya. Bukannya saya jahat sama seperti watak. Bagi saya, ada yang suka beristeri atau bermenantukan seorang pelakon. Itu kalau mereka yang tahu bezakan antara saya sebagai diri saya dan saya dalam karakter jahat yang dibawa. Kalau tidak, mungkin saya perlu cari orang luar, bukan orang Malaysia,” ujarnya sambil ketawa.

Ya, nama Raja Ilya memang dikenali kerana watak antagonis yang selalu dibawanya dalam beberapa siri drama tempatan. Antaranya dalam drama Dahlia dan Epilog Cinta Kirana serta terbaharu menerusi filem Suamiku, Encik Perfect 10!.

Bagi kebanyakan pelakon cantik seperti Ilya, pasti ada yang tidak mahu merelakan diri mereka melakonkan watak jahat kerana bimbang karakter jahat itu akan terbawa-bawa ke luar tabir. Takut juga, dek kerana lakonan negatif itu, maruah dan imej diri serta keluarga akan tercalar.

Tekanan dan benci

Juga tidak menerima tekanan, Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Raja Mohd. berkata, dia masih boleh mengawal diri.

“Saya tidak mahu jadi seperti sesetengah pelakon Hollywood yang pegang watak jahat, yang psiko sehingga ada yang mahu membunuh diri.

“Dan kalau boleh, saya tidak mahu ibu saya menonton drama jika saya berlakon watak jahat terutama anak derhaka. Saya beritahu dia awal-awal agar tidak merakam dan tonton drama itu kerana ia boleh mengganggu emosi dan menyebabkan ibu saya itu terasa,” katanya.

Menerima dengan hati terbuka jika ada yang membenci dirinya kerana watak jahat, sekali lagi tegas Ilya, bencilah kepada watak lakonan yang dibawa, bukan dirinya di dunia sebenar.

Berkongsi watak Azura Hanim yang dibawanya dalam Suamiku, Encik Perfect 10!, watak kali ini tidaklah terlalu jahat dan pelik bagi diri Ilya.

“Boleh kata watak ini menampilkan lakonan saya yang semakin bagus. Saya pasti ramai akan menyukainya. Saya sedar ada sesuatu sudah saya baiki menerusi watak itu.

“Malah tidak riak jika kata peminat saya semakin bertambah saban hari. Ramai yang sudah mengenali diri saya dan mengikuti perkembangan saya menerusi laman sosial,” jelasnya.

Dalam filem tersebut, Azura Hanim merupakan tunang kepada Zarief Danial lakonan Aaron Aziz. Namun, ketika Zarief sibuk dengan kerjaya di London, United Kingdom, Azura telah menjalinkan hubungan teman tapi mesra bersama Akram (Jehan Miskin). Kesetiaan Azura teruji apabila dia sah mengandungkan anak Akram hasil hubungan itu.

Malah, Azura terpaksa berdepan dengan perubahan rasa cinta Zarief yang mengenali seorang wanita bernama Aleeya Azmeen (Lisa Surihani) ketika berada dalam kapal terbang dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

Suamiku, Encik Perfect 10! sebuah karya adaptasi novel arahan Mohamed Feroz Abdul Kader bakal menemui penonton di pawagam pada 22 Januari ini. Pelakon lain yang menjadi tunjang filem tersebut adalah Syazwan Zulkifly, Normah Damanhuri dan Jasmin Hamid.