Bukannya mahu bersara sebaliknya isteri kepada Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj itu telah berjanji kepada dirinya sendiri untuk bersikap lebih selektif terhadap setiap tawaran yang datang.

Memulakan bicara, Jue berkata, bagi menjaga hati suami dan keluarganya yang berdarah raja, pemilihan watak amat penting agar tidak menjatuhkan air muka sesiapa.

“Lagi pun sebagai seorang isteri menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga batas diri. Dulu zaman anak dara pun sama, maruah keluarga sendiri kena jaga.

“Jadi tak jauh bezanya dulu dan sekarang. Cuma perlu lebih memilih apabila sudah berstatus isteri dan membawa gelaran Che Puan.

“Terutama apabila mendapat tawaran melakonkan watak suami isteri. Saya perlu meneliti skrip dengan terperinci terlebih dahulu demi menjaga hati suami,” katanya.

Jue berkata demikian ketika ditemui dalam majlis berbuka puasa anjuran HBO yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Jue menjelaskan bahawa keluarga mentuanya malah suaminya, Tengku Shariffuddin sendiri tidak menghalang pembabitannya dalam bidang seni.

“Buat masa ini, saya tidak akan berhenti berlakon. Malah mentua pun menggalakkan saya teruskan kerjaya seni. Mereka juga galakkan saya untuk memulakan perniagaan sambil berlakon.

“Tetapi buat masa ini belum terfikir lagi bila nak memulakan bisnes walaupun sudah lama merancang untuk ada perniagaan sendiri,” ujarnya berterus-terang.

Teruja sambut Ramadan

Kali pertama menyambut Ramadan dan Syawal sebagai seorang isteri, Jue tidak menafikan keterujaannya untuk meraikan bulan mulia ini.

Kalau dulu meraikannya bersama-sama keluarga dia akan membantu ibu menyediakan makanan kini segala-galanya perlu dilakukan sendiri terutama dalam menyediakan lauk pauk untuk menjamu suami.

“Satu pengalaman baharu dalam diari kehidupan saya. Masa bujang, masak untuk diri sendiri atau makan di restoran sahaja. Senang tak perlu fikir nak masak apa.

“Sekarang apabila sudah bersuami, sayalah kena sediakan semuanya. Lagipun baik untuk jaga hubungan suami isteri daripada makan di luar,” ujarnya.

Menjelaskan perkembangan terkini karier seninya, buat masa ini, Jue memberitahu, dia belum menerima sebarang tawaran berlakon kerana ingin memberi fokus terhadap rumah tangga yang baru didirikan.

Menurutnya, majlis perkahwinannya juga masih belum selesai sepenuhnya, justeru masih ada beberapa kerja yang perlu disiapkan sebelum berlangsung majlis resepsi di rumah keluarganya pada November nanti.

Pada masa sama, Jue memberitahu yang dia dan suami akan ke Eropah untuk berbulan madu dalam masa terdekat.

“Selesaikan satu persatu, kemudian baru kembali bekerja,” ujarnya.