Malah tegas Ella, persiapan yang lengkap sama ada dari segi mental dan fizikal juga harus ada sebelum seseorang itu mampu melalui pelbagai peringkat dalam kerjaya seorang penyanyi.

Mengakui yang dilaluinya 33 tahun lalu berbeza dengan penyanyi baharu masa kini, namun bagi penyanyi rock terkenal ini, semangat juang seseorang artis itu mampu menangkis setiap cabaran yang mendatang.

Justeru dia memberitahu agak terkejut mendengar kisah penyanyi muda seperti Haqiem Rusli yang dikhabarkan mahu meninggalkan dunia nyanyian gara-gara mengalami masalah kemurungan.

“Saya pernah berjumpa dia sekali dan saya tahu dia seorang yang berbakat. Malah saya juga meminati suaranya. Saya lihat dia mampu pergi lebih jauh dalam industri ini,” kata Ella yang mengakui menyenangi vokal penyanyi yang popular dengan lagu Tergantung Sepi itu.

Meminta Haqiem berpandangan jauh dan sentiasa bersabar dalam menerima kritikan, Ella mahu penyanyi muda itu mengutamakan bakat yang dimiliki.

Ini kerana kata Ella, Haqiem mempunyai pakej lengkap seorang artis kerana bukan sahaja mempunyai vokal yang baik tetapi juga berkemampuan dalam bidang penciptaan lagu.

“Saya tahu dia boleh pergi jauh melalui suara dan kemampuannya mencipta lagu. Jadi jangan cepat mengalah hanya disebabkan kritikan dan kecaman daripada netizen,” kata Ella.

Yakin sikap positif adalah kunci kepada permasalahan yang dihadapi Haqiem, kata Ella atau Nor Zila Aminuddin, 52, pada saat ini adalah penting untuk penyanyi itu sendiri bersikap matang.

“Seharusnya dia perlu lebih berfikiran positif dan matang. Sebab perjalanannya dalam industri masih jauh dan dia boleh berjaya dengan kelebihan yang dia ada.

“Yang saya boleh katakan dia kena pentingkan bakat daripada mengikut emosi,” katanya lagi.

Mengakui perubahan zaman juga memberi impak yang berbeza kepada kerjaya seninya hari ini, Ella menjelaskan, dalam keadaan sekarang dia bersyukur kerana masih lagi mampu menarik ramai peminat baharu.

“Dalam keadaan sekarang album fizikal baharu saya Peace Love Rindu masih mendapat sambutan dan saya sangat bersyukur dengan respons yang diterima,” katanya mengenai penjualan memberansangkan album baharunya itu.

Bakal berkongsi pentas dengan kumpulan Prime Domestic untuk Konsert Metal Legend 2 Live In JB pada 7 September depan, Ella memberitahu, dia akan menyanyikan lagu-lagu hits pada persembahan tersebut.

Tampil Konsert Metal Legend 2

Bakal menyampaikan 15 buah lagu daripada koleksi lagu-lagu malar segarnya pujaan ramai, Ella tidak ketinggalan memilih himpunan lagu-lagu daripada dan album baharunya.

“Saya tahu ada yang suka untuk saya nyanyikan lagu-lagu lama. Tetapi saya perlu adil dengan peminat baharu saya yang lebih suka lagu daripada album baharu saya,” katanya.

Memberitahu ada kejutan istimewa buat peminatnya, bagaimanapun kata Ella, buat masa ini dia tidak boleh mendedahkan kejutan yang dimaksudkannya itu.

Namun kata Ella dia akan turut menjemput adiknya, Korie untuk berduet menerusi lagu popular mereka, Pergilah Kasih.

“Untuk konsert ini, saya ada kejutan untuk peminat. Kalau nak tahu apa dia, silalah datang konsert. Saya juga akan berduet dengan Korie menerusi lagu Pergilah Kasih kerana ke mana-mana sahaja Ella pergi memang lagu itu antara yang mendapat permintaan tinggi daripada peminat,” katanya.

Konsert yang dijadualkan berlangsung di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor itu turut menampilkan kumpulan Cromok dan Sil Khannaz pada persembahan keesokan harinya.

Kedua-dua konsert rock ini dibawakan khas oleh Dreamstage Event dan tiket konsert bermula dari harga RM58 sehingga RM250.