Isabella dan Nasir Search 

Biarpun mengetahui cabaran kerja yang bakal dihadapi, gadis yang disapa Isabella ini tidak kisah. Dia percaya minat yang mendalam bakal menenggelamkan rasa gentar dan was-was terhadap bidang pekerjaan berkenaan.

“Saya memang sukakan cabaran. Untuk perancangan masa depan, saya merasakan skop kerja dalam dunia kewartawanan sesuai buat diri saya untuk menilai setakat mana kemampuan diri saya sebenar.

“Bidang itu juga yang akan membina keyakinan diri saya untuk berdepan dengan lebih banyak asam garam kehidupan,” kata Isabella yang bersedia untuk ‘terjun’ sebagai wartawan media cetak mahupun penyiaran.

Berhasrat untuk mengikuti pengajian dalam bidang kewartawanan di institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota, anak pemain bass Search, Nasir Daud, 57, juga dilihat tidak sabar untuk ‘terjun’ ke dunia pekerjaan yang sebenar.

Pendedahan awal daripada bapa yang mendapat publisiti daripada media di Malaysia juga antara pendorong utama Isabella teruja untuk mendalami bidang kewartawanan.

Menerusi bapa juga, Isabella mendapat sedikit sebanyak maklumat tentang skop kerja seorang wartawan dan formula terbaik untuk terus konsisten dalam bidang kerjaya yang dipilih.

“Saya seorang yang gemarkan mengembara ke tempat baharu. Setiap kali ke tempat baharu, saya akan tulis semua hal menarik pada lawatan berkenaan.

“Bertitik tolak dari situ juga saya belajar cara untuk mengarang dengan baik,” kata anak bongsu daripada dua adik-beradik ini lagi.

Biodata

  • Nama penuh: Isabella Ratna Sari Dewi
  • Nama singkatan: Isabella
  • Tarikh lahir: 20 November 1999 
(18 tahun)
  • Tempat lahir: Selangor
  • Pendidikan: Bekas pelajar Sekolah Antarabangsa Sri Utama Kuala Lumpur
  • Moto kehidupan: Jangan takut untuk berdepan dengan cabaran mendatang dan belajar sesuatu yang baharu
  • Impian menyertai Gadis Panca: Tidak salah kalau saya mencuba bidang baharu di luar kemampuan diri, dengan cara itu dapat memperbaiki kelemahan diri dan menjadi insan lebih positif.