Tidak dinafikan populariti drama itu turut memberi tempias kepada Irfan, 16, yang mendendangkan lagu ciptaan Ippo Hafiz itu.

Irfan antara artis remaja yang popular sekarang ini selain Aiman Tino menerusi lagu Ku Rela Dibenci, Tajul (Sedalam-dalam Rindu), Haqiem Rusli (Segalanya) dan Hez Hazmi (Setiaku). Mereka mula melonjak naik dengan hanya satu lagu.

Baru-baru ini Mega HITS berkunjung ke kediaman Irfan di Taman Impian Emas, Johor Bahru, Johor untuk mengetahui perkembangan terkini.

Pada pertemuan yang turut disertai ayah dan ibunya, Othman Abd. Kadir dan Norhayati Arshad, Irfan dilihat masih lagi malu-malu.

“Macam mana sudah bergelar penyanyi tapi masih malu-malu. Di sekolah kawan-kawan usik Irfan tak?” tanya saya cuba memancing jawapan.

“Kawan di sekolah tak ramai yang tahu lagu nyanyian saya sebab kawan-kawan saya ramai budak Cina. Kalau ada pun seorang dua cikgu Melayu yang tahu lagu Redha.

“Bila di sekolah tak ramai yang tahu, saya bebas untuk bergerak. Cuma kalau ada acara kesenian, saya selalu dipanggil untuk menyanyi. Saya tak kisah sebab itu semua untuk sekolah,” katanya yang merupakan pelajar Tenby International School Setia Eco Gardens, Johor Bahru itu.

Oleh kerana dia masih belajar, ada juga undangan persembahan yang diadakan di luar Johor Bahru terpaksa ditolak. Bagaimanapun undangan persembahan di sekitar bandar raya itu tetap diterima.

“Kalau hujung minggu bolehlah difikirkan, seperti undangan untuk program televisyen atau persembahan yang berdekatan. Undangan untuk persembahan pada hari biasa, hanya yang dekat sahaja untuk tidak menghampakan permintaan orang.

“Saya bersekolah pagi, jadi perlukan tidur yang cukup. Sebab itu juga saya belum berpeluang mengadakan promosi secara serius untuk single Redha.

“Bagaimanapun Alhamdulillah sebab lagu itu menjadi popular kerana drama Suri Hati Mr. Pilot,” katanya.

Oleh kerana belum melakukan promosi secara serius, Irfan tidak bercadang untuk tampil dengan single baharu kerana lagu ciptaan Ippo Hafiz itu belum sampai enam bulan diperdengar kepada umum.

Siapa sangka, Ippo yang kebetulan datang ke rumah Irfan untuk bertemu kakaknya, penyanyi Amira membawa tuah kepada dirinya.

“Abang Ippo ke rumah untuk berjumpa kak Ya (Amira) tapi ketika itu dia main gitar dan suruh saya menyanyi. Tak sangka pula dia bersungguh-sungguh minta saya nyanyikan lagu baharu ciptaannya iaitu Redha. Katanya, dia memang mahu orang muda nyanyikan lagu itu.

“Pertama kali dengar pun saya sudah suka lagu itu kerana berunsur ketuhanan. Mungkin untuk single akan datang, saya akan terus menggunakan khidmat abang Ippo. Setakat ini biarlah saya buat promosi untuk Redha dulu,” jelasnya.