Pernah berada pada zaman popular lagu-lagu jiwang 80-an, Intan Sarafina mengakui agak sukar untuknya bersaing dengan bakat baharu sekarang.

“Memang sekarang ini ramai bakat baharu yang mendapat perhatian ramai. Jadi untuk menempatkan diri dalam kalangan mereka sebenarnya memerlukan usaha,” jelasnya.

Apatah lagi sekarang ini adalah zaman teknologi yang menyaksikan media sosial antara yang memainkan peranan penting dalam kehidupan dan bukan sekadar alat bantuan untuk berkomunikasi sahaja.

Semestinya, golongan muda lebih arif menggunakan media sosial untuk memberi kesan yang lebih tinggi pada peminat mereka.

Intan dahulu pernah berada dalam industri sebelum hilang dan kini muncul kembali. Menariknya, dia hadir semula pada dua zaman yang cukup berbeza.

“Kalau dahulu, saya hanya ikut apa sahaja yang syarikat rakaman rancangkan. Tetapi kini saya boleh suarakan dan ikut kemahuan diri dalam muzik yang mahu saya tampilkan.

“Selain itu, sudah pasti berkenaan dengan media sosial. Semasa saya aktif dulu tidak ada semua ini, bila masuk semula dalam industri, memang kena belajar.

“Sebelum masuk industri pun saya sudah gunakan media sosial tetapi kini kena lebih arif lagi. Media sosial antara pengaruh kuat untuk mempromosikan lagu dan kelangsungan seseorang artis,” jelas Intan yang mengawal sendiri semua akaun sosialnya.

Bagi Intan, walaupun muncul pada dua zaman yang berbeza, dia gembira kerana masih berpeluang untuk belajar sesuatu yang baharu dalam industri.

Dia kini dalam proses merakamkan tiga buah lagu. Antara semua lagu itu, satu akan dipilih untuk menjadi single baharunya.

Ketiga-tiga lagu tersebut membawa muzik yang sedikit berbeza daripada yang pernah dibawakan sebelum ini.

“Kesemua lagu yang saya rakamkan ini adalah solo. Belum rancang lagi untuk menyanyi lagu duet dengan artis lain.

“Yang penting sekarang untuk keluar dengan single baharu dan melihat bagaimana sambutan peminat nanti,” katanya yang bakal tampil dengan single baharu selepas raya.

Ditanya mengenai proses rakaman selepas lama tidak masuk ke studio, menurut Intan, tidak ada apa merisaukan kerana dia sendiri aktif dalam bidang seni.

“Jadual saya sekarang padat dengan undangan nyanyian dan saya sehingga kini masih kekal mengambil kelas vokal.

“Jadi untuk menyanyi di studio rakaman memang tidak ada masalah,” jelasnya.

Tawaran nyanyian yang meningkat kini semestinya memberi kesan pada jadual pembahagian masa bersama dengan keluarga.

Jika sebelum ini, tidak ada masalah buat ibu kepada tiga orang anak ini menguruskan keluarga tetapi kini dengan jadual yang agak padat, dia akui perlu bijak mengawalnya.

“Untuk Ramadan tidak terlalu banyak tawaran persembahan, jadi peluang untuk dengan keluarga itu lebih banyak.

“Cuma yang banyak tawaran berbukalah. Anak-anak semua okey jika saya tidak dapat berbuka dengan mereka. Lagipun mereka masih kecil lagi,” jelasnya.

Intan merupakan ibu kepada Megat Evan, 7, Megat Israfel, 5 dan Megat Noah, 2.

Bercerita mengenai tradisi ketika Ramadan, jelas Intan, kebiasaannya dia dan ahli keluarga yang lain akan menunaikan solat tarawih bersama-sama.

“Bezanya cara kami solat tarawih adalah dengan mengunjungi rumah-rumah yang sudah ditetapkan giliran sebagai lokasi untuk solat.

“Jadi, saya dan suami akan solat tarawih berbeza-beza setiap malam mengikut kelapangan masa,” kata Intan yang akan beraya di ibu kota tahun ini.

Menyertai dunia lakonan bukanlah sesuatu yang baharu bagi Intan. Sebelum ini pada 2009, dia pernah berlakon dalam drama berjudul Asmara.

Kini, tawaran untuk berlakon datang lagi dan Intan mengakui dia seronok dengan dunia lakonan dan cuba buat yang terbaik.

“Apabila berlakon, saya rasa seperti nak buat lagi. Kalau ada tawaran lagi, saya akan fikirkan untuk terima atau tidak,” jelasnya.

Namun menurut Intan, keutamaannya dalam bidang seni masih lagi terletak pada dunia nyanyian berbanding cabang seni yang lain.

Dia sendiri tidak ada masalah untuk berlakon tetapi akan memilih nyanyian sekiranya jadual untuk kedua-dua bidang itu bertindih.

“Masih banyak yang ingin saya kecapi dalam dunia nyanyian. Lakonan ini ibarat sesuatu yang saya ingin cuba jika ada kelapangan masa,” jelasnya.

Cuba berlakon

Bercerita mengenai lakonan, riak dan mimik wajah ketika melontarkan dialog antara yang memainkan peranan penting.

Namun Intan sewaktu menyertai program Gegar Vaganza sering kali mendapat kritikan mengenai ekspresi wajahnya ketika menyanyi.

“Saya akui riak wajah saya yang agak keras ketika menyanyi. Saya sudah terbiasa untuk menyanyi sebegitu rupa,” katanya.