Ini adalah kali pertama seumpamanya dilakukan oleh Seniman buat ahli-ahli. Ia berfungsi, apabila mereka daftar dengan Seniman, bayar yuran atau membuat pembaharuan keahlian dan apabila mereka lakukan itu, secara automatik mereka akan dapat perlindungan insurans itu. Kami buat usahasama ini dengan syarikat insurans terkemuka, Tokio Marine Insurance Berhad kerana mereka adalah satu-satunya syarikat insurans yang boleh buat perlindungan sebagaimana yang kita mahu berdasarkan cara kerja artis. Kebanyakan syarikat lain tak dapat lakukan sebagaimana yang kita minta.

Terbuka kepada siapa?

Terbuka kepada artis yang berdaftar sebagai ahli Seniman. Setiap ahli akan memiliki kad keahlian dan apabila mereka daftar atau memperbaharui kad, pada kad tersebut akan tercatat tarikh luput insurans yang seiring dengan tarikh luput keahlian mereka. Jadi, ia sebenarnya memudahkan ahli untuk tahu bila tarikh luput mereka dan boleh buat pembaharuan. Apa yang perlu mereka lakukan ialah, pergi ke pejabat Seniman dan kami akan proses untuk mereka.

Boleh terangkan kelebihan insurans ini untuk artis-artis yang mungkin tidak tahu?

Dalam dunia seni, pelakon tidak termaktub di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan meski kita telah berusaha dengan pihak Perkeso untuk kebajikan artis, mereka cuma mencadangkan agar Seniman menjalankan skim perlindungan insurans buat kelompok artis. Jadi kami teruskan usaha dan dapat bekerjasama dengan K Wealthlab Sdn Bhd. Kami sediakan perlindungan insurans secara dasar dan ia melibatkan kemalangan dan kecacatan kekal buat artis. Tidak cuma insiden ketika di set penggambaran, di luar set juga turut boleh buat tuntutan skim perlindungan insurans ini seandainya mereka sudah jadi ahli. Begitu juga dengan kematian.

Berapa jumlah yang perlu dibayar oleh ahli untuk skim ini?

Ia mengikut purata, Ikut berapa ramai yang berdaftar dengan Seniman dan kita akan beri secara sama rata. Dalam masa yang sama, insurans di bawah Seniman ini juga unik kerana kita turut menyelitkan insurans perlindungan pembedahan kosmetik. Misalnya, semasa penggambaran gigi patah atau calar di wajah ketika melakukan aksi lasak, ahli layak membuat tuntutan sebanyak RM1,000. Tak cuma itu, kami juga menyediakan pampasan bagi kes penculikan termasuk beberapa pampasan lain yang ada dalam senarai. Elaun hospital sebanyak RM100 termasuk pampasan sebanyak RM200 akan diberikan kepada ahli yang cuti sakit selama seminggu. Had kelayakan untuk ahli adalah bermula dari usia 3 hingga 70 tahun.

Pernah ada ahli yang merungut tak mengenai ketiadaan perlindungan insurans atau tiadanya program kesihatan seperti ini sebelum ini?

Kita pernah terima pertanyaan daripada ahli dan sebelum ini pula tak pernah diwujudkan program seperti ini, Saya juga telah bertemu dengan barisan doktor pakar kecemasan di bawah Sukarelawan Perubatan Malaysia mengenai hal ini dan berdasarkan perbincangan dan idea yang dikeluarkan, saya merancang untuk mewujudkan sebuah klinik kesihatan buat ahli Seniman untuk kemudahan mereka. Tidak cuma ahli, orang luar juga boleh mendapatkan rawatan di klinik tersebut. Perancangan untuk klinik itu mungkin akan direalisasikan bermula lima tahun dari sekarang andai saya masih lagi memegang tanggungjawab sebagai Presiden.

Sejauh mana kesedaran mengenai pentingnya memiliki insurans ini ada pada kalangan ahli kerana ramai yang masih tak ambil peduli mengenainya. Komen?

Saya harap kita ni, janganlah dah terhantuk baru nak terasa. Tak mahulah jadi begitu sebab contoh pun banyak di depan mata. Benda ni, sepatutnya dah jadi testimoni dan mereka (artis) patut lebih bersedia. Dalam masa yang sama, Seniman dah cuba bantu dengan menyediakan skim dasar. Umpamanya, kalau baju dan seluar pun kita dah bagi, takkanlah kita juga kena pakaikan baju untuk mereka betul tak? Yang itu kenalah usaha sendiri dan kena ada kesedaran sendiri. Saya tak nafi, masih ramai yang anggap insurans ni tak penting sedangkan demi kepentingan masa depan, ia perlu jadi keutamaan. Saya dah banyak uruskan ahli yang sakit dan yang meninggal dunia, saya rasa semua ahli perlu tahu dan ada ilmu perlindungan ni. Sekurang-kurangnya ada walaupun skim dasar. Kalau nak tambah lebih, itu terpulanglah.

INDUSTRI hiburan kita sebenarnya masih banyak yang jauh ketinggalan terutama dalam bab kepentingan soal kesihatan dan keselamatan ketika menjalani sesebuah penggambaran.

Nak dibandingkan dengan kesedaran yang dimiliki oleh aktor dan aktres di barat misalnya, di Malaysia, berapa kerat sangat artis kita yang ada akal dan menganggap mempunyai insurans itu penting dan tak salah kalau dianggap wajib ada untuk setiap seorang.

Malangnya, realiti di sini begitulah dan apabila sudah sakit atau berlaku insiden yang tidak diingini, barulah terasa 'sakitnya’. Sudah banyak pun contoh yang ada di depan mata tapi masih lagi yang tak timbul-timbul kesedaran.

Hal ini dibangkitkan oleh Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi melalui sebuah program kesihatan,perubatan dan pelancaran skim insurans untuk artis yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini.

Dalam satu sesi temu bual. Zed melahirkan rasa kecewa kerana masih ramai di kalangan ahli dan artis tempatan yang menganggap perlindungan insurans adalah satu pelaburan yang merugikan dek kerana kurang ilmu pengetahuan mengenainya.

Berikut adalah perkongsian Zed bersama Pancaindera.