Mungkin masih ramai yang berkata-kata tentang kemenangan adik kepada dua pelakon terkenal tanah air, Nelydia dan Uqasha Senrose ini, namun langkah awalnya dalam industri seni tidak sesekali disebabkan pengaruh kakak-kakaknya.

Langsung tiada berkecil hati dengan tohmahan terhadap dirinya, Raysha Rizrose tidak mahu meletakkan dirinya terus dalam perangkap kata-kata nista yang tiada berpenghujung, sebaliknya dia mahu terus bergerak tanpa menoleh lagi.

Membuktikan dirinya tidak hanya bergantung harap kepada rupa paras semata-mata, gadis berusia 19 tahun ini mahu setiap mata-mata yang mempertikai diri melihat bakat yang dipersembahkan menerusi lakonannya.

Biarpun baru membintangi beberapa drama dan juga filem, anak ke empat daripada tujuh beradik ini tegar mencorak kanvas seni dengan lakaran bakat yang sedia ada di dalam dirinya.

“Sebenarnya, dari dulu lagi orang sudah mula mempertikaikan kewujudan saya dalam industri seni dengan mengaitkan Nelydia dan Uqasha sebagai ‘tangan-tangan ghaib’ yang membantu melariskan nama Raysha Rizrose dalam industri.

“Namun, sedar atau tidak, saya bergerak sendiri tanpa bergantung harap kepada mereka. Malah, menjuarai Dewi Remaja 2015 juga merupakan detik manis dalam hidup saya yang diperoleh dengan titik peluh serta usaha sendiri,” kata gadis cantik ini.

Bukan mengelak untuk dikaitkan, namun anak kelahiran Kuala Lumpur ini sedar, perjalanan di dalam industri seni tidaklah semudah yang disangka dan dia lebih rela tersadung langkah, lantas bangkit semula dengan sendiri tanpa perlu dibantu ‘pengaruh‘ kakak-kakaknya.

Tidak hanya mahu memahat namanya di dalam dunia lakonan semata-mata, gadis cantik ini mahu melontarkan percikan warna warni seni dalam bidang pengacaraan dan juga nyanyian.

Biarpun sedar tidak mudah untuk merealisasikan impian besar itu, namun pemilik nama Farza Naquraisha Mohd Fariz punya cita-cita lebih besar dalam menjadi insan contoh yang mampu membimbing anak muda generasi kini.

“Saya sedar industri seni bukan untuk selamanya, adakala kita perlukan sesuatu yang lebih menjamin. Oleh sebab itu, saya tekad untuk menyambung pelajaran sejurus selepas tamat kontrak. Saya tidak mahu terus mengharap populariti dan kerjaya sebagai anak seni.

“Selain berlakon, saya juga minat pengacaraan dan nyanyian. Bagi saya, itu yang membezakan antara Raysa dengan Nelydia dan juga Uqasha. Mereka lebih kepada bidang lakonan manakala saya lebih gemar mencuba dunia lain,” katanya.

Belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukan kakak-kakaknya, dia menanggap apa saja yang cabaran yang bakal melintang di hadapan kelak akan ditempuhi dengan berhati-hati.

Tidak menyalahkan mana-mana pihak, baginya setiap kontroversi yang menjengah dalam diari seni kakak-kakaknya merupakan pengajaran yang berguna bukan hanya untuk mereka tetapi untuk diri sendiri.

Apatah lagi, bagi gadis muda berwawasan tinggi, dia mahu kanvas seninya bersih daripada contengan kontroversi pahit serta cerita-cerita memalukan diri yang akhirnya bakal menjerat pelakon Dukun Doktor Nani ini.

“Setiap kontroversi itu sebenarnya memberi ruang untuk kita semua memperbaiki diri. Apa sahaja cerita-cerita panas yang dilontarkan kepada Nelydia dan Uqasha, saya jadikan pengajaran untuk diri sendiri supaya tidak melakukan perkara sama.

“Siapa yang mampu lahir daripada kesilapan, itu kisah mereka. Saya tidak mempunyai hak untuk memberi komen atau mengulas apa sahaja kontroversi yang terjadi. Biarlah empunya diri menerangkan hal sebenar,” katanya.

Lebih berhati-hati dalam mengatur tingkah laku di hadapan khalayak, Raysha sedar dia membawa gelaran Dewi Remaja yang menjadi cerminan kepada kredibiliti seorang gadis yang penuh inspirasi dan wawasan.

Tidak hanya bergelar dewi pada mahkota, pelakon Isteriku Miss Sally ini mahu orang ramai sedar dia bukan sekadar ‘menjual’ rupa paras, namun dia punya cabaran dan kisah hidup untuk dikongsi bersama anak-anak muda di luar sana.

“Itulah tugas sebenar sebagai seorang Dewi Remaja. Seperti Scha Al-Yahya dan Neelofa, mereka masing-masing punya kisah hidup yang boleh dikongsi supaya menjadi pengajaran buat semua orang,” katanya.

Enggan tamak populariti

Bergandingan dengan nama-nama besar seperti Eman Manan dan Pekin Ibrahim dalam telemovie Batas, Raysa sedar dirinya masih mentah dalam dunia seni dan memerlukan tunjuk ajar daripada orang-orang lama di dalam industri.

Malah, menjadi satu-satunya bunga dalam kalangan kumbang yang berlakon dalam drama tersebut, pelakon ini mengakui dia tidak mudah tertekan biarpun lakonannya masih banyak yang perlu diperbaiki.

“Mereka (Eman dan Pekin) banyak memberi tunjuk ajar bukan sahaja dari segi lakonan sebaliknya turut memberi kata-kata semangat untuk digenggam erat terutama dalam menempuhi cabaran dunia seni ini.

“Susah sebenarnya untuk menjayakan watak Mek Na ini sebab perlu menggunakan dialek Kelantan dan saya satu-satunya pelakon wanita dalam drama ini. Jadi tekanan itu ada tapi saya berjaya menempuhinya,” katanya.

Lebih gemar untuk menumpukan seluruh fokus dalam satu-satu tawaran, Raysha tidak mahu tamak dalam merebut semua peluang dan malah dia juga bersifat agak selektif terutama dalam memilih watak yang bersesuaian dengan gelaran Dewi Remaja.

Mengimpikan karakter psikik dan juga aksi, Raysha juga menganggap Nelydia sebagai mentor dalam dunia lakonan selain Lisa Surihani yang disifatkan antara pelakon wanita terbaik tempatan.

“Nelydia mempunyai jiwa lakonan bersahaja yang sememangnya mencerminkan dirinya sendiri. Dia tidak cuba meniru mana-mana pelakon. Malah, Lisa juga mempunyai kelas tersendiri, itu tiada siapa yang boleh sangkal.

“Saya tidak boleh ambil sebarangan watak, perlu bijak buat keputusan. Kita tidak boleh ambil secara pukal semua tawaran, nanti diri sendiri yang terjerat. Lebih baik fokus satu-satu projek, baru tenang dan senang,” katanya.

Menolak untuk berbicara soal cinta, gadis matang ini tidak mahu diari seninya tercoret kisah hati yang belum pasti ada penghujungnya. Malah, dia juga menegaskan dirinya masih solo biarpun ramai jejaka cuba mendekati.

Mengakui dirinya masih terlalu muda, Raysha lebih mengutamakan kerjaya serta kematangan hidup sebelum mengikat hatinya dengan mana-mana jejaka.

“Saya mahukan lelaki yang bijak dan membawa peribadi yang matang. Namun, itu bukan keutamaan buat saya sekarang. Jujur, ramai yang mendekati tetapi biarlah kerjaya dan kelangsungan hidup diberi tumpuan dahulu. Baru fikir soal cinta,” 
katanya.

Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Busana: Jimmy Couture (019 626 5482)
Tatarias: MakeupbyNurulMF ( 018-2039989) Emmie Lee (019 669 0610)