Apa yang pasti, penyanyi ini sudah lama menemukan jalan aman, memulihkan hubungan yang keruh dek kerana salah faham tidak berasas. 
Sedar bahawa barangkali ada yang mengenalinya kerana kontroversi itu, Sufi memilih untuk bertenang dan menganggap segala yang berlaku adalah sebuah pengalaman dan pengajaran yang tidak akan dilupakan.

Kata penyanyi berusia 27 tahun ini, untuk apa dia terlalu memikirkan apa kata orang sedangkan apa yang berlaku antara dia dan ibu kandungnya itu cuma mereka yang lebih tahu dan mengerti.

Malah, sebagai anak, tiada apa yang lebih menggembirakan hati apabila dapat melihat senyuman sentiasa terukir di wajah ibunya yang kini tidak lagi hidup sunyi sementelah sudah bersuami baharu.

Berkahwin buat kali kedua sekitar pertengahan tahun lalu, menurut Sufi, ibunya menamatkan status janda dengan seorang lelaki berusia 40-an berbangsa Arab yang juga memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Singapura.

Menghormati ibunya yang kemungkinan enggan terlalu mendedahkan perkara tersebut, Sufi bagaimanapun mahu semua pihak tahu bahawa hubungannya dengan keluarga tidak pernah terputus meski dilanda badai.

“Anak mana yang sesekali tak bertekak dengan ibu, ada ketika memang akan berlaku perselisihan faham dan ada masa ibu kita pun emosinya menjadi tidak menentu.

“Itu semua lumrah dan saya bersyukur kerana hubungan kami sudah pulih. Hal yang lama biarlah berlalu kerana saya lebih gembira melihat ibu kini bahagia bersama bapa tiri yang banyak menghabiskan masa bersamanya di rumah dan menjaganya,”katanya.

Kata Sufi, dia merestui perkahwinan ibunya itu dengan lelaki berkenaan asalkan bapa tiri baharunya itu mampu menjaga ibunya dengan baik dan ikhlas terhadap keluarganya.

Sebagai anak lelaki tunggal, Sufi tahu, ada ketika dia tidak mampu sentiasa bersama keluarga kerana tuntutan kerjaya yang jadualnya tidak menentu dan melihat perkahwinan itu mengisi kesunyian yang dirasai oleh ibunya selama ini.

“Mempunyai sebuah keluarga yang pincang dengan perceraian ibu bapa, saya tahu satu hari nanti, ketika dia semakin tua, ibu tentu tak nak sunyi dan mahukan pasangan hidup macam orang lain.

“Doa termakbul akhirnya dan saya cuma mahu melihat ibu bahagia. Di akhirnya, kita kena akur, Tuhan yang menggerakkan semua yang terjadi dan tentu ada hikmah atas segala yang berlaku,”katanya.

Menurut penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia 2015 ini, sehingga kini dia tidak pernah merasa kecil hati dengan kata-kata orang meski ada yang tergamak melabel dirinya sebagai anak derhaka atau malin kundang kerana kontroversi yang berlaku.

Pun begitu, dia tahu apa pun yang terjadi, naluri dan fitrah seorang ibu, wanita itu tetap akan mendoakan yang terbaik dan kejayaan buat dirinya.

Terbukti, tahun ini menyaksikan pencapaian Sufi di tahap yang membanggakan meski jauh untuk dia mengejar populariti setanding dengan artis gred A sedia ada dalam industri.

“Boleh dikatakan, tahun ini banyak peluang untuk saya mengembangkan kerjaya termasuk berjaya mara ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 pada November lalu. Alhamdulillah, satu persatu dipermudahkan oleh-Nya.

“Mustahil semua itu berlaku andai tiada berkat doa dan redha daripada ibu. Mungkin ada masa ibu marah dan beremosi, tetapi dia tidak pernah lupa untuk mendoakan anak-anaknya,”katanya.

Mahu membuktikan pada keluarga dia mampu berjaya satu hari nanti, kata Sufi, ia termasuklah memberi kesenangan buat keluarga dan mereka yang memerlukan.

Bagaimanapun, kekayaan dan kemewahan bukanlah apa yang dikejar olehnya memandangkan dia percaya semua itu lazimnya hadir dengan pelbagai dugaan lain.

“Orang kata, 'besar periuk nasi, lagi besar keraknya.' Saya pernah berada di tahap itu, hidup mewah dan bayangkan ketika berusia 22 tahun, saya sudah memiliki sebuah motosikal berkuasa besar, Ducati Panigale dan pergi ke Eropah beberapa kali dalam setahun.

“Kekayaan juga membuatkan saya lupa diri, suka membazir dan riak. Sehinggalah satu hari saya ‘ditegur’ Tuhan sehingga jatuh terduduk. Bisnes saya terpaksa ditutup kerana kerugian besar dan tiada apa yang tinggal sebagai simpanan. Saya bersyukur diberi peluang oleh Tuhan merasa di kedudukan itu dan ia memberi pengajaran bermakna,”katanya.

Banyak bermuhasabah diri, Sufi lebih selesa dengan rezeki yang diraih sekarang dengan prinsip biarlah bersederhana, asalkan gembira.

Kekayaan juga membuatkan saya lupa diri, suka membazir dan riak, sehinggalah satu hari saya ‘ditegur’ Tuhan sehingga jatuh terduduk. Bisnes saya terpaksa ditutup kerana kerugian besar dan tiada apa yang tinggal dalam bank simpanan.

Anak mana yang sese­kali tak berte­kak dengan ibu, ada ketika memang akan berlaku perse­li­sihan faham dan ada masa ibu kita pun emosinya men­jadi tidak menentu.

Hey, ini Sufi

1 Single baharu Aku Sendiri adalah kesinambungan kepada single kelima berjudul Aku Sanggup.

2 Menariknya, idea lagu Aku Sendiri dihasilkan secara bersahaja bersama penyanyi Haqiem Rusli ketika bermain permainan video di rumahnya.

3 Simpan hasrat hasilkan album penuh tahun depan.

4 Pernah menjalankan bisnes tas tangan berjenama luar negara bersama rakan sebelum mengalami kerugian dan ‘bungkus’.

5 Banyak terbabit dengan aktiviti amal jariah, tetapi tidak mendedahkannya pada umum untuk tujuan publisiti.