Seperti yang diketahui ramai, penerbit berkenaan berang apabila ada segelintir pelakon yang terlibat dalam drama Dia Menantu Rahsia yang sedang ditayangkan di TV3 ketika ini bersikap dingin.

Mereka bukan sahaja tidak membantu promosi, malah tidak mempedulikan langsung mengenai drama berkenaan. Sudah pasti sikap yang ditunjukkan oleh mereka membuatkan dia geram.

“Padahal semua pelakon sudah tahu yang mereka sepatutnya melakukan promosi dalam media sosial. Dalam kontrak sudah dinyatakan perkara tersebut tetapi nampaknya ada yang langsung tidak mempedulikan.

“Kita mereka minta buat kerja lebih dengan bayaran, bukannya percuma. Berapa yang diminta, itulah yang dibayar. Tapi tak sangka pula ada yang melanggar perjanjian pula,” tambahnya.

Tidak mahu mendedahkan siapakah gerangan pelakon yang dimaksudkan membuatkan peminat berteka teki memandangkan Dia Menantu Rahsia dibintangi oleh Ashraf Muslim, Raysha Rizrose, Shawan DFKL, Mona Allen dan beberapa pelakon lain.

Dedahnya dia tidak mahu menyebutkan nama mereka secara terperinci memandangkan masing-masing patut sedar tentang perkara berkenaan memandangkan ia sudah dipersetujui bersama.

“Ini adalah antara produksi paling menyedihkan sepanjang dua dekad bergelar penerbit. Tidak pernah saya merasakan kesedihan begitu sekali dengan artis dan kru yang terlibat.

“Tak pernah berlaku lagi dalam sejarah ada pelakon utama tidak memberikan kerjasama untuk mempromosikan produk sendiri. Kita bukan suruh buat percuma sebaliknya berbayar melalui perjanjian awal,” tambahnya.

Mengaku serik dan tidak mahu lagi berurusan dengan pelakon dimaksudkan, A. Aida menegaskan ini adalah kali terakhir dia memberikan tawaran kepada individu tersebut.

HARAPAN

MENINGGALKAN seketika kisah tersebut A. Aida bagaimanapun teruja apabila dapat bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad minggu lalu. Tidak berseorangan dia sebaliknya menyertai delegasi Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) yang diketuai oleh Datuk Jurey Latif Rosly.

Mengulas mengenai pertemuan tersebut, A. Aida menjelaskan yang mereka ada berbincang mengenai masa depan dan hala tuju penerbitan drama serta beberapa saranan.

“Apa yang boleh saya katakan memang ada maklum balas positif yang diberikan oleh Tun kepada PTVM. Kami ada berbincang mengenai beberapa perkara termasuklah isu harta intelek (IP), lesen sekuriti dan pemberian lesen oleh Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).

“Seperti mana yang kita sedia maklum, Finas sedang berhadapan dengan masalah dan kita mahu isu tersebut segera diselesaikan untuk memudahkan penerbit TV melakukan gerak kerja,” ujarnya.

Antara topik utama yang dibincangkan lagi termasuklah IP produk yang dipegang oleh stesen TV.

Persatuan mahu IP hanya terpakai selama tiga tahun kepada stesen seterusnya dikembalikan semula hak kepada penerbit seperti dahulu.