eKedua pihak ini telah memberi kenyataan balas dan terbaru, pereka fesyen lelaki itu telah membuat laporan polis. Namun, laporan itu bukanlah untuk Janna tetapi peminatnya.

“Saya tak tahu kenapa orang masih lagi mengaitkan saya dengan pereka fesyen itu. Sedangkan saya dah malas nak ungkit lagi benda ini. Sudah sebulan berlalu dan sepatutnya tak perlu lagi dibangkitkan.

“Berkenaan dengan laporan polis yang dibuat olehnya, saya tak ada kena mengena langsung. Itu adalah masalah dia dan peminat saya itu. Walaupun apa yang ditulis peminat saya itu ada kaitan dengan apa yang berlaku, saya tak ada hak untuk hentikan dia.

“Apa yang dia tulis itu adalah pendapatnya dan itu laman sosial dia. Saya sendiri tak kenal siapa peminat itu sebab tak pernah jumpa sebelum ini. Boleh dikatakan semua ahli kelab peminat saya kenal dan selalu jumpa.

“Setiap ahli mempunyai nombor kod dan dia baru sahaja mendaftar. Mungkin niat dia hanya untuk mempertahankan saya tapi dengan cara yang salah.

“Sebab itu, saya tidaklah lepas tangan atau membiarkan begitu sahaja. Saya ada memberi teguran dan nasihat kepadanya supaya jangan lagi mengulangi kesalahan yang sama dan berhenti menulis di laman sosial seperti itu,” jelas Janna yang mengambil berat tentang peminat-peminatnya.

Tambahnya, “Kalau diikutkan, perkara ini saya tak perlu masuk campur. Bukan sebab saya tak ambil peduli tentang peminat-peminat.

“Kalau mereka sakit atau memerlukan bantuan, barulah saya perlu mengambil tahu. Bila berkaitan dengan isu ini, ianya adalah tanggungjawab mereka.

“Saya tidak ada kuasa untuk menghentikan atau melarang setiap pergerakan atau kelakuan yang mereka buat. Kita tak boleh nak paksa seorang-seorang. Tapi kalau benda itu salah, saya tetap akan tegur.”

Janna berharap selepas ini tidak perlu lagi mengaitkan dia dengan pereka fesyen itu dan berhentilah bercerita atau bertanya mengenai isu ini.

“Berhentilah kaitkan saya dengan dia lagi. Saya berharap sangat selepas ini tidak ada lagi yang bertanya atau bercerita tentang isu ini. Saya sudah maafkan dia dan lupakan apa yang berlaku antara kami,” tegas Janna.

Dengki dan Iri hati

Janna Nick juga menyedari ada beberapa pihak yang tidak senang melihat kejayaannya dan cuba untuk menjatuhkan karier lakonannya. Malah, ada juga yang membenci Janna tanpa mengenali dirinya sebenar.

“Saya tahu dan sedar ada beberapa pihak yang tidak suka dengan saya. Mereka mencari peluang untuk menjatuhkan karier saya.

“Ada yang cuba memperbesarkan isu kecil hanya semata-mata ingin mencetuskan kontroversi mengenai saya. Tak tahu apa masalah mereka ini sehingga sanggup berbuat demikian.

“Manusia ini ada dua sebab sahaja kenapa mereka mahu jatuhkan kita. Pertama, sebab kita kacau hidup mereka dan kedua sebab mereka ini ada simpan perasaan dengki dan iri hati bila melihat orang yang lebih berjaya.

“Tapi sepanjang saya dalam industri ini, tak pernah pula saya kacau atau ganggu hidup orang lain. Kalau betul saya ini bermasalah, sudah tentu tiada lagi tawaran berlakon.

“Namun, Alhamdulillah saya masih lagi menerima tawaran berlakon dengan produksi yang pernah bekerjasama dan kru-kru belakang tabir pun selesa bekerja dengan saya,” kata pelakon berusia 22 tahun ini.

Kebanyakan orang yang tidak suka dengan Janna disebabkan perwatakannya yang agak kasar dan suka bercakap dengan nada yang tinggi. Janna tidak menafikan dirinya seorang yang kasar, tapi bukanlah setiap masa.

“Saya tahu ada yang tak suka saya sebab perwatakan yang kasar dan suka cakap dengan nada yang tinggi. Tapi kalau orang yang betul-betul kenal saya, dia tahu siapa diri saya sebenar.

“Memang tidak dinafikan itu adalah diri saya sebenar. Tak nak jadi hipokrit dan menjadi orang lain. Tapi bukanlah setiap masa saya kasar dan cakap kuat.

“Dengan orang tertentu sahaja dan tengok pada keadaan atau situasi. Kalau waktu itu tengah bergurau, memang saya akan tunjuk perangai sebenar. Tapi situasi serius, saya akan menjadi serius.

“Pandangan pertama bila orang lihat kita adalah penting tapi janganlah menjatuhkan hukum sebelum mengenali orang itu.

“Saya sendiri tak pernah nak mempersoalkan siapa orang itu atau suka-suka hati nak kutuk atau benci orang tanpa sebab. Lagi-lagi orang yang saya tak kenal.

“Insya-Allah saya akan berubah perlahan-lahan untuk menjadi orang yang lebih baik. Tapi masih mengekalkan identiti dan menjadi diri sendiri,Kita ini manusia biasa. Kalau nak bagi semua orang puas hati memang matilah,” jelasnya.

Gandingan pertama

Bercerita mengenai karier lakonan, Janna kini masih menjalani penggambaran drama bersiri bertajuk Dia. Menurutnya, drama ini merupakan gandingan pertama dia dengan beberapa pelakon utama seperti Irwansyah, Adi Putra dan beberapa nama lagi.

Biarpun tidak pernah lagi bekerjasama, mereka tidak ada masalah untuk mencari keserasian.

“Sekarang ini saya masih sibuk menjalani penggambaran drama terbaru yang menggabungkan ramai pelakon hebat. Salah seorang-nya adalah pelakon dari Indonesia, Irwansyah.

“Ini adalah kali pertama saya berjumpa dan bekerjasama dengannya. Pada mulanya agak kekok juga tapi bila kami baca skrip bersama, terus boleh jadi kawan baik.

“Jadi tidak ada masalah untuk mencari keserasian itu. Selain dia, Adi Putra dan Izara juga gandingan pertama saya dengan mereka. Tapi kami semua selesa dan senang berlakon sama,” kata pelakon yang mula dikenali menerusi drama Syurga Nur pada tahun 2015.

Menerusi drama ini, Janna memegang watak seorang penulis ruang cinta. Dia perlu menjiwai watak itu walaupun agak sukar kerana dia tak tahu menggunakan ayat-ayat romantis.

“Dalam drama ini saya pegang watak sebagai penulis ruangan cinta. Memang agak sukar juga untuk menjiwai watak ini sebab saya bukannya seorang yang romantis dan tahu guna ayat-ayat cinta.

“Tapi ini adalah satu cabaran dan Insya-Allah saya akan cuba lakukan terbaik,” ujarnya.