Bagaimanapun baru-baru ini lagu Infiniti Cinta nyanyian Zizan dan Kaka Azraff berjaya layak ke saingan separuh akhir Muzik-Muzik 29. Walaupun ada yang ragu dengan kerjasama ini memandangkan tiada lagi kata putus dalam perbalahan yang timbul, Kaka percaya ada percaturan baharu yang akan mereka bawa ke pentas separuh akhir minggu kedua pada 21 November nanti. Sudah mendapatkan persetujuan Zizan untuk dia beraksi sama, kata Kaka fokus pihaknya adalah untuk memberikan yang terbaik buat persembahan itu nanti.

“Walaupun Zizan tidak hadir, tetapi dia sudah sedia maklum lagu ini mara ke saingan separuh akhir. Sama seperti dia saya dia juga teruja dengan berita ini.

“Setakat ini tiada masalah memandangkan kami akan cuba peruntukkan masa untuk berlatih bersama,”katanya.

Merupakan lagu milik Wirefame, Kaka tidak merasakan dia mempunyai masalah langsung dengan Zizan. Percaya sehingga ke hari ini dia masih menjalinkan hubungan yang baik dengan Zizan, katanya lagi dia tahu kedua mereka boleh bersikap profesional.

“Saya dengan dia memang tidak ada masalah, walaupun kali terakhir kami berkomunikasi adalah dua bulan lepas tetapi rasanya hubungan saya dengan dia baik-baik sahaja.

“Seperti yang kita tahu Zizan memang sibuk, tetapi saya yakin dia akan asingkan waktu untuk kami berlatih bersama nanti,” katanya.

Di tanya sama ada dia menyimpan impian untuk melihat kemaraan lagu ini ke medan separuh akhir Muzik-Muzik 29 mampu menghapuskan segala persengketaan yang wujud. Jelas Kaka, memang itu menjadi harapannya memandangkan dia juga mahukan yang terbaik untuk semua pihak.

“Memang kalau boleh saya mahu sesuatu seperti itu berlaku. Siapa tahu mungkin lagu ini akan kembali menjernihkan keadaan.

“Saya doakan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu sebanyak 30 lagu kali ini berentap dalam pusingan separuh akhir Muzik-Muzik 29. Bakal dipersembahkan dalam tiga minggu berbeza bermula pada 14 hingga 28 November depan, akhirnya hanya 12 lagu sahaja yang akan dipilih untuk ke pentas akhir.

Bagaimanapun untuk melihat gandingan Awie dan Erra Fazira dalam menyampaikan lagu Cinta Makrifat di pentas separuh akhir tidak kesampaian apabila kedua penyanyi itu menarik diri. Menurut Penerbit Eksekutif Muzik Muzik 29, Muhamad Sufian Che Isa dalam isu ini, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan mereka kena menghormati pihak tersebut. Katanya lagu ciptaan Erma Fatima itu bakal didendangkan oleh Ronnie Hyper Act dan Marsha Milan.