Ternyata pengalaman bukan sekadar ‘guru’ dalam membantu mencari hala tuju hidup, bahkan menjadikannya seorang insan yang lebih cekal dan tabah dalam meniti usia remajanya.

Berbual dengan Sharifah Nur Syamin Syed Azlah Al-Saggof terasa masa berlalu begitu cepat kerana ada sahaja topik yang menarik perhatiannya.

Begitu juga ketika sesi fotografi. Anak kedua daripada tiga beradik ini langsung tidak kekok setiap kali lensa membidik ‘aksinya’.

Apabila ditanya, dia yang mesra disapa sebagai Syamin, mengakui memang meminati dunia peragaan bahkan mula beraksi di hadapan kamera seawal usia 11 tahun.

Namun, minat tersebut masih tidak mampu mengatasi keterujaan remaja berusia 18 tahun ini terhadap dunia perniagaan sehingga mendorongnya menanam azam untuk bergelar jutawan pada usia 30-an nanti.

“Sejak kecil lagi saya sudah berniaga walaupun secara suka-suka. Ketika usia enam tahun saya pernah membantu emak menjual air minuman di hadapan rumah. Waktu itu saya seronok apabila dapat duit.

“Apabila usia semakin meningkat, saya mula faham bahawa berniaga cara mudah untuk mendapatkan duit dan sejak itu berazam untuk jadi ahli perniagaan.

“Sekarang ini, saya seronok membaca kisah usahawan-usahawan wanita yang berjaya dan bergelar jutawan. Saya ingin jadi seperti mereka,” katanya yang begitu bersemangat apabila diajak berbicara mengenai dunia perniagaan.

Begitupun, Syamin akur pada hakikat kejayaan tidak akan datang bergolek sebaliknya perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan kalaupun tidak pengalaman.

Katanya, ibarat ke medan perang tanpa berbekalkan senjata hanya tindakan sia-sia, begitu juga halnya apabila terjun ke sesuatu bidang termasuk perniagaan.

Menyedari hakikat itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur, ini merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi perniagaan sebaik memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Berpijak di bumi nyata, Syamin tidak begitu mengharap keputusan yang sangat cemerlang, memadai dapat mengekalkan keputusan seperti waktu peperiksaan percubaan sebelum ini yang baginya sudah cukup membanggakan.

“Saya begitu berminat dalam bidang perniagaan lebih-lebih lagi selepas melihat keupayaan ayah yang menubuhkan syarikat perunding sendiri. Sebenarnya, saya mempunyai strategi sendiri yang saya anggap faktor utama menentukan kejayaan sesebuah perniagaan tersebut.

“Dalam hal ini saya harus lebih fokus, apatah lagi perniagaan yang saya ingin jalankan ini berteraskan kepada industri pelancongan. Cita-cita saya tinggi, industri pelancongan yang saya maksudkan ini berkaitan dengan bidang perhotelan, resort, spa dan pemakanan. Ini bermakna sesiapa sahaja yang datang ke resort saya misalnya, akan dapat perkhidmatan yang disediakan semuanya dalam satu tempat.

“Sehubungan itu, saya akan melanjutkan pelajaran ke Korea, kerana hanya di sana terdapat sebuah universiti yang menawarkan pengajian dalam bidang perniagaan secara menyeluruh.

“Fokus utama saya sememangnya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sebelum meneruskan cita-cita ingin bergelar jutawan pada usia 30-an,” kata gadis rambut lurus lepas bahu ini.

Memenuhi minat dalam dunia perniagaan, dalam pada sibuk belajar dia mengusahakan ‘kedai’ haiwan peliharaan sendiri yang dijalankan dari rumah, di samping menjual kek coklat kepada rakan-rakan yang menempah.

“Nak kata kedai, tidaklah besar sangat, tetapi saya yang menguruskan penghantaran dan kebersihan kucing-kucing yang tuannya hendak letakkan di sini. Sekiranya ada rakan-rakan yang memelihara kucing, saya akan cuba mencari baka yang dikehendaki,” katanya.

 

Rapat dengan keluarga

Gemar tampil ringkas, namun Syamin seorang individu yang begitu cerewet dalam banyak perkara. Hal ini turut diakui kedua ibu bapanya, Syed Azlah Al-Saggof dan Mazni Mohd. Yusof.

Satu-satunya anak perempuan mereka itu merupakan ‘pengkritik’ tegar dalam setiap perkara, terutama perniagaan yang diceburi Syed Azlah.

Begitupun sifat tersebut adalah perkara yang baik kerana sekurang-kurangnya mereka sekeluarga dapat berkomunikasi antara satu sama lain.

Syamin berkata, keluarga merupakan nombor satu dalam hidupnya dan hubung antara setiap ahli keluarganya sangat rapat.

“Kami sekeluarga memang sangat rapat. Ke mana sahaja saya pergi pasti salah seorang ahli keluarga akan menemani.

“Bukan mengongkong atau tidak percaya, tetapi saya sendiri rasa lebih selamat apabila bersama-sama mereka dan selesa apabila ahli keluarga sendiri yang menjadi teman.

“Keluarga memang keutamaan kepada saya dan sekiranya saya tidak mempunyai apa-apa program di luar, rumah adalah tempat untuk saya melepak,” sambung lagi.

Model dan pelakon

Selain mempunyai perniagaan sendiri, anak gadis yang berketinggian 166 sentimeter ini, juga seorang model dan pelakon sambilan.

Sambil merendah diri kata Syamin, dia bukanlah model atau pelakon dikenali dan segalanya bermula tanpa dirancang.

Hanya sekadar membantu ibu saudaranya memperagakan baju, akhirnya berlarutan apabila ibunya mendaftarkan Syamin dalam salah satu agensi pengiklanan.

Dari situ dia dipanggil untuk membuat peragaan dan berlakon untuk watak-watak tambahan.

Apapun Syamin tetap bersyukur dan percaya rezeki ada di mana-mana.

“Apa yang dilakukan sekarang iaitu peragaan dan lakonan hanya kerja sampingan yang dilakukan sementara memenuhi masa yang terluang.

“Bagaimanapun saya tidak akan menolak rezeki sekiranya ditakdir saya terus bergelar pelakon pada masa hadapan,” katanya.