Jauh sekali mahu mengalah, impian untuk mengacarakan program sendiri dipegang erat Sarimah Ibrahim sejak awal pembabitannya dalam dunia seni. Biarpun terpaksa menghitung detik untuk impian terlaksana namun dia tahu penantian juga ada akhirnya.

Bakal tampil dengan program The Sarimah Show bermula Mac ini, pengacara berusia 38 tahun ini mengakui berdebar dan sedikit gusar dengan penerimaan peminat terhadap program tersebut.

Biarpun kredibilitinya sebagai pengacara pada mata peminat tidak perlu diragui namun dia tahu kesempurnaan manusia itu tidak pernah wujud. Mahu tidak mahu, dia perlu sentiasa tampil dengan gaya terbaik untuk kelangsungan kerjaya.

“Saya banyak kali melakukan pitching namun semuanya ditolak. Jadi apabila pihak TV3 panggil dan mengemukakan idea untuk program ini, saya rasa ini peluang terbaik yang tidak boleh dipersia-sia.

“Walaupun mungkin ramai yang anggap ada pengacara yang lebih layak tapi bagi saya ini rezeki dan peluang yang diberi oleh Tuhan. Bersyukur setelah 20 tahun dalam industri, akhirnya saya ada program sendiri,” katanya.

Bersua bicara dengan Sarimah, kecantikan yang diperkata peminat bukan lagi satu dongengan . Dia masih kekal anggun, tampil muda walaupun usianya hampir memasuki menjejaki tahun ke-40.

Namun ramai sebenarnya tertanya-tanya ke mana wanita hebat ini menghilangkan diri. Adakah kerana halangan suami membuatkan dia mendiamkan diri atau sebenarnya dia sudah lelah untuk bergelar seorang anak seni?

Jawab Sarimah mudah. Dia perlu memberi fokus kepada suaminya terlebih dahulu sebelum menyibukkan diri dalam industri seni. Malah dia juga sering kali mengacarakan program berbahasa Inggeris.

“Mungkin peminat Melayu kurang menonton program Inggeris jadi jarang-jarang mereka nampak saya di kaca televisyen. Padahal lima tahun dikatakan menghilangkan diri, saya ada sahaja dalam industri.

“Cuma sebelum mengacarakan program ini, saya tanya juga suami sama ada boleh atau tidak teruskan idea ini? Dia sangat menyokong dan sekarang, dia seperti pengurus saya pula. Menemani saya ke setiap program,” katanya.