Teruja Hafiz berganda

PEMEGANG watak Hiccup dalam How To Train Your Dragon 2, Hafiz Suip memberitahu, dia berbangga apabila diberi kepercayaan untuk menerajui watak utama dalam filem berkenaan.

Sebelum ini, Hafiz hanya berpeluang untuk meminjam suaranya sebagai watak sampingan dalam filem animasi Garfield, The Smurfs dan Madagascar.

Justeru kata Hafiz, dia perlu memastikan persembahan suaranya dalam filem berkenaan setaraf dengan pemilik suara asal Hiccup iaitu Jay Baruchel.

Mengetahui filem berkenaan berpengaruh kepada golongan kanak-kanak membuatkan Hafiz lebih bersemangat untuk memastikan persembahannya benar-benar berkesan.

“Sebaik saya menerima tawaran untuk membawakan watak Hiccup, saya terus mencari DVD (cakera video digital) untuk mengkaji watak tersebut.

“Saya perlu memberi perhatian kepada beberapa intonasi dalam filem yang berkisar tentang pengembaraan itu,” katanya yang mengikat tali pertunangan dengan Nureffy Jasreel hujung Februari lalu.

Sengaja mengusik sama ada dia masih berminat untuk menjadi pelakon sepenuh masa, Hafiz bagaimanapun memberitahu, belum bersedia untuk tujuan tersebut.

Maklum dengan kerja sebagai pelakon yang menuntut masa yang agak lama di lokasi penggambaran, kata Hafiz, perkara itu yang membuatkan dia berat hati untuk memberikan komitmen.

“Saya pernah berlakon dalam sebuah telefilem, Langkah Bendul kira-kira tiga tahun lepas. Pengalaman sewaktu menjayakan drama itu benar-benar terkesan di hati saya.

“Mungkin kepenatan menanti masa yang agak panjang untuk giliran di lokasi penggambaran menyebabkan saya agak serik untuk berlakon.

“Lagipun saya ini seorang yang pemalu di depan kamera. Kalau ada kamera, pasti tingkah laku saya jadi tak keruan.

“Lakonan pun jadi entah macam mana,” ujarnya yang banyak menghabiskan masa dengan menumpukan amal ibadah sepanjang Ramadan ini.

Ramadan istimewa Sasha

SEMENTARA itu Sasha Saidin memberitahu, Ramadan kali ini yang cukup istimewa kerana berpeluang untuk menyambutnya dengan abang kesayangan, Adam Abdullah di Dubai.

Bersama-sama anaknya, Adam Aryasenna Notosoemarsono, 6, Sasha ‘terbang’ ke ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu selama seminggu.

Sudah lama merancang untuk membawa buah hatinya bercuti ke luar negara namun kata Sasha, dia berdepan dengan masalah untuk memperbaharui pasport anaknya itu kerana kes tuntutan hak penjagaan anak di mahkamah.

“Jadi selepas kes itu selesai baru-baru ini, barulah saya boleh bercuti dengan Arya (panggilan untuk anak),” kata Sasha yang berkahwin dengan Salyo Priyanto Nutosoemarsono yang merupakan warganegara Indonesia pada 2007 sebelum berpisah pada 10 Julai 2012.

Berkongsi cerita, Sasha memberitahu, percutiannya itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menikmati keindahan dan mempelajari cara hidup masyarakat di negara berkenaan.

Biarpun berdepan dengan perubahan cuaca yang agak panas berbanding Malaysia namun Sasha berkata, itu bukan penghalang kepadanya untuk melakukan aktiviti.

Antara lokasi menarik yang dikunjungi termasuk Burj Al-Arab, Masjid Agung Sheikh Zayed dan pusat membeli-belah Emirates yang mempunyai pelbagai daya tarikan untuk kanak-kanak.

“Cuma pada hari-hari terakhir percutian, saya dan anak melakukan aktiviti di dalam bangunan. Cuaca yang panas membuatkan saya dan anak tidak mahu keluar.

“Kalau keluar pun, saya akan memastikan kami tidak berjemur terlalu lama kerana khuatir keadaan itu akan menjejaskan kesihatan kami apabila pulang ke tanah air,” katanya yang baru saja pulang daripada percutian itu pada minggu lalu.

Mengulas tentang aktiviti Sasha sepanjang Ramadan, kata kakak kepada Zain Saidin ini, dia bersyukur kerana banyak menerima tawaran memperagakan koleksi pakaian busana Muslimah.

Memandangkan rata-rata pereka baju tempatan mengambil kesempatan untuk menampilkan koleksi terbaru mereka di bulan mulia ini, secara tidak langsung membuatkan jadual hariannya sentiasa terisi.

“Saya ingat sepanjang bulan puasa ini saya berehat dan menumpukan ibadah semata-mata, nyata sangkaan saya meleset.

“Bulan ini saya banyak menerima tawaran memperagakan baju. Saya percaya ini hikmah buat seorang ibu tunggal seperti saya,” kata pemegang watak Astrid dalam How To Train Your Dragon 2 ini lagi.

Hafizudin banyak membaca

MENGAMBIL kesempatan sepanjang Ramadan untuk membaca bahan berilmiah, kata Hafizuddin Fadzil, 57, itu yang dilakukan sepanjang bulan ini selain meningkatkan amal ibadah.

“Lazimnya saya tidak mengambil tawaran kerja sepanjang bulan puasa. Tapi jika ada rezeki yang mendatang pada saat-saat akhir, saya juga tidak akan menolaknya.

“Jadi sebelum tiba masa bekerja, saya akan pastikan keinginan saya untuk membaca itu dipenuhi pada masa lapang saya.

“Sebab itu saya perlu bijak membahagikan masa dengan sebaik mungkin pada bulan ini,” katanya yang bakal membintangi dalam drama Singgah­sana Cinta yang akan memu­lakan penggambaran tidak lama lagi.

Mengulas tentang pembabitannya dalam How To Train Your Dragon 2, kata pembawa watak Stoick ini, itu bukan pengalaman pertamanya dalam filem alih suara.

Ini kerana dia pernah menjayakan puluhan siri drama animasi untuk siaran televisyen dan begitu juga untuk filem dengan skala besar.

Bermula dengan filem animasi Kampung Boy pada 2005 diikuti dengan The Shadow Riders, Beast Wars dan filem The Smurfs, Tarzan dan Despicable Me.

Berkongsi pengalamannya yang terlibat dalam proses alih suara drama/filem animasi, kata Hafizuddin, penekanan lebih tertumpu kepada kepelbagaian suara. Selain itu, pelakon juga perlu kreatif dalam memastikan penyampaian suaranya selari dengan pergerakan bibir dalam setiap watak.

“Tak semua pelakon mampu membawakan watak dalam drama atau filem animasi yang dialih suara ini dengan berkesan. Kena berlatih betul-betul barulah watak itu sesuai atau tidak dengan seseorang pelakon itu,” jelasnya.

 

Yuii Chan mahu tembusi pasaran Melayu

PENDATANG baharu, Yuii Chan mengakui mengimpikan untuk menembusi pasaran Melayu yang disifatkan berpotensi untuk mengukuhkan namanya.

Pemenang tempat keempat dalam pertandingan nyanyian Star Quest 2014 ini memberitahu, dia juga yakin dengan kemampuannya untuk mencipta nama dalam industri hiburan tempatan.

“Saya berasal dari Langkawi, Kedah. Sejak kecil saya berkawan dengan orang Melayu selain sudah terbiasa dengan cara hidup dan kebudayaan kaum tersebut.

“Melihat perkembangan industri hiburan di Malaysia yang pesat membuatkan saya teruja untuk terjun ke industri hiburan satu masa nanti,” ujar pemegang watak Valka dalam How To Train Your Dragon 2 ini.

Mengulas tentang pengalaman pertamanya terlibat dalam filem alih suara, kata Yuii, dia bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada banyak pihak.

Biarpun kerap melakukan kesilapan sepanjang sesi rakaman berkenaan namun Yuii berkata, itu tidak pernah mematahkan semangatnya.

“Aset suara yang dimiliki sangat berharga buat seseorang penyanyi. Jadi saya perlu bijak memanfaatkannya,” ujar Yuii lagi.

Kalau kelu­ar pun, saya akan memastikan kami tidak berjemur terlalu lama kerana khuatir keadaan itu akan menjejaskan kesihatan kami apabila pulang ke tanah air

Sebaik saya menerima tawaran untuk membawakan watak Hiccup, saya terus mencari DVD (cakera video digital) untuk mengkaji watak tersebut.

Saya berasal dari Langkawi, Kedah. Sejak kecil saya berkawan dengan orang Melayu selain sudah terbiasa dengan cara hidup dan kebudayaan kaum tersebut.