Selain Wahid, Mazlan dan Azlee, Ilya dan Hamdan adalah dua anggota asal yang menjadi tunggak utama perjuangan kumpulan yang dilahirkan daripada program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan sekitar 1996.

Juga merupakan antara yang terawal meninggalkan kumpulan tersebut, tempat Ilya dan Hamdan kemudiannya diganti dengan kehadiran Saiful Apek, Farouk Hussien, Shamsul Ghau Ghau serta Yassin.

Meski sudah lama meninggalkan Senario, Ilya dan Hamdan sedar mereka tidak mampu memadam nama daripada kumpulan tersebut yang seakan-akan telah sebati dengan mereka.

Mengakui bahawa kerinduan sentiasa ada untuk bersama-sama kumpulan tersebut, Ilya sedar untuk berkumpul lagi dengan teman-teman lamanya itu barangkali memerlukan masa yang sesuai.

Sudah lama dihujani dengan pertanyaan mengenai projek kemunculan semula Senario bagi mengimbas kembali nostalgia kegemilangan mereka, kata Ilya, dia dan Hamdan punya hasrat untuk berbuat demikian dan sedang merancang untuk mewujudkan semula siri sitkom dengan Senario namun melalui jenama yang lain.

“Rentetan daripada penghasilan single raya saya dan Hamdan baru-baru ini, kami turut merancang projek untuk bergabung semula dengan anggota Senario yang lain dan buat kemunculan semula.

“Idea ini turut datang daripada Saiful Apek serta Yassin dan kalau boleh kami benar-benar berhasrat agar Azlee, Lan dan Wahid dapat bersama-sama kami.

“Selain projek sitkom, kami juga merancang untuk buat single dengan penghasilan keseluruhan lagu dibuat oleh kami sendiri,” katanya.

Menurut Ilya, dia tidak mungkin akan melupakan Senario kerana seluruh hidupnya sentiasa mengenang kegemilangan mereka.

“Terlalu banyak kenangan dengan Senario kerana kami sebumbung. Pernah sekali, semasa saya baru keluar daripada kumpulan itu, saya mengalirkan air mata ketika mendengar lagu kami berjudul Petani di radio.

“Saya sangat-sangat rindukan Senario. Bagi saya kelebihan yang Senario ada tidak sama dengan pelawak lain. Kami ‘gila’ luar dan dalam dan saya cukup seronok dengan mereka.

“Pada saya, kami sudah seperti sebuah keluarga. Pernah kami seminggu tak bertemu dengan orang lain dan cuma berlima ke sana ke mari. Sampaikan isteri kami juga sudah jadi sahabat baik,” katanya.

Berharap hasratnya menjadi nyata, kata Ilya, dia bagaimanapun sedar, seandainya mereka kembali sebagai sebuah kumpulan, lawak mereka barangkali tidak sama dengan pelapis lawak yang ada pada masa ini.

Mengakui suasana lawak sekarang punya banyak berbeza, Ilya bagaimanapun positif bahawa mereka masih relevan dan boleh diterima ramai.

Namun katanya, perancangan ini hanya akan terjadi seandainya ada penerbit yang sanggup mengeluarkan dana untuk menerbitkan sitkom baharu bersama-sama mereka.

Dalam pada itu, Hamdan pula melihat suasana dalam industri yang ketandusan program bercorak sitkom adalah satu peluang yang baik untuk mereka hadir dengan idea tersebut.

Kata Hamdan, selain mengubat kerinduan peminat terhadap Senario, seandainya projek sitkom itu terhasil akan memberi peluang dan pilihan lain buat penonton yang meminati dunia seni lawak tempatan selain mengembalikan kegemilangan program sitkom seperti dulu.

“Untuk melahirkan sitkom yang berjaya tak mudah dan hampir mustahil kerana menuntut komitmen yang tinggi. Kalau masing-masing sibuk dengan kerja lain dan cuma mengharapkan penulis skrip sahaja untuk hasilkan jalan cerita, sitkom itu mungkin tidak begitu menjadi dan menarik.

“Artis perlu terlibat secara langsung dan berikan komitmen kerana mereka yang buat persembahan. Cakap fasal komitmen inilah yang membuatkan ramai artis angkat tangan berundur. Tak ramai yang mahu beri tumpuan penuh.

“Kami tak katalah yang kami adalah terbaik tetapi asas Senario adalah sitkom maka mungkin itu adalah kelebihan kami,” katanya.

Kata Hamdan, dia juga bangga dengan pelapis baharu dunia lawak tanah air yang kini memberikan banyak impak positif dalam ruang hiburan tempatan.

Meski ramai yang menganggap Senario adalah antara legenda dalam dunia lawak, bagi Hamdan, tiada yang perlu dibanggakan kerana baharu atau lama, masing-masing mempunyak kelebihan dan kekurangan masing-masing.

“Siapa kami untuk mendaulatkan diri kami sendiri dalam dunia lawak tetapi kami tak nafikan bersyukur kerana peminat selama ini banyak menyokong kami biarpun kami sudah tidak lagi aktif bersama-sama.

“Selama kami berada dalam industri, kami tak harapkan apa-apa. Kami cuma mahu berseronok dan menghiburkan masyarakat kerana itulah tugas kami sebagai pelawak.

“Mengurangkan tekanan penonton dan menghiburkan mereka,” katanya.